Karyawan Tersohor Fazleena Hishamuddin Pasrah Idea Ditolak Suami Buat Kali Ke-137

KUALA LUMPUR – Meskipun sudah tujuh tahun berumah tangga dan bekerjasama hampir dalam beribu projek, Amar Amir menolak idea isterinya, karyawan tersohor Fazleena Hishamudin dalam usaha seni terbaharu mereka. Menurut maklumat, ini ialah penolakan Amar Amir secara berturut-turut buat kali ke-137.

“Macam biasa dia kata idea saya tak best. Dan macam biasa bila saya tanya kenapa, dia cuma balas idea dia lagi best,” jelas Fazleena. “Saya macam, wow, zaman sekarang ni ramai lelaki feminis yang biasanya hanya akan bersetuju dan dengar apa saya cakap. Amar tidak, dia lebih suka berterus terang. Susah nak cari lelaki macam dia.”

Sikap berterus terang barang kali adalah salah satu kualiti pada diri Amar yang dari awal sememangnya tidak begitu banyak. Satu lagi ialah kemampuannya untuk membaca fikiran.


Menurut Fazleena, kadang kala idea berkenaan baru sahaja timbul di minda namun Amar tidak semena-mena akan muncul di belakangnya lalu mengatakan ideanya tidak bersesuaian; meskipun ia belum dibincang dengan lebih lanjut. Malah, apabila Fazleena memanjangkan ideanya dalam bentuk tulisan, tayangan slaid Power Point atau video pendek pula; ketidaksukaan Amar lazimnya semakin menjadi-jadi.

“Saya hormat yang dia tidak pernah cuba dengar dulu atau ubah sikit-sikit idea saya. Terus tolak mentah-mentah,” tambah Fazleena. “Amar yang saya kenal memang seorang yang berpendirian tegas. Mungkin dalam bab lain tak sangat, tapi tegas bila melibatkan idea saya.

Fazleena sedang dalam proses merangka sebuah projek teater yang diinspirasi dari kisah hidupnya sebagai pelakon, penulis, pengarah dan aktivis teater. Bagaimanapun, setelah mendengar premis berkenaan, Amar sebaliknya mencadangkan agar ia mengenai dirinya sebagai vokalis kumpulan Primary.

Apabila diminta untuk memberi komen, Amar menjelaskan “kisah wanita yang berbakat besar sudah terlalu banyak di luar sana manakala pasaran kisah vokalis kugiran yang berpusat di Kuala Lipis masih belum betul-betul diteroka.

Fasyali Fadzly, seorang pensyarah teater di ASWARA yang telah mengenali Fazleena lebih sepuluh tahun agak khuatir mendengar warta ini.

“Entahlah, tak tahulah macam mana nak cakap,” luah Fasyali. “Kak Dek (Fazleena) yang saya kenal ialah seorang wanita yang kuat. Tapi ini dah kuat sangat.”

Apabila ditanya apa perasaan Fazleena jika Amar menerima ideanya yang ke-138 suatu hari kelak, Fazleena bertakat-takat. “Saya akan gembiralah, tapi saya nak dia menerimanya sebab idea tu bagus dan bukannya kerana saya isteri dia atau atas dasar simpati. Saya tak suka lelaki yang tak jujur.