Kemeja-T “Dari Kamar Wan Fayhsal” Sudah Mula Dijual

Pihak Neon Berapi teruja. Malangnya, semangat kami tidak mewakili semua pihak.

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini mengumumkan kemeja-T yang tertera ayat “Dari Kamar Wan Ahmad Fayhsal” sudah mula dijual di pasaran atas talian sekali gus mengundang kritikan sesetengah pihak yang merasakan langkah tersebut agak tidak sesuai dek ketidaktentuan iklim politik negara dewasa ini.

“Ya, saya mengaku saya sepatutnya lebih berwaspada sebelum terkejar-kejar menghasilkan produk kemeja-T ini,” ujar Wan Fayhsal. “Matlamat utama saya adalah untuk kekal relevan dengan golongan belia, jadi kadang kala saya gagal nak faham konteks pemikiran masyarakat. Sebelum ini saya banyak kali dikecam kerana dilihat syok sendiri dan gemar menegakkan benang yang basah, jelas sekali saya masih bertatih dan ilmu siasah saya di dada tidak mustaid*.”

Meskipun maklum balas orang ramai di media sosial terhadap penjualan tersebut agak negatif, tidak kurang juga yang turut memberi sokongan; ini termasuklah bekas pegawai atasan beliau Syed Saddiq.


“Saya rasa cukup sesuai orang yang tak faham faktor sekeliling macam Wan Fayhsal keluarkan kemeja-T menggunakan kata-kata dan logo kepala surat dia sendiri,” ujar Syed Saddiq seraya memaut perut untuk menahan ketawa. “Sebelum ini istilah ‘kamar’ dilanda kontroversi kerana dikatakan tidak sesuai untuk penggunaan rasmi, namun Wan Fayhsal dengan aneh melihatnya sebagai peluang untuk menjana populariti. Sebagai tanda menghormati ketololannya, saya sudah pun memesan lima helai terus menerusi Shopee.”

Ahli politik lain lebih berhati-hati dalam memberi rangsangan terhadap barang dagangan itu, seperti Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Khairy Jamaluddin.

“Penting untuk Wan Fayhsal yang hanya seorang senator untuk bertapak lebih jauh dalam dunia politik sebelum menghasilkan kemeja-T seperti itu,” jelas Khairy, sebelum mengamati produk tersebut dengan mata yang tajam. “Sebenarnya boleh tahan juga rekaannya. Sebagai seorang yang gemar mempromosikan diri sendiri, rasa macam dengki pula tengok dia dapat idea ni dulu.”

Dengan sokongan penuh orang sekeliling yang seakan hanya ingin melihat Wan Fayhsal tersungkur dipukul ombak, penjualan produk tersebut dijangka tetap laris seperti goreng pisang panas. Bagaimanapun, calon Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda PPBM itu menegaskan beliau tidak akan mengulangi kesilapan sama – kemeja-T “Dari Kamar Wan Fayhsal” didatangkan dalam saiz dan potongan untuk golongan wanita sahaja.

“Istilah ‘kamar’ selalu dikaitkan dengan bilik tidur,” jelas Wan Fayhsal sambil tersenyum nipis. “Jadi lebih sesuailah kalau hanya wanita yang pakai untuk memberi konotasi yang mereka baru sahaja keluar dari bilik say—ah, tak perlulah saya terangkan dengan lebih lanjut, nanti tak fasal-fasal saya dihumban ke dalam penjara dan menjadi narapidana**.”

*Mustaid = lengkap

**Narapidana = banduan