Punk Tua Dikecam Rakan-Rakan Kerana Pasang Lagu Dendang Perantau

Beliau juga secara terbuka menyatakan kerinduannya untuk pulang ke kampung – memang cari pasal.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki punk yang agak berusia dikutuk oleh rakan-rakan malam tadi kerana memasang lagu Dendang Perantau nyanyian P. Ramlee melalui telefon pintarnya yang usang, beberapa sumber yang turut sama mencerca mengesahkan.

“Saya dah lama tak pulang ke kampung di Kuala Lipis, kali terakhir mungkin 10 tahun lepas,” ujar Mohd Fahmi Ikhwan, 48 tahun, dengan mata merah menyala akibat tidak henti-henti menangis. “Entah mengapa, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tak membenarkan kita pulang ke kampung, prospek Aidilfitri tiba-tiba bertukar hiba. Pertama kali timbul perasaan begini dalam diri saya sejak tiga dekad lepas. Dan pengubatnya, bagi saya, cuma datang dalam bentuk lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.”

“Saya tak kisah rakan-rakan serumah nak ejek saya kerana mendengar lagu tersebut. Tapi masalahnya ada 37 orang duduk di rumah ni, dan mereka suka ‘membakar’ satu sama lain – malam tadi, saya tak dapat tidur. Seorang demi seorang datang ke bilik saya lalu menempelak yang saya ni ‘lemah’ dan tak ‘real.’ Mula-mula tu macam kelakar, tapi lepas 12 jam pun tak habis siapa boleh tahan.”


Para penetap rumah punk itu yang namanya terlalu kesat untuk disebut di sini mengakui kaget melihat Fahmi dengan selamba menikmati sesuatu yang dianggap komersial.

“Selama ni saya sangka kami hidup dengan seorang ‘brader’ yang tekun menentang segala bentuk arus utama, sekali rupa-rupanya dia boleh dengar lagu Raya dengan bersenang-lenang. Lagi parah, Dendang Perantau tersebut adalah versi 70-an yang dirakam semula oleh P. Ramlee dan bukan 50-an punya yang asal. Gila tak ‘true!’” jelas Md. Isa “JC” Md. Amran. “Kalau nak bersedih sangat, dia boleh sahaja dengar lagu-lagu punk yang sayu seperti Sad Astronaut oleh Lagwagon yang bercakap tentang ahli kugiran mereka yang mati bunuh diri. Itu baru sedih. Ini tentang rindu nak balik kampung kerana nak jumpa mak ayah dan ‘makwe?’ Tolonglah. Mungkin Cik Mi (Fahmi) dah sampai satu usia di mana dia ingat dia lagi bagus dari punk agaknya.”

Para penganalisis sosial menyifatkan kejadian di rumah punk tersebut bukanlah sesuatu yang aneh – di serata negara, masyarakat kini gemar mencemuh mereka yang menunjukkan sebarang bentuk kesedihan kerana tidak dapat pulang ke kampung pada Aidilfitri kelak.

“Hal ni bukan berlaku pada puak punk sahaja – tinjauan kami di media sosial mendapati banyak golongan kolar biru bersikap serupa,” jelas pakar sosiologi Siti Raihamah Ridhuan. “Sebagai contoh bila ada orang tweet yang dia rindu jumpa mak ayah, ada orang yang bukanlah kenalan akan membalas dengan sindiran, ‘Dah tak jumpa baru nak rindu. Selama ni bukan main derhaka, nak telefon pun payah.” Seorang pengguna Instagram mengatakan dia terpaksa menutup akaunnya gara-gara dihamun kerana memuat naik gambar kampung halaman – buat pertama kali. ‘Selama ni tunjuk hidup dekat KL sahaja. Minum Starbuckslah, makan KyoChonlah. Sembang!’ bentak seorang pengikutnya yang tidak pernah memberi komen selama ini.”

Laporan dari rumah punk tersebut menunjukkan Fahmi bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai lagi sumpah seranah apabila membeli sepasang baju Melayu mengikut bentuk badan keluaran Jakel tengah hari tadi.