Pelajar Tahfiz Tak Sabar Ulang Kontroversi Da’i Farhan Bila Dewasa

“Saya akan pecah rekod beliau didekati 18 wanita yang tawar diri untuk jadi isteri sebelum umur 20 tahun.”

KUALA LIPIS – Pelajar Pusat Tahfiz Darul Muhajirin, Muhammad Zaki bin Samsuddin tidak sabar untuk mencapai usia dewasa dengan secepat mungkin hanya kerana ingin mengulangi kontroversi Da’i Farhan yang sering menjadi bahan bualan masyarakat kebelakangan ini, menurut sumber yang geleng kepala mendengar.

“Pelan pertama saya tentulah untuk menyebar ajaran Islam,” ujar Zaki, 12 tahun, yang ditemui di rumahnya di Kerambit berikutan penutupan sekolah dek penularan wabak COVID-19. “Tapi pelan kedua yang tak kurang pentingnya ialah saya nak jadi macam Da’i Farhan – seorang tokoh agamawan yang saya cukup pandang tinggi kerana keupayaan beliau untuk menjadi penceramah yang suam-suam kuku tapi masih boleh meraih hati ramai wanita sampai ada yang menawarkan diri untuk menjadi isteri.”

“Saya dengar beliau pernah didekati 18 wanita? Saya akan pecahkan rekod itu sebelum mencapai usia 20 tahun,” Zaki menegas. “Lepas itu saya akan kahwin, cerai, kahwin, cerai, rujuk balik dan sebagainya. Pendek kata, sama sahaja dengan Da’i Farhan tapi berganda-ganda lebih dahsyat – rakyat Malaysia akan menangis hiba dan lari bertempiaran kerana hilang akal.”


Rakan-rakan karib mengesahkan persona Da’i Farhan sememangnya sering bermain di kotak fikiran Zaki sejak pendakwah bebas tersebut mula dilanda kontroversi pada hujung tahun lalu. Da’i Farhan atau nama sebenarnya Nik Ahmad Farhan Nik Mohammad menceraikan isteri pertamanya yang sarat mengandung demi mengahwini seorang janda anak lapan yang ditemuinya sewaktu di Makkah. Bagaimanapun, beberapa hari lalu Da’i Farhan dipercayai telah menceraikan isteri barunya bagi merujuk semula bekas isterinya.

“Ya, dia betul punya suka Da’i Farhan,” ujar Amirul Bahari bin Qamat yang dahulu merupakan rakan rapat Zaki dalam mengulang kaji pelajaran sehinggalah pelajar tersebut mula menampal poster Da’i Farhan di serata bilik prep. “Saya faham resmi ustaz-ustaz zaman sekarang suka hebah betapa para muslimah menggilai mereka, tapi sampai ke tahap obses nak mengulangi kegagalan Da’i Farhan dalam berumah tangga? Seperti golongan kafir selalu kata, what the f**k?”

“Saya dengar cerita dia juga sudah mula kunyah banyak benda-benda manis agar giginya sama berterabur dengan Da’i Farhan yang dipercayai merupakan daya penarik utamanya di kalangan wanita.”

Zaki dilaporkan tidak dapat menutup keterujaannya bergebang tentang “Kaabah sebagai saksi kisah cintanya” dan menyamakan “aura kekasihnya dengan Siti Khadijah R.A.” suatu hari kelak sehingga membuatkan ahli keluarganya tidak selesa.

“Saya gembira Zaki memasang cita-cita nak jadi seorang ilmuan agama terkemuka,” ujar ibu Zaki, Puan Hasnah binti Osman. “Tapi saya tak pasti jika dia perlu nak ada kehidupan peribadi seperti mereka juga khususnya Da’i Farhan. Menurut Zaki, kehidupan seorang agamawan memang dipenuhi dengan dugaan sehingga bertempias kepada ahli keluarga, jadi dia berharap saya sudah mula mempersiapsiagakan diri saya dari serangan wartawan dan warganet jika dia dilanda kontroversi 10 tahun dari sekarang.”

Sewaktu berita ini disiarkan, Zaki dikatakan sedang tekun mencipta beberapa siri “pikat line” di hadapan cermin dengan ayat-ayat yang dibumbu hujah al-Quran serta hadis. Kata-kata seperti “payung emas” dan “syurga di bawah tapak kaki suami” juga kedengaran dari mulutnya berulang kali.