Gadis Lipis Tak Jadi Tayang Kemewahan Kepada Pembuli Yang Hidap Kanser

Tidak semua dendam dapat dibayar tuntas.

KUALA LIPIS – Dengan semangat Aidilfitri yang masih membara, usahawan atas talian Nur Qistina binti Adlawi dilaporkan telah bertahun-tahun bekerja keras untuk membaiki mutu kehidupan demi membalas dendam terhadap pembulinya di zaman sekolah Shazia binti Harun. Bagaimanapun, Qistina diwartakan bahawa Shazia kini menghidap kanser usus tahap empat.

“Saya langsung tak kenal erti penat lelah, cuba kembangkan perniagaan saya setiap hari, dan telan sahaja segala benda melalut yang Azizan Osman suapkan. Tahun lalu pada usia 27 tahun, saya meraih pendapatan RM1 juta saya pertama, tapi untuk apa? Sia-sia sahaja,” ujar Qistina yang dahulunya merupakan nerda bermata empat dengan mulut berbau. “Lagi teruk? Shazia pun tak kenal erti penat lelah dengan caranya yang tersendiri – dalam sakit-sakitnya, dia rajin berkempen untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya kanser. Ramai pula tu yang sokong. Kenapa mereka tak istiqamah untuk sehari dua sahaja lalu meneruskan hidup masing-masing macam biasa?”

Qistina kemudian menghubungi Shazia menerusi mesej langsung Instagram dengan harapan dapat “meredakan sedikit rasa bencinya yang masih meluap-luap.”


“Alhamdulillah, tatkala saya diuji dengan pelbagai dugaan, ramai rakan lama datang mencari untuk memberi sokongan jasmani dan rohani. Tapi saya terkejut apabila menerima perkhabaran daripada Qistina mengenangkan sejarah kami dahulu,” ujar Shazia lalu tertawa sendiri apabila terimbau nama timangan yang pernah diberikannya kepada bekas rakan sekelas itu, Qis-My-A*s.

Pun begitu, Shazia mengambil peluang tersebut untuk memohon maaf lagi-lagi di musim perayaan ini. “Saya sampai menangis menyatakan kekesalan saya, tapi Qis-My— Qistina tak mahu dengar. Sebaliknya, dia bergebang tanpa henti tentang rutinnya bekerja siang malam, dan mengakhiri perbualan dengan berjanji akan menderma sebanyak RM100 ribu kepada Yayasan Kanser Shazia sebelum menambah, ‘Kawan baik kau masa sekolah semua tu mampu ke buat gini’”

Terbaru Qistina dikecam di media sosial kerana gemar bertandang ke akaun Instagram kanak-kanak sekolah yang tidak dikenali untuk bercakap tentang kemewahannya tanpa sebarang provokasi.

“Mula-mula dia kata dia hanya meninjau potensi model kanak-kanak bagi produk terbarunya, hanya selepas itu baru dia mengaku tujuannya adalah untuk mencari pembuli sekolah yang masih aktif dan ‘ajar mereka tentang langit tinggi rendah,’” ujar pemerhati media Muhammad Rauf bin Muhaimin. “Nah, saya faham kenapa dia jadi begitu, tapi menyerang kanak-kanak waima secara lisan pun bukanlah jalan penyelesaian. Saya dahulu merupakan pengelola sebuah gerup penyokong parti politik di Facebook, jadi saya tahulah.”

Qistina kemudian dilihat melintasi sekumpulan kanak-kanak berbasikal lalu menekan hon keretanya – sebuah Mercedes Benz Kelas S – bertalu-talu seraya menghamburkan tawa yang disulami air mata.