Gadis Lipis Jatuh Hati Lagi Dengan Hero K-drama Yang Bangsat

Cinta hakikatnya kenal paras rupa – tetapi tidak pada moral, etika dan tanggungjawab.

KUALA LIPIS – Kerani Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Nur Nazihah binti Awaluddin, 24 tahun, tidak semena-mena jatuh hati lagi dengan hero berperangai bangsat siri drama Korea (K-drama) yang ditontonnya beberapa hari lepas.

Beberapa sumber setuju yang Nazihah perlu membuka mata dan beristighfar sekali-sekala.

Sewaktu maratonton Boys Over Flowers¸ Nazihah yang baru berjinak-jinak menonton K-drama akibat terlalu banyak masa terluang dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyedari dia amat tertarik dengan heronya Gu Jun-pyo meskipun watak tersebut merupakan seorang pembuli dan pendera. Bagi Nazihah, ia bukanlah suatu masalah besar.


“Ya, saya tahu dia arahkan rakan-rakannya untuk ‘takutkan’ heroin kita dan mereka tersalah tafsir lalu menyerangnya secara seksual, tapi lepas tu Gu menyesal teruk kot. Dan walaupun dia berterusan dera gadis itu lagi dan lagi dan lagi dan lagi dan lagi, pada akhirnya dia menyayanginya lebih dari segala-gala dalam dunia ni. Bukankah itu lebih penting?”

Rakan serumah Nazihah, Lara tidak begitu bersetuju dengan “kepentingan” tersebut.

“Tolonglah, dari episod pertama lagi dia dah belasah seorang mamat ni sampai watak tu nak bunuh diri, tapi Nazihah tak peduli bila Gu dah mula tayang kemewahan dia untuk menang hati si heroin.”

Balas Nazihah, “Memang dia toksik, tapi kalau awak tanya pakar toksikologi, ada toksik yang baik juga dalam dunia ni sebenarnya; macam bakteria baik dan bakteria jahat”

(Nota editor: Sehingga kini pihak Neon Berapi tidak dapat menemui pakar toksikologi yang boleh mengesahkan perkara tersebut.)

Hakikatnya, memang tradisi Nazihah untuk jatuh hati kepada watak-watak paling tidak berguna dalam filem dan televisyen. Sejak kecil dia menaruh hati kepada antagonis utama Doraemon, Giant (yang dianggapnya sebagai “biasalah budak-budak, nakal, dan Nobita pun lembik sangat”) sehinggalah watak jahat seperti Littlefinger dalam Game of Thrones dewasa ini.

Apabila ditanya tentang pelakon tempatan kegemaran, ini jawapan Nazihah:

Shariff Doll, Salleh Kamil, Mahmud June, A. Rahim, Kamarool Haji Yusoff, Raffi Hussain, Izi Yahya, Fezrol Khan, Riz Amin, Syazwan Zulkifli dan Azhan Rani – rata-ratanya terkenal memegang peranan jahat atau sekurang-kurangya individu yang bermasalah.

“Saya paling tak suka bila orang menghakimi watak Salleh Kamil dalam Isi Neraka. Dia cuma mempersoal sikap masyarakat yang terlalu mengikut kata penguasa tanpa berfikir dahulu macam lembu dicucuk hidung.”

“Lagi sial watak tu, lagilah Nazihah akan tergila-gilakannya,” ujar Lara. “Dia takkan mengaku, tapi dia lebih suka Avengers: Infinity War dari Avengers: Endgame hanya semata-mata sebab Thanos lebih banyak dalam tu.”

Seperti yang dijangka, Nazihah tidak mengaku minatnya lebih memberat kepada filem pertama duologi tersebut.

“Eh, tak adalah. Saya cuma tak puas hati Thanos kalah dalam Endgame, itu sahaja,” jawab Nazihah lalu melayangkan pandangan dengan mata berkaca-kaca.

Teman-teman sekeliling membuat kesimpulan adalah lebih baik Nazihah menyalurkan cita rasanya terhadap lelaki bobrok dalam bentuk watak fiksyen sahaja dan bukannya kehidupan sebenar.

“Mungkin ia sedikit sebanyak memberi dia semacam satu katarsis,” jelas Lara. “Saya tak tahulah apa masalah dia sebenarnya, tapi saya rasa macam ada benda yang tak lepas lagi tu.”

Sangkaan Lara barangkali ada benarnya – Nazihah kini obses untuk menukar penempatannya ke Gombak agar dia boleh mengundi Mohamed Azmin bin Ali, ahli parlimen kawasan tersebut yang terpalit dengan pelbagai kontroversi kebelakangan ini pada pilihan raya akan datang.

“Mesti seksi cara beliau pegang pisau lalu tikam belakang entah siapa pula kali ni,” jelas Nazihah.