Kemunculan Semula Naga Merunsingkan Penduduk Lipis

Kedatangannya tidak diundang, juga tidak pernah dipedulikan.

KUALA LIPIS – Kenaikan paras air Sungai Jelai akibat hujan lebat kebelakangan ini menyebabkan seekor naga melakukan kemunculan semula meskipun penduduk tempatan rata-rata tidak pernah menyukai kehadirannya sejak dahulu.

“Beberapa tahun sekali dia akan timbul ke permukaan macam dia gempak sangat. Mungkin masa kecil dulu bolehlah saya kagum, tapi kalau dah selalu sangat mendarat dan makan percuma di ladang jagung saya, jelak juga,” jelas Abdul Razak Roslan yang menetap di Kampung Binjai berdekatan gigi sungai tersebut. “Ingatkan tahun 2020 ni dia tak akan muncul mengenangkan umat manusia sendiri sedang berdepan dengan pelbagai malapetaka seperti COVID-19, sekali ada juga juga sekali gus membawa malapetakanya yang tersendiri.”

Naga tersebut yang lebih dikenali sebagai Jalil dipercayai telah hidup di dasar Sungai Jelai sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kemunculan sekali-sekala Jalil dipercayai adalah suatu usaha untuk membuka mata masyarakat terhadap nasib spesiesnya yang telah pupus. Bagaimanapun, setakat ini ia tidak pernah membuahkan hasil – kehadiran Jalil masih tidak diendah sesiapa.


Aktivis alam sekitar Profesor Maketab Mohamed mengharapkan Jalil bekerja keras untuk membawa dirinya lebih maju ke hadapan. “Saya faham dia tak nak beria-ia tonjolkan dirinya, cuma muncul sejenak sambil sembur api sana sini sikit. Tapi zaman dah berubah, dan khalayak akan tanya apa fungsi dia dalam masyarakat. Kalau setakat jadi kutu berahak yang melepak sahaja sepanjang hari, ramai lagi anak muda Lipis seperti itu.”

Kebanyakan pakar pemasaran bersetuju dengan saranan profesor tersebut.

“Dulu saya pernah nasihatkan Jalil agar berpindah ke sungai yang lebih dekat dengan bandar supaya mudah untuknya meraih perhatian. Tapi sekarang tak perlu lagi – dari dasar Sungai Jelai, dia boleh sahaja memuat naik video ke media sosial yang menayangkan aktiviti dia sedang memasak, ‘unboxing’ produk kecantikan, main permainan video, bina diorama Lego; apa sahaja. Tunjukkan kepada manusia dia juga boleh buat apa yang mereka buat, baru orang terkesima. Lepas tu nak bergebang pasal waris terakhir spesies yang pupus ke apa, balunlah,” ujar penganalisis pasaran atas talian, Lisa Ng.

Walau bagaimanapun, naga sepanjang 15 kaki itu tidak bersetuju. Menerusi terjemahan seorang pakar bahasa, Jalil menerangkan dia tidak berniat untuk mengejar publisiti demi kelangsungan hidup sebagai seekor haiwan purba.

“Tak sangka orang tuduh saya bukan-bukan. Mungkin sebab saya bukan sebahagian daripada mereka, mungkin sebab cara saya sendiri, entahlah. Tapi baru-baru ni saya mendekati manusia tanpa ada niat apa-apa kecuali nak ucap ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri,’” jelas Jalil. “Tak apalah, umur saya pun dah tak panjang ni. Dah tiba masanya saya turun ke dasar dan tak muncul-muncul lagi. Saya cuma nak jaga sisik saya yang dah mula lekang ni baik-baik. Biar bila mati besok dan jenazah saya terdampar di Kuala Medang atau apa, manusia tak jelik sangat dengan keadaannya. Itu sahaja.”