PKPB: Gadis Lipis Sudah Sedia Biarkan Ibu Mati Demi Ekonomi Negara

Masa untuk kembali bekerja, masa untuk menjana semula ekonomi negara, masa untuk membiarkan ibu pulang ke rahmatullah.

KUALA LIPIS — Dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei ini yang bertujuan untuk membolehkan sebahagian aktiviti ekonomi negara berjalan semula, promoter telefon dan aksesori Noraini binti Teh tidak sabar untuk kembali bekerja – biarpun terdapat risiko ibunya kehilangan nyawa dek penularan wabak COVID-19 yang dijangka akan semakin tidak terkawal.

“Saya risau tengok kawan-kawan saya di sektor swasta telah mula kehilangan mata pencarian, jadi saya memang gembira bila Perdana Menteri umum yang PKPB membenarkan saya kerja balik,” ujar gadis 19 tahun tersebut yang bekerja di Kompleks Centerpoint dekat-dekat sini. “Yang bagusnya, Perdana Menteri semalam tak tekan sangat kekhuatirannya terhadap golongan yang mudah terdedah kepada wabak ini seperti warga emas. Oleh itu, kalau emak saya meninggal dunia akibat terkena jangkitan coronavirus melalui interaksi saya di kedai, nah, itu nasib dialah.”

Menurut Noraini, ini adalah satu “perjudian” yang sanggup dipertaruhkannya demi memperkasakan semula ekonomi negara yang kini dipercayai di tahap kritikal.


“Perdana Menteri semalam kata negara kerugian lebih RM2 bilion setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Jumlah tu bukan sikit. Emak saya kalau hidup lapan ribu kali pun belum tentu dapat kumpul duit sebanyak tu,” tambah Noraini. “Jadi saya berterus terang dengan emak saya malam tadi: Dia nak tengok negara jatuh miskin atau dia meninggal dulu? Saya yakinkan dia yang kadang-kadang pengorbanan perlu dilakukan demi kemaslahatan negara. Lagipun jangka hayat orang Malaysia cuma 75 tahun, dan dia ada masa setahun dua sahaja lagi dalam dunia ni untuk capai usia tu.”

Menurut ibu Noraini, Puan Esah binti Sulaiman, saranan anak tunggalnya itu bukanlah kes terpencil. Rata-rata anak jirannya juga sedang mempersiapsiagakan ibu bapa mereka untuk pergi menghadap Ilahi.

“Bagi orang tua, inilah ‘norma baru’ kami – anak-anak dah tak sabar nak hantar kami masuk lubang kubur atas dasar ‘menyelamatkan negara,’” keluh Puan Esah yang hanya tinggal berdua dengan Noraini. “Anak jiran belakang sudah mengingatkan ayahnya supaya solat taubat banyak-banyak sebaik sahaja dia memulakan kerja di lombong emas Isnin ini; anak jiran depan yang akan membuka semula restorannya terburu-buru nak daftar dua skim khairat kematian sekali gus untuk ibunya walhal dah ada tiga sebelum ini. Saya tak tahulah apa yang ada dalam air Kuala Lipis sampai anak-anak membesar jadi biadap macam ni.”

Apabila ditanya apakah yang akan dilakukan jika dia dijangkiti coronavirus melalui anaknya, Puan Esah menjawab, “Malam tu bila balik kerja, saya akan tuangkan dia air sirap dengan Clorox. Saya tak kisah mati, tapi saya akan tarik dia masuk neraka sekali.”