/

COVID-19: Senario Bakal Muncul Dengan Sebelum Dan Sesudah 2 Sebagai Propaganda PN Untuk Kritik Rakyat

Bagi mengelak dari terus dikecam dalam menangani wabak yang sedang melanda dunia, Kerajaan beralih perhatian kepada kumpulan lawak no. 1 negara.

PUTRAJAYA — Kumpulan lawak nombor satu negara Senario akan kembali tampil dengan lagu terbaru Sebelum Dan Sesudah 2 yang dilihat sebagai alat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengkritik sikap rakyat jelata dalam menyelenggara diri sewaktu dunia dilanda wabak COVID-19, kumpulan tersebut mengumumkan menerusi sebuah kenyataan media hari ini.

“Kami rasa ini waktu yang tepat untuk beraksi semula,” jelas ketua kumpulan Senario Ilya Buang. “Kerajaan PN dicerca teruk dalam menangani penularan COVID-19 dengan penyelarasan perintah berkurung yang tak jelas dan polisi yang berdolak-dalik, jadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) lantas meminta kami menghasilkan sebuah lagu untuk alih perhatian rakyat Malaysia dengan membidas sikap mereka semula.”

Senario yang ditubuhkan melalui program realiti televisyen Sinaran Pasport Kegemilangan pernah muncul dengan lagu Sebelum Dan Sesudah menerusi album pertama mereka pada tahun 1997. Lagu satira itu terkenal dengan liriknya yang sarat memberi komentar terhadap sikap masyarakat yang tidak bijak dalam mengurus kehidupan. Kumpulan lawak tersebut dilaporkan melihat lagu berkenaan sesuai diberi kesinambungan berikutan dengan situasi negara hari ini.

“Kebetulan kami ada lagu yang bersifat serupa – kritik masyarakat umum – menerusi Sebelum Dan Sesudah, jadi saya sarankan kenapa kita tak buat sambungan sahaja namun konteks kali ini berkaitan COVID-19?” ujar Azlee Jaafar, salah seorang ahli kumpuan paling veteran. “Pun begitu, kami tak menghasilkannya dengan ala kadar hanya kerana diberi peluang mudah oleh KKMM. Setiap barisan lirik ditulis dengan penuh kata-kata nista yang jitu – tentang sikap khalayak yang tak hormat penjarakan sosial selain tak reti menabung selama ini sehingga membawa padah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diterapkan.”

“Kami tak mahu memberitahu dengan lebih lanjut tentang pengisian Sebelum Dan Sesudah 2,” tambah ahli Abdul Wahid Mohd. “Tapi yang pasti apabila rakyat dengar, mereka akan benci kepada diri sendiri dan mula bercakaran di antara satu sama lain sehingga kembali meletak kepercayaan kepada Kerajaan untuk menangani COVID-19 mengikut kesesuaian semasa.”

Dalam pada itu, para penyokong Kerajaan PN tidak sabar menunggu kemunculan lagu itu dengan harapan liriknya akan mengutuk orang ramai dengan hebat sehingga ke tahap peribadi.

“Saya cuma tak nak lihat rakyat bersatu dalam mempersoal kerja-kerja Kerajaan PN, itu sahaja,” ujar penyokong tegar Fariq Muzakkir. “Dengan bersembunyi di sebalik irama yang menarik dan lirik yang lucu, saya berharap Sebelum Dan Sesudah 2 dapat membuat seorang ayah rasa dia menghampakan keluarganya dan seorang pekerja kolar biru percaya masalah utama ialah kemalasannya sendiri sehingga mereka merasakan Kerajaan PN sahaja yang boleh jadi penyelamat keadaan.”

Menurut Senario, mereka juga sedang dalam proses perbincangan dengan pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MADEC) untuk menghasilkan lagu Cari Tapak 2. Ini adalah sebagai usaha untuk memangkinkan saranan kementerian tersebut baru-baru ini agar peniaga perusahaan kecil dan sederhana meneroka model perniagaan yang sesuai dengan kebiasaan baru dunia pada era pasca PKP kelak – sambil mencela rakyat yang mengharapkan bantuan daripada Kerajaan semata-mata.