Mukhriz Mahathir Dibuang Keluarga

Kegagalan mempertahankan jawatan MB Kedah buat kali kedua ternyata menguji mental Dr. M dan isteri.

KUALA LUMPUR – Suasana sayu mengiringi persidangan parlimen hari ini yang menyaksikan Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri, berasa “malu” dilihat berdua-duaan dengan anaknya Mukhriz Mahathir yang baru digugurkan sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua semalam, beberapa sumber mengesahkan.

“Aduh mak, si ‘loser‘ ni lagi,” Dr. M dipercayai berbisik sendiri sebaik sahaja bertembung dengan Mukhriz ketika berjalan keluar dari Dewan Rakyat, cuba mengelak dari bertentangan mata dengan ahli-ahli parlimen lain yang turut berkumpul di situ. “Harap-harap tak adalah yang ambil gambar dan muat naik ke media sosial.”

Mukhriz, atau lebih manja dengan panggilan Boboi, mengukir senyuman mesra kepada ayahnya yang berwajah merah padam sementara cuba berbual kosong tentang perkara yang disifatkan Dr. M sebagai “boleh sahaja dibincang dalam gerup WhatsApp keluarga.”


“Terima kasih, Abah. Sayang Abah!” ujar Mukhriz lalu melambai tangan kepada ayahnya yang telah lama berdesup meninggalkan bangunan.

Ketika ditemui di tempat letak kereta, Dr. M tanpa berlapik menyuarakan kekecewaannya terhadap Mukhriz sebagai ahli politik.

“Sebenarnya dari awal saya tak pernah nampak ketokohannya dalam bidang siasah ni. Ingatkan dia cuma nak berlagak ‘cool’ dan tak mahu membayangi saya yang masih merupakan negarawan berpengaruh, sekali rupanya memang tak tahu apa-apa,” ujar Dr. M yang sesekali berpaling ke belakang kerana risau anaknya itu akan muncul tidak semena-mena.

“Maksud saya, berapa banyak batu loncatan saya nak kena kasi agar dia berjaya? Saya sebagai seorang ayah yang terkenal dalam menyelamatkan kompeni Mokhzani dengan menggunakan duit negara dan membiarkan Marina menyebarkan agenda liberalnya tanpa halangan pun dah tak larat bila tiba bab budak seekor ni,” tambah Dr. M.

Ahli Parlimen Langkawi itu jelas tidak berseorangan dalam hal ini, isterinya Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali turut berdukacita tentang “kewibawaan” Mukhriz.

“Kejayaan terbesarnya setakat ni hanyalah menjadi anak Mahathir, tapi itu pun nak kena periksa semula mengenangkan kualiti DNA kami macam langsung tak melekat padanya,” ujar Dr. Siti Hasmah dengan penuh yakin sebagai pakar perubatan. “Apa-apapun, dua kali kena tendang sebagai Menteri Besar Kedah wajar jadi petanda yang dia patut bersara awal. Bila ayahnya dah tak ada besok, orang dah tak berlembut. Syed Saddiq pun rasanya cukup sabar selama ni untuk seret mukanya di tar jalan.”

Semasa berita ini disiarkan, Mukhriz dilihat tiba di perkarangan kediaman Dr. M dan isteri untuk berbuka puasa bersama-sama, namun pasangan itu dipercayai telah menarik langsir dan menyembunyikan diri agar rumah mereka kelihatan seperti tidak berpenghuni sejak beberapa hari lepas.