Penonton Rasa Berbaloi Ikuti Bukan Gadis Biasa Untuk Maki Hamun

Ternyata kepuasan tontonan bukan terletak pada sesuatu yang positif sahaja.

KUALA LUMPUR – Aktiviti mencemuh di media sosial telah membuatkan pengalaman mengikuti siri televisyen Bukan Gadis Biasa lebih menyeronokkan meskipun pada peringkat awal penerimaannya jelas sekali tidak seberapa, menurut beberapa penonton yang asalnya menikmati siri tersebut hanya untuk menunggu waktu berbuka puasa.

Para pemerhati menyifatkan kebanyakan penonton tidak begitu teruja dengan persembahan Bukan Gadis Biasa – sehinggalah sebuah klip yang mencerca mutu suntingan siri berkenaan tersebar di media sosial.

“Macam drama Melayu yang lain, kualiti produksinya serba-serbi tangkap muat,” jelas Nur Wardiah binti Patria yang kini meninggalkan solat Maghrib sama sekali kerana asyik menonton siri itu. “Ayda Jebat dah berpuluh kali pegang watak begini. Jalan ceritanya pula hanya ikut formula. Saya ingat nak berhenti lepas satu dua episod, sekali di Twitter muncul klip sebuah adegan yang merumuskan kerendahan kualiti siri ini. Tak pasal-pasal kita sebagai penonton mendapat ilham baru untuk tonton dari perspektif berbeza.”


Klip tersebut yang menampilkan watak Idora, lakonan Ayda Jebat, cuba untuk menyelamatkan rakannya dari diserang oleh dua orang lelaki yang bermotosikal. Bagaimanapun, disebabkan cara syot adegan tersebut disunting, dengan pergerakan pelakon, lontaran dialog dan kontinuiti yang tidak tersusun; para penonton dikatakan tidak dapat memahami dengan jitu naratif yang cuba disampaikan – hanya perca-perca. Meskipun pihak produksi yang terlibat gagal dihubungi, para pemerhati mengakui kontroversi ini menjadi sorotan buat Bukan Gadis Biasa.

“Terus saya tak boleh berhenti tengok,” ujar Wan Saidin bin Wan Ban, salah seorang pengguna media sosial yang gemar menyebarkan aib siri ini. “Terkesima saya dibuatnya. Masalah Bukan Gadis Biasa bukan setakat terletak pada proses pascaproduksi, awak ada tengok tak macam mana hasil mekap pelakon Sheila Rusly sebagai orang tua? Gila cacamarba. Macam kena rendam lecak, lepas tu dibiar kering semalaman.”

Salah seorang pegawai eksekutif TV3 Baharom bin Tukiman masih melihat ini sebagai tanda positif biarpun menerima pelbagai kritikan sehingga memalit saluran televisyen tersebut.

“Ada yang kata kualiti kandungan TV3 sudah jatuh merundum, tapi saya tak pernah tengok khalayak sebegini teruja. Orang tekun menonton dari episod ke episod semata-mata nak cari silap,” ujar Baharom. “Kalau kita berterusan bagi penonton ‘bahan’ untuk mencaci maki, silap haribulan Bukan Gadis Biasa boleh pecah rekod tontonan slot Akasia – mungkin segala rekod TV3 selama ni.”

Baharom menerangkan dia kini sedang merangka pelan untuk menghasilkan siri drama yang jauh lebih bobrok dari Bukan Gadis Biasa, mengharapkan masyarakat akan termakan lalu berdiskusi mengenainya sekali gus menyuntik publisiti percuma.

“Siri lepas ni akan jauh lebih dahsyat,” Baharom meramalkan. “Kamu ingat kamu bijak sangat menyentuh jump cut sewaktu bercakap tentang Bukan Gadis Biasa? Untuk siri lepas ni pencahayaan, blocking, framing, penggunaan lensa, warna, lakonan, tekstur, pergerakan, depth, plot, ritma dan suntingannya punyalah tak masuk dek akal; orang yang tengok akan sampai putus sahabat, buang mak ayah dan bercerai-berai sehingga TV3 terpaksa membangunkan talian kasih dan tabung bantuan perubatan kami sendiri.”