Guru Ingatkan Sekali Lagi Doanya Antara Paling Dimakbulkan

Ugutan emosi atau sekadar peringatan pada Hari Guru?

KUALA LIPIS – Guru Teknologi Elektronik Kolej Vokasional Sultan Hj. Ahmad Shah, Mustafa bin Mulah hari ini mengingatkan para pelajarnya menerusi sebuah mesej WhatsApp bahawa “doa seorang guru antara yang paling dimakbulkan,” beberapa sumber dalam kalangan tukang kebun sekolah mengesahkan.

“Sedih juga bila membacanya. Mula-mula Cikgu Mus(tafa) ucap, ‘Hai, Selamat Hari Guru kepada diri saya sendiri!’ Lepas tu dia kirim peringatan tentang mustajabnya doa seorang guru dengan semua huruf besar,” jelas pelajar tingkatan empat Sakinah binti Hassan. “Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), dia memang jenis cikgu yang suka memetik tentang berkat tak berkat dan halal tak halal sesuatu ilmu itu jika pelajar tak dengar cakap. Tapi tak sangka pula bila sekolah tutup macam ni pun dia masih tekad memperjuangkan hal tu. Kalau sekali dua hantar mesej tak apa lagi, ini setiap lima minit sejak pagi tadi.”

Menurut Emran bin Ruslan, guru Teknologi Elektrik di bangunan sebelah, ini ialah satu lagi langkah Mustafa dalam memastikan dirinya dipandang tinggi oleh pelajar.


“Bukan benda peliklah untuk lihat Mus menghebahkan nilai pengorbanan seseorang guru dalam membentuk generasi hadapan,” ujar Emran. “Selama ni dia akan pasang lagu Biarku Menjadi Lilin melalui telefon pintar sewaktu melangkah masuk ke dalam kelas. Sebagai guru jurusan Elektronik, dia patut lebih tahu gegendang telinga tak boleh tangkap setiap barisan lirik dengan audio berkadar begitu, apatah lagi budak-budak ni mungkin tak pernah tahu langsung tentang kumpulan Pelangi.”

Cara Mustafa ialah sebahagian daripada trend meluas para guru dalam mendidik pelajar sekolah pada hari ini. Barisan pendidik di sekitar daerah Cameron Highlands telah melakukan pelbagai “kempen” kesedaran bagi melahirkan golongan muda yang berakhlak mulia.

“Lagi meluas trend ni lagi saya suka.” Timbalan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Valley, Kalaivanan A/L Mahendran mengambil sikap berterus terang. “Budak-budak zaman sekarang pun dah makin kurang ajar; ditambah lagi dengan ibu bapa yang tak membantu. Saya pernah dengar cerita seorang pelajar yang tak terima nasihat gurunya agar berhenti merokok, akhirnya dia mati dek HIV kerana ketagihan dadah. Walaupun saya tak minta pelajar saya terima nasib yang sama, pengajarannya amat bagus untuk diwar-warkan supaya mereka kenal erti budi pekerti.”

Mustafa sedikit sebanyak lega mendengar sokongan Kalaivanan.

“Hanya guru sahaja yang boleh faham perasaan seorang guru lain,” ujar Mustafa seraya menaip “tak berkat ilmu jika tak hormat guru” sebagai sebahagian dari mesej seterusnya untuk dihantar kepada para pelajar. “Mungkin ada yang rasa pendekatan saya ni agak ekstrem, lantaklah – waktu saya kecil dulu kadang-kadang silap sikit dah kena lempang dengan cikgu. Malangnya, hukuman fizikal begitu dah tak relevan pada zaman sekarang, jadi biarlah saya dengan cara saya ni untuk memulang paku buah keras.”

Dalam perkembangan lain, suatu kejadian aneh berlaku di Temerloh apabila seorang remaja berusia 13 tahun didapati menipu daya orang ramai dengan mempergunakan nas dan dalil agama Islam sejak PKP dilangsungkan. Hal ini dipercayai berlaku kerana dia didoakan guru pendidikan jasmaninya agar “menjadi ahli PAS” pada hari terakhir persekolahan kerana memonteng kelas.