Imam Tarawih 20 Rakaat Akui Amalkan Lapan Rakaat Sahaja Di Rumah

"Kalau ada rancangan TV menarik, saya tak buat langsung!”

KUALA LIPIS – Tuan Haji Zainal Kareem yang merupakan imam besar masjid dekat-dekat sini cukup terkenal sejak dahulu dengan ketegasannya melakukan solat sunat tarawih 20 rakaat pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan. Bagaimanapun, pada tahun ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa, pendirian beliau terhadap solat tarawih sedikit berubah: Beliau hanya melakukan lapan rakaat sahaja di rumah.

“Sejujurnya, saya rasa macam munafik pun ada. Sebelum-sebelum ini, saya pantang betul bila ada ahli kariah menyuarakan cadangan untuk memendekkan tarawih kepada lapan rakaat. Segala Hadis Ibn Abbas saya teriak ke muka masing-masing,” jelas Hj. Zainal yang ternyata malu-malu dengan komprominya sekarang ini. “Dari satu segi, saya masih berpegang kepada tarawih 20 rakaat dengan segala dalilnya, tapi dari satu segi yang lain… eh, sedap juga tarawih lapan rakaat sahaja.”

Kebanyakan penduduk Kuala Lipis yang cukup mengenali sikap tiada tolak ansur Hj. Zainal mula bercakap-cakap tentang perubahan haluan tersebut.

“Bila saya melakukan tarawih lapan rakaat, maaf cakap, saya ada masa lebih untuk buat benda lain,” tambah Hj. Zainal yang senang bersandar di ruang tamu rumahya sambil meratah baki murtabak sajian iftar tadi. “Kalau ada rancangan TV menarik, macam Kampung People yang diulang tayang di TV3 sekarang, saya langsung tak buat atas dasar menyokong bekas rakan sekolah pondok saya, Ustaz Nazri Md. Isa yang membintangi siri itu.”

Haji Zainal mengharapkan pendiriannya dalam hal rakaat tarawih lebih konsisten pada tahun-tahun akan datang agar tidak mengelirukan ahli kariah masjid. Bagaimanapun, beliau menambah, “Kita tidak patut berbalah lagi soal lapan atau 20 rakaat. Orang yang bertarawih lapan rakaat tidak semestinya berpegang pada fahaman tertentu sahaja. Janganlah kita menolak pahala solat tarawih orang lain atas sikap fanatik dan ekstrimisme kita. Kita kena faham, bukan mudah kita hendak berhenti begitu sahaja setelah seharian maratonton dua tiga musim siri Netflix.”

Sementara itu, di Raub, seorang bilal dilanda kontroversi kerana melakukan solat sunat tarawih 10 rakaat di rumah meskipun terdapat sanad sahih yang menyokong pembolehannya. Menurut laporan, hanya kerana ia jarang-jarang dilakukan, penduduk setempat menuduh bilal tersebut sebagai “sesat,” “tidak mengikut sunnah” dan seumpamanya.