Penulis Skrip Tersohor Nazri M. Annuar Rindu Hasilkan Kerja Tak Berkualiti

PKP memaksa beliau melakukan tugas yang lebih mementingkan mutu seperti memasak dan bertukang.

PETALING JAYA – Penulis skrip tersohor yang pernah menghasilkan filem Kimchi Untuk Awak dan siri drama KL Gangster Underworld Nazri M. Annuar mengakui beliau rindu menghasilkan karya tidak berkualiti dek fitrah industri hiburan yang terburu-buru dalam menyiapkan sesebuah projek sebelum ini.

“Biasanya bila syarikat penerbitan tu menugaskan saya untuk tulis skrip, mereka mahu ia dihantar dua minggu lepas,” jelas Nazri sambil merenung jauh lalu mengimbau pengalamannya yang lebih 10 tahun di dalam lapangan tersebut. “Kadang kala saya dapat siapkan sipi-sipi sahaja kerana lima minit selepas itu penggambaran sudah bermula. Masalah plot longgar dan nama watak tunggang-langgang tak jadi masalah kerana di dalam industri ini mutu skrip jatuh nombor tujuh atau lapan.”

Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh Kerajaan lebih sebulan lalu dalam usaha melawan pandemik global COVID-19, Nazri menyedari beliau terpaksa mendedikasikan lebih masa untuk melakukan kerja-kerja yang mendambakan kualiti seperti memasak dan bertukang.


“Disebabkan semua projek tergendala kerana PKP, saya terpaksa melakukan segala kerja tanpa perlu kelam-kabut khususnya aktiviti rencam di rumah. Semua saya boleh pelan dari awal lalu melaksanakannya dengan penuh teliti. Tak payah pakai belasah,” jelas Nazri seraya memahat kayu merbau untuk membina meja makan. “Adakah semua projek filem dan TV dibikin dengan terkejar-kejar? Tak juga, tapi dahulu saya boleh berselindung di sebalik nama ‘subjektif’ untuk skrip yang dibikin cincai. Sekarang? Kalau lauk yang dimasak tu masin maknanya ia masin, tak ada dolak-dalik.”

Meskipun Nazri seolah-olah telah menemui sinar baharu melalui kesedaran ini, isterinya tidak begitu yakin.

“Terus terang cakap, tabiatnya sukar dikikis. Dapur habis bersepah bila dia masak, seolah-olah ada penerbit asyik mesejnya tanya bila nak siap,” rungut Nur Munirah Zahari yang baru berumah tangga dengan Nazri hampir setahun lalu. “Kerja bertukang dia pun sama. Semalam dia buat rak kasut, cepat tu memang cepat, tapi bila saya letak kotak di atasnya ia jatuh berguling. Bayangkan, kotak yang empat segi tu boleh jatuh berguling.”

Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Nazri tidak menafikan ini gara-gara kerinduannya menulis skrip dalam keadaan tergesa-gesa yang secara langsung memberi kesan terhadap hasil masakan dan tukangannya. Terdapat laporan mengatakan, beliau memanggil setiap cubaan tukangannya “draf” dan pernah tertulis bahan masakan “celeriac” sebagai “Celtx,” sebuah perisian penulisan skrip yang rata-ratanya diguna oleh pengkarya profesional.

“Saya berharap PKP cepat berakhir supaya saya dapat kembali bekerja dan mengeluh bila dapat tahu saya cuma diberi masa sehari untuk siapkan skrip filem cetera selain projek yang saya bertungkus-lumus usahakan dibatal begitu sahaja dan penerbit culas dalam melakukan pembayaran,” tambah Nazri. “Hidup yang tenang bukanlah untuk saya; saya suka rasa cemas tak tentu hala dalam menyiapkan kerja.”