/

Royalti Nadia Khan Dijangka Habis Bayar Selepas Tujuh Keturunan

Buku Fixi akui cuba elak lunas hutang royalti novelis terlaris.

KUALA LUMPUR – Novelis terlaris, Nadia Khan tidak menolak kemungkinan terdapat cubaan mengelak pelangsaian royalti kepada beliau oleh syarikat penerbitan Buku Fixi sejak kebelakangan ini. Nadia yang sebelum ini pernah menghasilkan sekurang-kurangnya enam buah novel untuk syarikat berkenaan seperti Kelabu, Gantung dan Nikina mendapati, meskipun jualan novelnya mengatasi penulis lain, jumlah kemasukan wang ke dalam akaun banknya jauh lebih sedikit dari anggaran apabila setiap kali tiba waktu pembayaran.

“Hampir setiap minggu novel-novel saya menjuarai carta jualan Kedai Fixi, MPH dan sebagainya, “jelas Nadia. “Gantung yang dah bertahun keluar pun masih tak putus-putus diulang cetak. Yang peliknya, bila tiba masa untuk bayar royalti, saya periksa akaun saya dan tengok ada deposit RM1.60 sahaja. Kadang-kadang RM2. Pelik juga saya.”

Pihak Neon Berapi ada menghubungi Buku Fixi untuk mengulas tentang perkara ini. Nik Adam Ahmad yang merupakan ketua pegawai pemasaran syarikat tersebut tanpa segan-silu memperakui sememangnya terdapat agenda terpendam untuk elak membayar royalti Nadia.

“Dari kali pertama kami menerbitkan buku beliau menerusi Kelabu, jualannya memang melangkaui jangkaan,” jelas Nik Adam. “Mula-mula tu kami tak ada masalah nak bayar secara jujur, tapi bila lama-lama apabila ditukar ke sistem ansuran, dia macam makin bertimbun pula. Tujuh keturunan pun tak habis! Masa itulah kami para pegawai mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu.”

Menurut Nik Adam, antara usaha untuk melambatkan pembayaran royalti Nadia ialah mengelabui mata penulis berkenaan dengan tawaran adaptasi Gantung ke kaca televisyen, pelancaran eksklusif setiap novel terbaru di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, dan penginapan hotel mewah semasa Kembara Fixi yang membawa beliau ke segenap pelusuk negara.

“Kami siap upah satu badan khas untuk pantau tindak-tanduk Nadia,” tambah Nik Adam. “Sebagai contoh, apabila Gantung telah diadaptasi, kami mendengar desas-desus bahawa Nadia hendak membawa hal royaltinya ke muka pengadilan. Oleh itu, kami lekas-lekas menyakinkannya untuk mengadaptasi Gantung ke layar perak pula dengan memulakan perusahaan dana khalayak sekali gus menyibukkan diri beliau dari meneruskan perancangannya menghubungi pejabat guaman terdekat, Jabatan Audit Negara dan sebagainya. Dan buat masa ini, langkah itu ternyata menjadi.”

Apabila ditanya bukankah lebih mudah bagi pihak Buku Fixi melakukan pengauditan yang telus agar tiada pemasalahan dalam pembahagian royalti penulis khususnya Nadia. Ini jawapan Nik Adam:

“Kami ialah syarikat penerbitan mandiri, jadi kebanyakan modus operandi kami menggunakan taktik gerila, atau senang cerita, pakai belasah. Bukan salah kami buku Nadia terlebih jual, ia salah Nadia kerana tidak tahu menganggarkan mutu penulisan yang membawa pulangan sederhana agar kami sebagai syarikat kecil boleh menanganinya.”

Tambah Nik Adam lagi, dia tidak risau jika suatu hari kelak Nadia akan bersemuka dengannya secara berdepan. “Saya tahu macam mana nak mengelak. Saya orang Kelantan. Tipu muslihat bukan asing bagi saya.”

Pihak Neon Berapi kemudian menghubungi Nadia semula menerusi panggilan video untuk mewartakan kenyataan Nik Adam. Tidak semena-mena mulut penulis tersebut hanya terlopong tanpa sebarang kata selama 20 minit seakan dipukau sebelum talian kami dimatikan dengan serta-merta.

Ternyata kenyataan Nik Adam bahawa dia orang Kelantan bukan sekadar bicara kosong.

Sila ke https://gantungthemovie.wixsite.com/website untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang projek dana khalayak Gantung the Movie.