Azmin Ali Ditangkap Tak Puasa

Cubaan ahli politik tersebut untuk membantu peniaga kecil yang menjual makanan jelas tersalah “langkah.”

GOMBAK – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis menjual makanan berdekatan daerah Sungai Tua tengah hari tadi selepas didapati tidak berpuasa.

Tokoh Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Kanan itu sedang leka menjamu selera juadah nasi ambeng sebelum dibalas dengan sebatang rokok apabila dicekup bersama beberapa rakan lain.

“Dia sampai tepat-tepat pukul tiga, waktu kami dah mula berniaga,” jelas Amir Wagiman, pemilik tunggal Restoran Wak Mir. “Ingatkan nak beli bungkus, sekali dengan selamba dia minta makan di sini atas alasan nak menyokong peniaga kecil seperti kami. Tapi bayarnya tak juga lagi-lagi dah kena tangkap sekarang.”


Terlebih dahulu, Azmin Ali mengirim tweet sekitar jam lapan malam tadi menyindir kerajaan negeri Selangor yang baru melonggarkan syarat izin makan di tempat umum mulai hari ini, kira-kira seminggu selepas kerajaan persekutuan melaksanakan polisi yang sama di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut saksi, tiada siapa menyangka laungan “jom makan” Azmin yang mengakhiri tweet berkenaan bersifat harfiah dan akan dilakukannya pada siang hari ketika bulan puasa.

“Saya faham sindiran yang dia nak buat. Saya pun penyokong PN. Tapi kot ya pun buatlah pada waktu malam atau sorok-sorok,” ujar Nizam Baharom yang terperanjat melihat tingkah laku Ahli Parlimen Gombak tersebut kerana tidak menggambarkan semangat kerajaan Islam yang memerintah sekarang. “Mungkin Melayulah, tapi bukan Islam.”

Tambah Nizam lagi, “Yang menariknya, tahap kegelojohan dia makan nampak macam nak protes undang-undang kerajaan negeri sebelum ni sambil berkata, ‘Setiap suapan ni untuk Makcik Kiah!’ Tapi macam selera sendiri pun ya juga.”

“Saya lakukannya sebagai tanda solidariti terhadap perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana walaupun memang tak dinafikan nasi ambeng di kedai tu amat sedap. Dan, ya, saya akui nasi ambeng tu sedap, tapi ini semua demi menyelamatkan ekonomi negeri Selangor. Kejap… saya dah kata ke belum nasi ambeng tu sedap?” ujar Azmin sebelum dibawa pergi oleh pihak berkuasa.

Azmin kini berada di Pejabat JAIS untuk diberi notis saman dan membantu siasatan kerana makan di bulan Ramadan. Menurut sumber yang sudah biasa ponteng puasa, di tangan Azmin terpaut erat dua kotak makanan yang dipercayai mengandungi nasi ambeng.