/

Siti Nurhaliza Pura-Pura Tak Nampak Nurul Zahid Ketika Terserempak Di Pasar Raya?

Sebuah persahabatan tampaknya disingkir ke tepi bagaikan ia tidak berharga lagi.

PETALING JAYA – Para saksi tidak dapat menolak kemungkinan bahawa penyanyi nombor satu negara Dato’ Sri Datin Seri Siti Nurhaliza binti Tarudin berusaha sedaya upaya untuk mengelak Nurul Hidayah binti Ahmad Zahid sewaktu mereka bertembung di sebuah pasar raya dekat-dekat sini semalam.

Nurul yang juga anak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilanda kontroversi baru-baru ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan didenda pada kadar RM800 sahaja oleh mahkamah majistret sekali gus membuatkan beliau menerima kecaman hebat kerana didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai anak kenamaan.

“Masa kami terlihat kelibat Nurul dari luar pasar raya memang hati ini dah berbulu, dan bila dia melangkah masuk segala misai janggut dah terkeluar,” jelas juruwang Umairah binti Ikhwan, 24. “Tapi sebelum itu Tok Ti (Siti Nurhaliza) dah sampai dulu, jadi kami ingat mereka sudah berjanji untuk bertemu di sini mengenangkan mereka merupakan kenalan rapat sejak dahulu. Sekali saya perasan bila Nurul jerit, ‘Hei, Siti,’ di suatu lorong, Tok Ti kelihatan bertunggang-langgang melangkah ke arah berlawanan sehingga habis botol minyak jatuh bertaburan dilanggarnya.”


Hubungan akrab di antara Siti dan Nurul sering dibabadkan di media sosial khususnya menerusi akaun Instagram masing-masing. Persahabatan yang terjalin lebih 10 tahun itu pernah mengakibatkan Siti berduet dengan Nurul menerusi lagu Cinta Tanpa Sempadan yang dibikin khas untuk tujuan amal. Ironisnya, menurut saksi, “sempadan” adalah sesuatu yang seakan didamba oleh Siti ketika bertemu dengan Nurul pada petang itu.

“Saya mungkin takkan perasan yang Tok Ti macam cuba nak mengelak Nurul kalau saya tak kejar Tok Ti untuk minta tandatangan,” ujar Khairul Syamzi, 39, yang merupakan peminat Siti sejak di bangku sekolah. “Tok Ti sempat berbual dan mengingatkan saya serta beberapa peminat lain untuk menjaga diri tatkala COVID-19 melanda. Tok Ti mengangkat tangan kepada setiap seorang daripada kami sebelum meminta diri, namun apabila tiba kepada Nurul, Tok Ti hanya melayangkan pandangan ke hadapan, mula bersiul-siul dan berjalan laju.”

Nurul kemudian dillihat meneruskan pembelian dengan muka merah padam. Seperti yang dijangka, penjarakan sosial dan prosedur pengendalian standard langsung tidak dijaga, dan apabila ditegur beliau hanya menjawab, “Binti Ahmad Zahid. Sekian.”