/

Lebaran Baru: Aidilfitri Selepas 22 Bulan Diperintah Parti Komunis DAP

Rakyat masih menyesuaikan diri dari penyeksaan zahir dan batin ke maaf zahir dan batin.

MALAYSIA – Warganegara Malaysia yang beragama Islam rata-rata mengalami kesukaran untuk mengingati tradisi perayaan mereka tatkala menyambut Aidilfitri buat pertama kali setelah 22 bulan hidup di bawah naungan Undang-Undang Komunis, segelintir rakyat mengesahkan tengah hari tadi.

“Memang rasa peliklah,” ujar Ezuan bin Shamrin, seorang ahli bomba berusia 37 tahun yang menetap di Kuala Lipis. “Saya hanya ingat sikit-sikit pengalaman menyambut Aidilfitri ketika usia muda, tapi setelah pemerintahan zalim parti komunis DAP (Democratic Action Party), susah nak imbau segala amalan kita sebelum tahun 2018.”

Tradisi perayaan ini dikatakan terhakis apabila gabungan Pakatan Harapan yang diketuai oleh parti komunis DAP memenangi Pilihanraya Umum ke-14 dan serta-merta menggubal undang-undang untuk memansuhkan Perlembagaan, membatalkan sambutan Aidilfitri secara besar-besaran serta melaksanakan Undang-Undang Komunis.


“Maksud saya, kita patutnya dah tahu dari awal. Para ilmuan siasah seperti Papagomo, Jamal Yunos dan Lokman Adam sudah memberi amaran tentang semangat komunisme yang pekat dalam DAP, parti politik yang bermatian-matian nak menghancurkan semangat Islam dan Aidilfitri itu sendiri, tapi kita berdegil,” ujar Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Profesor Mariana Kaisan. “Secara peribadinya, saya ingat mereka hanya bersifat perkauman dan cuba menakut-nakutkan sesetengah rakyat yang kurang berpengetahuan. Sekali rupa-rupanya, nah, kita pun tahulah – ramalan mereka terbukti benar belaka.”

Sewaktu era kegelapan pemerintahan DAP, parti komunis tersebut telah meluluskan beberapa undang-undang yang dikatakan bersifat kuku besi: Kata-kata mutiara dari Buku Merah Mao Zedong ditampal di segenap papan iklan semasa musim perayaan, segala hasil zakat fitrah disalurkan terus ke Yayasan Chin Peng, malah ucapan “Selamat Hari Raya” dalam bentuk lisan boleh mengakibatkan seseorang itu ditahan di bawah SOSMA.

“Nampak macam komunisme akan terus kekal di Malaysia sehinggalah Perikatan Nasional (PN) berjaya menyelamatkan keadaan dan merampas tampuk pemerintahan negara secara adil dan saksama,” ujar Suresh Rahman bin Abdullah, seorang tukang gunting rambut. “Sebaik sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin diumum sebagai Perdana Menteri ke-8, terus saya ambil lampu lip lap dari stor dan gantung semula di tempat asalnya – di depan rumah.”

Bangkit dari bayangan DAP, sesetengah rakyat Malaysia yang terlebih dahulu mahu melihat diri mereka sebagai “Islam Melayu” amat bersikap optimistik terhadap keteguhan syariat di bawah PN.

“Lega rasanya bila tengok kepimpinan negara diterajui oleh tokoh-tokoh seperti Muhyiddin dan Azmin Ali,” jelas Ezuan. “Walaupun masing-masing terpalit dengan pelbagai kontroversi berkaitan kewibawaan, video seks dan pelbagai lagi tuduhan korupsi, itu semua tak penting. Yang penting di dalam kubur besok bila Munkar Nakir tanya awak dulu sokong kerajaan yang berpaksikan mana, saya tak terkumat-kamit nak menjawab.”