Pemuda Lipis Putuskan Tak Mahu Azan Anak

"Bila dah besar besok tahulah dia laungkan sendiri."

KUALA LIPIS – Suasana sunyi Hospital Kuala Lipis bertukar menjadi porak-peranda malam tadi apabila seorang ayah bernama Mohd Zulfadli bin Jamaluddin mengambil keputusan tidak mahu mengazankan anak lelakinya yang baru lahir, beberapa jururawat yang lari bertempiaran mengesahkan.

“Lama saya memasang niat tak nak azan,” ujar Zulfadli seraya diperhatikan oleh staf-staf hospital dari jarak selamat. “Tapi bila saya tenung wajah anak saya lama-lama, saya fikir, ‘Ah, malaslah. Bila dah besar besok tahulah dia laungkan sendiri.’”

Zulfadli mengakui pada awalnya dia bertakat-takat untuk melakukan perbuatan spontan yang melanggar adab Islam ini, mengenangkan pengalaman yang melibatkan kelakuan tidak senonoh banyak mengundang malapetaka kepadanya.


“Saya masih ingat lagi bila saya tolak khatam al-Quran waktu nak kahwin,” jelas Zulfadli. “Dan masa saya buat tak tahu bila diarah untuk solat sunat nikah. Tetamu satu-satu terbeliak biji mata bila mendengarnya. Sampai sekarang cakap-cakap antara sanak saudara tak habis. Ada yang tak kasi datang rumah pun walau pada era prawabak COVID-19.”

Bagaimanapun, setelah beberapa jam dilanda kebosanan menantikan proses bersalin isterinya selesai, keyakinan mula memamah perasaan teragak-agak. Akhirnya, Zulfadli membiarkan takdir sahaja memutuskan nasibnya di mata masyarakat kelak.

“Saya mengingatkan diri saya sendiri, ‘Fad, kalau kau azankan anak kau, kau hanya akan pulang seperti bapa Islam yang lain. Tak ada istimewanya,’” ujar Zulfadli seraya mula merancang nama anaknya yang juga bakal kedengaran luar tabii. “‘Tapi kalau kau buat begini, cerita kau akan tular dan orang akan ingat tentang kau sekurang-kurangnya dalam sehari dua ni.”

Para saksi berbelah bahagi dengan keputusan pemuda berusia 26 tahun tersebut yang jelas tiada perancangan jitu.

“Fad dari dulu memang tak kisah sangat bab-bab amalan ni,” Isteri Nur Suhana binti Ghazali menyimpulkan. “Tapi suami, kan, nak buat macam? Asalnya ingat dia jenis tak nak menunjuk, rupanya tak ada pegangan agama langsung.”

Pun begitu, tidak semua mampu bertolak ansur dengan tingkah laku Zulfadli.

“Kepala otak dia tak nak azan! Dia ingat dia Amerika sangat ke?” teriak bapa mertua Ghazali bin Ghaus tatkala cuba ditenteramkan oleh beberapa pengawal keselamatan hospital. “Azan tu cuma sebahagian sahaja – tahnik, cukur jambul, aqiqah, khatan semua lepas ni macam mana? Gila, aku dah kahwinkan anak aku dengan siapa ni?”

Menurut Zulfadli, dia tidak berasa kesal mengikut kata hati tanpa memikirkan langsung perasaan mana-mana pihak.

“Reaksi setakat ini semua seperti yang saya jangka,” ujar Zulfadli sambil membelek telefon pintarnya. “Nah, tengok. Di Facebook dah ada orang ugut nak bunuh saya. Perfek!”

Sewaktu berita ini disiarkan, Zulfadli tidak putus-putus dihubungi wartawan media Barat kerana dilihat berani mencabar norma masyarakat Timur yang lazimnya terlalu tunduk kepada budaya dan adat resam agama.