Peruncit Rohingya Akui Pelanggan Semakin Rasis Namun Masih Membeli Di Kedainya

"Mereka panggil kaum saya sebagai 'biawak hidup' sambil pesan daun ketumbar seringgit."

KUALA LIPIS – Dengan berlatarbelakangkan COVID-19 yang sedang melanda negara, terdapat kempen mengapikan sentimen kebencian terhadap pelarian Rohingya di kalangan rakyat Malaysia baru-baru ini. Terbaru seorang peruncit yang berketurunan etnik minoriti Islam tersebut diserang dengan pelbagai cara berasaskan perkauman di kedainya. Namun para saksi melaporkan ia daripada kalangan pelanggannya sendiri yang datang untuk membeli barangan harian.

“Hari tu saya buka kedai macam biasa, dan tiba-tiba datang seorang mak cik yang merupakan pelanggan tetap dengan muka masam,” jelas peruncit itu yang mahu nama dan premis perniagaannya dirahsiakan. “Belum sempat saya tanya apa-apa, terus dia maki hamun saya, kaum saya dan suruh kami berambus dari negara ini. Itu tak mengejutkan sangat sebab hal begitu biasa berlaku. Yang membuatkan saya tercengang, dalam nafas yang sama dia terus sambung, ‘Dan bagi lengkuas sikit, santan sekilo, daging sekilo dan kerisik; hari ni nak masak rendang.’”

Peruncit tersebut menyatakan yang serangan demi serangan tidak putus-putus berkunjung tiba sejak kebelakangan ini, dari setakat lisan sehingga ke arah fizikal. “Mereka conteng tong-tong gas saya dengan kata-kata kesat dan ugutan, tapi biasanya susah nak baca sebab saiz huruf tak seimbang – mula dari sebesar-besar alam akhirnya bertukar halus kerana tak pandai bajet ruang. Yang tak tahan, lima minit sebelum itu kumpulan penyerang tersebut baru sahaja beli ikan cencaru daripada saya. Kami siap berbual mesra sambil bertepuk tampar.”

Peruncit tersebut tidak menafikan terdapat juga unsur sabotaj daripada kalangan penyerang/pelanggan yang sering membeli barangan di kedainya dengan terlebih kuantiti.

“Kadang-kadang habis mereka bolot barangan basah yang baru sampai, membayarnya, lalu mentertawakan saya kerana tiada apa-apa lagi untuk dijual,” jelas peruncit tersebut sambil membersihkan peti sejuk yang telah kosong. “Mereka tak tahu yang saya hanya perlu melakukan panggilan telefon dan 15 minit selepas itu stok baru akan sampai. Tapi saya tak sampai hati nak beritahu – sebab muka masing-masing cukup gembira dan puas sewaktu melangkah keluar dari kedai.”

Salah seorang penyerang yang hanya mahu dikenali sebagai Aki mengakui meskipun dia dan penduduk kampung cukup membenci etnik Rohingya, kecekapan pengurusan kedai tersebut tidak dapat disanggah sekali gus membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali membeli di premis itu.

“Iyalah, kalau nak banding dengan yang dekat-dekat sini, kedai Rohingya itu yang paling lengkap barangan dan layanan yang diberikan memang mantap,” jelas Aki seraya mula merangka pelan serangan lebih dahsyat yang melibatkan penghantaran ke alamat palsu. “Saya bukan nak mengata, tapi kedai-kedai di sekitar sini selalu stok tak cukup dan para pekerjanya 24 jam main telefon. Bila ditanya tentang sesuatu barangan, mereka hanya menuding dengan hujung telefon sambil berkata, ‘Tengoklah sendiri dekat situ.’ Bila tak ada, mereka hanya mengangkat bahu lalu menambah, ‘Kalau tak ada tu tak adalah.’ Tak geram saya dibuatnya? Saya berharap bila kami berjaya mengusir peruncit Rohingya tersebut dari sini, dia masih berniaga secara atas talian sebab terus terang cakap kami gemar membeli barang daripadanya.”

Dalam perkembangan lain, sebuah kedai makanan haiwan di Jerantut milik sebuah keluarga Cina hampir-hampir diboikot kerana dituduh memonopoli pasaran sekitar. Bagaimanapun, setelah mendapati harga barangan kedai berkenaan jauh lebih berpatutan daripada pesaing-pesaing terdekat yang gemar melakukan pencatutan dan para pelanggan hakikatnya cukup selesa datang untuk berurus niaga, usaha pemulauan tersebut serta-merta dibatalkan tanpa alasan yang jelas oleh mana-mana pihak.