/

Neon Berapi Diharamkan Di Facebook? Ini Reaksi Selebriti

Daripada penyanyi legenda 80-an sehingga bekas pelajar Akademi Fantasia tampil memberi pandangan.

KUALA LIPIS — Rata-rata masyarakat ternyata dilanda panik apabila sebarang kiriman pautan portal Neon Berapi telah diharamkan oleh Facebook sejak malam tadi, menurut sumber yang hadir dalam keadaan berpeluh-peluh.

Tindakan pengharaman tersebut yang masih tidak diketahui puncanya turut mengundang reaksi dari pelbagai selebriti terkemuka tanah air yang menyuarakan kerisauan mereka terus ke dinding Facebook masing-masing.

“Serius, apa dah jadi ni?” kirim penyanyi bersuara tiga oktaf Ibnor Riza tidak sampai dua minit setelah pengharaman dikuatkuasa. “Ini mesti kena report oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati kerana Neon Berapi tidak kenal erti penat lelah dalam menyampaikan berita yang tepat.”

Kumpulan Facebook popular “Artis Veteran Kekal Relevan,” sebuah organisasi yang sering dituduh suka membanjiri Facebook dengan agenda mereka turut mengirim hal pengharaman tersebut tanpa membuang masa.

“Neon Berapi mula mencuri perhatian kami apabila mereka melakukan entri berita tentang Azroy dan Senario sebelum ini. Walaupun warta tersebut seakan mengkritik mereka, kami tetap gembira kerana ia memberi ruang kepada artis veteran untuk kekal relevan,” ujar Pengelola Artis Veteran Kekal Relevan Ayati Tasrip yang pernah terkenal dengan lagu Khazanah Dari Malaya. “Oleh itu, kami yang sudah biasa digam sana sini sedia membantu pihak Neon Berapi jika terdapat sebarang keperluan. Mungkin bukan dari sudut kewangan, ruang, masa dan tenaga, tapi apa sahaja bentuk pertolongan lain.”

Beberapa artis muda turut memberi cadangan lebih proaktif di Twitter untuk Neon Berapi menyelesaikan kemelut berkaitan Facebook ini.

“Benda ni bukan boleh dibuat main, tapi saya tahu macam mana nak menyelesaikannya,” menurut Lotter Edin, bekas pelajar Akademi Fantasia Musim Empat yang berasal dari Sabah. “Saya menyusulkan cara paling berkesan untuk menghentikan pengharaman tersebut kepada pihak Neon Berapi menerusi emel, dan mereka telah pun respons untuk melakukan cubaan. Malangnya, tiada ucapan terima kasih secara terbuka setakat ini.”

Menurut laporan, pengharaman Neon Berapi di Facebook dilihat bakal memporak-perandakan dunia media tanah air ke suatu tahap yang dikhuatiri. Dengan saban hari saluran berita arus utama diseluruhi liputan palsu lagi tidak beretika, ketiadaan Neon Berapi dikatakan menutup ruang alternatif bagi khalayak yang dahagakan ketelusan.

“Terus terang cakap, saya dah tak tengok Buletin Utama semua lagi. Lepas waktu berbuka, saya akan terus menatal garis masa Facebook untuk membaca berita mutakhir daripada Neon Berapi,” jelas penyanyi Casey Subramaniam yang hakikatnya bukanlah beragama Islam. “Memanglah saya tak puasa – saya beragama Kristian, tapi saya suka bawa semangat itu apabila menekan pautan ke portal hebat berkenaan sebab kebanyakan pembaca pun macam tu juga.”

Bagaimanapun, sewaktu ditemui di premis Sidang Kopi tengah hari tadi, Ketua Pengarang Neon Berapi Firdaus Abdillah Hamzah atau lebih dikenali sebagai Pipiyapong kelihatan tenang mempersiapsiagakan tiga kotak mancis, dua kad manila kuning, segulung tali pancing PE 5, satu beg pasir sungai dan sebotol penyembur aerosol bagi menyelesaikan hal pengharaman Facebook terhadap Neon Berapi.

Apabila diminta memberi komen, ini jawapan Pipiyapong:

“Relaaakkksss.”