Pilu Di Aidilfitri: Pemuda Punk Terhantar Foto Tayang Jari Tengah Kepada Ibu Bapa

Persoalan antara sikap kurang ajar dan tidak mahu menjadi hipokrit kembali terbangkit seperti biasa.

KUALA LIPIS – Sepasang suami isteri yang masing-masing berusia awal 60-an mengumumkan pertalian mereka dengan anak Khairul Syamsuri bin Zulkifli, 27, telah putus dengan serta-merta mulai hari ini, menurut sebuah kiriman di halaman Facebook milik si suami Zulkifli bin Ishak. Surat terbuka yang berbentuk luahan perasaan itu terakam seperti berikut:

“Kami cuma merindui Khairul setelah lama tak jumpa, jadi pada pagi Raya ini kami mintalah satu swafotonya. Sekali boleh dia hantar yang memberkas gaya tengah tayang jari tengah? Yang peliknya, dia sempat sampaikan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.’ Anak jenis apa dia ni? Kami tak pernah didik dia jadi macam ni. Ingat dia suka-suka boleh layan kami macam sampah lepas tu minta maaf macam tu sahaja? Memang silaplah.

Khairul yang merupakan anak tunggal kepada pasangan bekas guru itu cukup terkenal dengan telatah “gila-gilanya” dan dipercayai gemar menyebar fahaman punk ke mana-mana sahaja sejak usia awal remaja. Ketika berita ini ditulis, tidak diketahui berapa banyak jumlah Khairul melayangkan jari tengah dalam setiap gambar peribadi yang pernah diambilnya.

Pihak Neon Berapi menjejaki Khairul di Shah Alam yang mengakui perbuatan tidak senonoh tersebut dilagakkan tanpa sebarang niat buruk.

“Saya sayang ibu bapa saya, tapi mereka kena faham: Saya dan punk memang tak boleh dipisahkan,” ujar Khairul yang kini bekerja sebagai broker harta tanah. “Bila saya angkat jari tengah tu, saya tak perlu fikir pun – ia berlaku secara spontan. Mereka tak perlu emosi sangat kerana ia bukanlah satu bentuk serangan peribadi, biarpun setiap jari tengah itu mewakili setiap seorang daripada mereka.”

Khairul yang turut mengikuti akaun Facebook ayahnya ternyata kecewa dengan kenyataan yang diberikan. Tatkala rakan-rakan Zulkifli mula menghentamnya sebagai “anak derhaka” dan mengharapkan “makan minumnya tidak dihalalkan,” Khairul menggunakan platform media sosial tersebut untuk menenangkan keadaan.

“Aduh, ‘Bah. Tak payahlah sampai nak putuskan hubungan dengan anak sendiri. Relaks sudah,” komen Khairul. “Lagipun masa mula-mula memang tak nak hantar gambar tu sebab macam kurang ajar, tapi keh* tak nak jadi punk yang hipokrit.”

Ibu Siti Hawa binti Kassim yang terlalu hiba dengan perlakuan Khairul bertindak menguncikan diri di dalam bilik sepanjang pagi Aidilfitri ini untuk memuhasabah diri.

“Kalau dia berakhlak sikit, keadaan tak perlu jadi sulit macam ni. Pada akhirnya, kami tetap manusia. Sebelum ni kami tak kisah dengan segala foto di media sosial yang menampilkannya sedang meludah tepat ke kamera atau mengacah perbuatan ‘cunnilingus’ dengan menjelirkan lidah di antara dua jari, tapi bila terkena batang hidung sendiri pedihnya memang tak terkata,” jelas Siti Hawa.

*Keh = saya (biasa digunakan di daerah Lipis dan Raub)