Tony Fernandes Tekad Kuruskan Badan Untuk Tampak Miskin

Ahli perniagaan tersohor yakin telah menemui jalan terakhir untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap beliau.

SEPANG — Usahawan yang terkenal dengan sandangan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad Tan Sri Tony Fernandes hari ini mengumumkan bahawa beliau akan menurunkan berat badan ke tahap kurus kering sebagai usaha untuk membuktikan beliau juga ditimpa kesusahan tatkala hidup pada era pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut rakan-rakan seperniagaan yang bertepuk dahi.

“Entah mengapa sejak kebelakangan ini pandangan masyarakat Malaysia terhadap saya sangat buruk – mungkin sebab polisi-polisi syarikat penerbangan saya yang suka kenakan penumpang, mungkin sebab sokongan saya terhadap parti politik Malaysia sering berubah-ubah – entahlah, saya pun tak pasti,” jelas Tony, murung. “Tapi yang pasti, saya telah mengambil keputusan untuk menguruskan badan agar kelihatan sama miskin dengan rakyat Malaysia yang sekarang ni banyak kehilangan sumber mata pencarian akibat PKP. Walaupun kekayaan saya takkan habis dalam masa terdekat ini, saya nak tampil dengan imej seolah-olah saya dah lama tak makan kerana tak berduit.”

“Lagipun di Malaysia kebenaran tak penting, yang penting persepsi,” tambah Tony lalu tidak semena-mena bangkit dan melakukan lompat bintang dengan bertalu-talu, tidak sabar untuk mencapai matlamat beliau dengan secepat mungkin.


Rata-rata rakan seperniagaan keliru namun tidak terkejut mendengar pendekatan Tony dalam menjenamakan semula diri beliau ini.

“Tony selalu melihat dirinya sebagai usahawan gila-gila yang tidak konvensional,” ujar seorang kenalan rapat Tony yang tidak mahu namanya disebut. “Tapi saya tak pasti jika dia benar-benar faham erti konvensional. Kebanyakan keputusannya dalam menentukan masa depan syarikat tak ubah seperti peniaga pasar malam – harga tiket penerbangan murah, dibalasnya dengan caj tambahan yang menimbun-nimbun; penerbangan dibatalkan… oh, maaf, ‘ditangguh’ kerana PKP, dia tak mahu memulangkan wang deposit penumpang. Dan sekarang ni dia nak kuruskan badan sebab nak menang hati masyarakat pula? Ini bukan gila-gila, ini gila babi rasanya.”

Para pemerhati ekonomi pula menyarankan agar masyarakat tidak termakan dengan usaha publisiti murahan Tony ini, malah menempelak strategi ahli perniagaan itu yang secara asasnya tidak masuk dek akal.

“Rakyat Malaysia pun kadang-kadang satu bongok,” ujar Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Zawawi Abdul Rahman ketika ditemui di pejabatnya. “Kita selalu sinonimkan miskin dengan badan kurus, walhal kebanyakan orang miskin berbadan gemuk kerana pemakanan tak sihat dan pilihan zat yang tak banyak. Kalau nak menipu, sepatutnya Tony kekalkan tubuh gempal tapi tunjuk di Instagram yang dia sekarang hari-hari makan nasi putih dengan kuah kari sahaja bersama kapsyen ‘no more wagyu beef.’ Selesai masalah. Tak payah kot nak tunjuk miskin bila benda mudah pun tak reti buat.”

Ketika berita ini disiarkan, Tony sudah pun kehilangan dua gram berat badan dan sedang menulis emel kepada para pekerja Air Asia yang sedang “direhatkan” tentang kepayahan beliau menanggung kerugian syarikat ketika dunia dilanda COVID-19. Emel tersebut akan turut disertakan dengan sekeping foto Tony sedang meratah pasir dan rumput di luar pejabat sambil minum air wiper kereta.