Ketua Chef Sidang Kopi Cuba Faham Sains Di Sebalik Burnt Cheesecake Danish Harraz

Terutamanya taburan bunga orkid sebagai hiasan.

KUALA LIPIS – Ketua chef Sidang Kopi yang dikenali sebagai Mamat gemar menonton video masakan oleh chef terkemuka seluruh dunia bagi mengisi masa lapang selain menimbang tara resepi yang diciptanya sendiri. Mamat yang terkenal dengan hasil classic cheesecake di kafe berkenaan walau bagaimanapun mengakui terdapat sedikit kekeliruan apabila beliau menonton sebuah video masakan oleh Chef Cilik Danish Harraz yang dikirim di Facebook kira-kira dua tahun lepas.

Di dalam video yang berdurasi seminit 24 saat itu, Danish mempamerkan cara-cara membuat chocolate marble burnt cheesecake dengan cara yang mudah. Menurut Mamat, setiap langkah yang diambil oleh Danish tidak menjadi masalah dan boleh dikatakan tepat dalam setiap penggunaan bahan. Pun begitu, yang menjadi persoalan ialah pada sentuhan terakhir, Danish tidak semena-mena menabur kelopak bunga orkid di atas kek tersebut.

“Itu yang buat saya pening tu,” jelas Mamat. “Tak pernah dalam sejarah saya tengok orang tabur orkid atas kek. Jadi saya mengambil keputusan mengkaji dengan lebih lanjut pemaknaan sains di sebalik keputusan adik Danish itu.”


Rakan-rakan sekerja di Sidang Kopi terkejut menyaksikan Mamat bersengkang mata tujuh hari tujuh malam untuk menjawab persoalan taburan orkid tersebut.

“Walaupun negara tengah dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perpustakaan awam semua ditutup, entah macam mana Mamat boleh dapat kumpul segala buku tentang orkid di luar sana,” jelas barista utama Sidang Kopi, Ismail Othman. “Berduyun-duyun nota dia catit untuk menyelami makna taburan orkid di atas kek itu.”

“Tapi maaf cakap,” tambah Ismail. “Rasanya Danish Harraz pakai bedal buat hiasan tu. Umur dia tak sampai 13 kot, bentan sunat pun entah-entah tak habis lagi.”

Mamat juga sesekali dilihat meratah bunga orkid untuk memperluaskan kajiannya.

“Itulah, sedap juga orkid rupanya,” sambung Ismail yang mengakui turut sama meratah bunga tersebut jika terdapat tangkapan lebih.

Seorang lagi rakan sekerja Nazim Masnawi berkata Mamat kadang kala terlelap sepanjang malam di kedai sambil merangkul jambangan orkid dengan video masakan Danish berputar tanpa henti di telefonnya.

“Dalam tidurnya, saya boleh dengar dia mengigau sambil kata, ‘Orkid… orkid… orkid,’” jelas Nazim. “Saya tak sampai hati nak kata yang mungkin Danish sudah tak fikir pun pasal orkid sejak dia tabur bunga tersebut pada kek berkenaan.”

Berkemungkinan besar Mamat tidak akan menemui jawapan yang dicarinya, namun rakan-rakan di Facebook kembali menghargai kepentingan orkid yang kadang kala dilihat sebagai bunga parasit.

“Kalau dah hari-hari kirim di Facebook pasal orkid, siapa yang tak terpengaruh?” jelas Ismail. “Isteri saya pun dah mula tanam orkid.”

Ketika ditemui hari ini, Mamat baru sahaja selesai mencacah tatoo bunga orkid pada bahagian belikat tubuhnya dengan kata-kata “Orkid Foriver.”

Menurut Mamat, ejaan “forever” tersebut memang sengaja disalahkan namun pihak Neon Berapi tidak begitu pasti akan hal itu.