Pemuda Lipis Baru Sedar Telan Air Liur Tak Batalkan Puasa

Salah faham ketika usia lima tahun membawa padah hingga dewasa.

KUALA LIPIS – Seorang pemuda yang dikenali sebagai Din Kering oleh penduduk tempatan menerima kejutan yang bukan kepalang pada hari ketiga Ramadan apabila dia diberitahu bahawa menelan air liur tidak membatalkan puasa.

Menurut Din Kering yang berusia 36 tahun itu, dia telah berpegang kepada hukum “haram untuk seseorang yang berpuasa menelan air liur” sejak berusia lima tahun lagi.

“Saya ingat tak ingat macam mana idea tu boleh tertanam dalam fikiran saya,” jelas Din dengan nada terketar-ketar kerana masih dibelenggu kejutan. “Bila fikirkan balik mungkin ada pak sedara yang sengaja berlawak, tapi entah macam mana saya boleh termakan sampailah kawan-kawan saya hari ini menidakkan dengan kata-kata nista seperti ‘kepala hotak kau’ dan ‘kau belajar agama kat mana, bodoh?’”


Ketika itu, Din dan beberapa rakan sedang menjamu selera di sebuah lokasi rahsia kerana tidak berpuasa. Din yang sedang asyik bersantap meluahkan perasaan bahawa puasa ialah suatu ibadah yang sukar kerana “telan air liur pun tak boleh.” Rata-rata rakannya yang merupakan pejuang papan kekunci Melayu-Islam lantas membetulkan salah faham tersebut dengan segala ilmu Fiqh di dada.

Insiden tersedak hampir tercetus, namun Din sempat diselamatkan oleh seorang pakcik berkopiah yang menghulurkan segelas jus tembikai.

“Selepas itu saya tengok Din termenung panjang. Nasi pun tak disentuhnya lagi,” jelas Wan Nazrin, rakan Din yang turut berada di situ. “Tak terkejutlah kenapa selama ni bila ada orang sebut ‘Islam itu mudah,’ dia macam tarik muka. Rupa-rupanya dia ingat air liur perlu diludah dan tak boleh ditelan apabila berpuasa. Saya harap siapa-siapa yang menipunya semasa kecil dulu ada neraka khas untuknya bila mati besok.”

Jelas Din lagi, prinsip tersebut membuatkannya langsung tidak pernah berpuasa hingga ke hari ini.

“Saya ingat mana-mana manusia pun tak mampu buat, dan siapa-siapa yang berpuasa di luar sana tu sebenarnya hipokrit dan ada sorok-sorok makan macam saya juga,” jelas Din lalu menangis teresak-esak. Din kemudian menambah akan tekad berpuasa mulai minggu hadapan kerana dalam sehari dua ini dia masih mempunyai beberapa “port makan best” untuk dihadiri bersama rakan-rakan di sekitar Kuala Lipis.

Dalam satu kes berasingan di sini, seorang tukang masak bernama Heri pula mempercayai bahawa beristinjak adalah dilarang sama sekali di sepanjang bulan Ramadan.