Vivy Yusof Muncul Dalam Keadaan Bermandi Darah Setelah Temui Orang Yang Dakwa Hasil Kerja Diciplak

PETALING JAYA – Pengasas FashionValet dan Kumpulan dUCk, Vivy Yusof hari ini mengumumkan beliau akan menjawab segala dakwaan bahawa sesetengah rekaan fesyennya adalah hasil ciplak dengan cara yang lebih tuntas dan bersifat fizikal, beberapa pelabur yang terketar-ketar mengesahkan.

“Pegawai-pegawai saya memberitahu ada lagi pereka fesyen yang tuduh kami menciplak rekaan pakaian mereka. Terus terang cakap, ini meloyakan saya,” ujar Vivy seraya mengasah sebilah pisau Rambo di pejabatnya dekat-dekat sini. “Saya ingat memberi maklum balas dengan cara sopan seperti ‘ia hanya kebetulan’ sudah memadai, namun ternyata tidak buat parasit-parasit ini. Sudah tiba masanya sekalian dakwaan tersebut disanggah dengan tangan, dan bukan sekadar lisan.”

Inisiatif baru ini yang dikenali sebagai Mighty dUCKs telah melalui tempoh percubaan lebih beberapa minggu, dengan Vivy menyelesaikan segala dakwaan menciplak menerusi modus operandi yang masih menjadi tanda tanya.


“Saya akan pastikan mereka bukan setakat tak boleh bersuara lagi sewenang-wenangnya, malah tiada khabar berita langsung,” tegas Vivy. “Saya cabar siapa-siapa tuduh saya tibai rekaan mereka lagi. Cubalah, cuba. Tudung satu gudang pun belum tentu cukup nak litup badan sebab berani jolok sarang tebuan Vivy.”

Dalam sebuah siri video Instagram Stories, Vivy dillihat berjalan masuk ke dalam sebuah kedai busana muslimah yang terletak di Bangi milik seorang pesara berusia 71 tahun bernama Siti Mariam Ismail. Pada minggu lepas, Mariam mendakwa di media sosial bahawa Vivy telah menciplak hasil rekaan tudungnya yang pernah dikeluarkan beberapa tahun lalu.

“Setelah kedengaran audio Vivy dan Mariam bertukar salam, keadaan sekonyong-konyongnya bertukar sunyi,” ujar penganalisis media, Leong Wai Cheong. “Dan tepat seminit kemudian, Vivy muncul semula dalam keadaan bermandi darah sambil berjalan terhencut-hencut. Dia lalu mendekati kamera dan mengatakan bahawa ‘segala salah faham di antaranya dengan Puan Mariam kini telah pun selesai.’

Sambil mengawal jari-jemarinya yang masih menggigil, Vivy mengingatkan semua pihak bahawa “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya – mengharapkan kes seperti Puan Mariam tidak berulang lagi.”

“Saya tak suka ambil tindakan sampai ke tahap begini, namun setiap manusia ada kesabarannya dan saya sudah puas bersabar,” jelas Vivy lalu melempar pisau Rambonya ke bonet kereta yang juga terisi sebatang kayu besbol, nunchaku, beberapa bilah kapak kecil dan jarum suntikan yang mengandungi coronavirus. “Jangan cari pasal dengan saya kalau saya tak cari pasal dengan awak, itu saja saya nak minta. Dan kalau betullah saya ada ciplak rekaan awak… diam-diam sudahlah.”

Terbaru Vivy juga mengumumkan beliau sedang dalam proses membeli hak cipta pemakaian tudung di luar rumah untuk mengehadkannya kepada para pembeli barangan dUCk sahaja.