Azroy Tak Serik Ingkar PKP Sebanyak 2,673 Kali

Roy, Roy, hati kau masih keras.

PETALING JAYA – Azroy bin Azlan atau lebih dikenali sebagai Roy, watak utama filem Gila-Gila Remaja yang pernah ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dan kedua, ditangkap buat kali ke-2,673 di lokasi sama di Lebuh Raya Damansara-Puchong di sini, pagi tadi.

Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan ketika menunggang sebuah motosikal Kawasaki KE175 pada jam tiga pagi tanpa sebarang dokumen atau alasan munasabah.

Roy yang memakai jaket hitam dan pengikat kepala berwarna merah memberi alasan beliau terpaksa keluar pada awal pagi untuk menderma darah kepada kucing peliharaan bekas isterinya yang ditimpa kemalangan.


Bagaimanapun, taktik Roy ternyata gagal apabila anggota polis mahu mengikutnya ke lokasi menyebabkan bekas isterinya tampil dan nafi ada menghubungi Roy untuk meminta sebarang bantuan.

“Dia sebenarnya datang nak menghendap saya,” jelas bekas isteri Roy, Suziana atau lebih dikenali sebagai Suzi. “Walaupun dah 15 tahun kami bercerai, dia masih tak boleh nak lepaskan saya. Setiap hari dia akan datang lebih 50 kali untuk mengintip melalui tingkap rumah saya dengan baju rempit dia. Saya ingatkan dengan PKP ni akan berkuranganlah, sekali tak juga.”

Roy sempat menyampaikan sepatah dua kata kepada wartawan ketika ditahan.

“Tak habis-habis Suzi dengan hati busuknya. Tak ada kerja saya nak ke rumah dia 73 kali sehari sebab nak menghendap dia,” bentak Roy. “Hei, ini Roylah. Siapa tak kenal, sebut saja semua gadis dah tahu.”

Tambah Roy lagi yang kadang kala tidak dapat mengikis gaya dialog 80-an, tujuan sebenarnya keluar bermotosikal pada pagi tadi hanya untuk menikmati angin dinihari sambil mengimbau kenangan zaman kegemilangan sewaktu di kolej bersama rakan-rakan seperti Kuzi, Ravi dan Chin.

“Buat seketika saya terlupa terus tentang segala tugas melobi kerajaan yang saya kena buat bagi mendapatkan pakej bantuan tatkala pandemik COVID-19 melanda,” jelas Roy yang kini bekerja sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat kewangan terkemuka di ibu negara.

Remy, rakan baik Roy yang telah lama tidak menghubunginya, hanya sayu mendengar berita ini.

“Setiap hari saya fikir di mana silapnya,” keluh Remy yang kini bertugas sebagai pekerja sosial di Kampung Kerinchi. “Tidak dinafikan usia remaja kami memang saat terindah, tapi dia kena terima hakikat yang masa dah berlalu. Dia bukannya kerja tak bagus, jadi saya tak faham kenapa dia nak kejar sangat ‘zaman kegemilangan’ sampai memusnahkan rumah tangga dan kehidupannya sekali.”

Dalam pemeriksaan mengejut yang bermula jam 2:30 pagi hingga 4:30 pagi itu, Zakaria bin Puteh atau lebih dikenali sebagai Zack dari Azura turut ditahan ketika menunggang Yamaha RD350 YPVS dan Shahrol dari KL MenJerit dengan Yamaha TZM 150.

Menurut polis, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Bagaimanapun, setibanya di balai polis Roy hanya diminta untuk memberi keterangan sebelum dibenarkan pulang. Menurut maklumat, ini kerana Roy merupakan kenalan rapat Nurulhidayah Ahmad Zahid yang turut dilanda kontroversi baru-baru ini kerana melanggar PKP tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.