/

Bunkface Terbikin Semula Anugerah Syawal Versi Anti-LGBT

Amaran: laporan ini banyak mengandungi imbuhan "ter" bagi menyelamatkan diri masing-masing.

KLANG – Kugiran tersohor Bunkface secara tidak sengaja membikin semula lagu Anugerah Syawal dengan lirik yang sarat mengandungi unsur antilesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), beberapa sumber yang terdengar rakaman demonstrasi tersebut mengesahkan.

“Kami benar-benar nak rakam semula untuk kasi bunyinya keras sikit,” jelas penyanyi utama dan pemain gitar Sam. “Kami siap praktis di tempat yang kami biasa ‘jam’ di Klang, dan beberapa kawan lama turut dipanggil untuk melibatkan diri. Kami benar-benar teruja dengan gubahannya. Berani saya kata ia sealiran dengan punk dahulu kala seperti Blink-182 dan Sum 41.”

Beberapa pakar muzik menyimpulkan kemungkinan besar proses Bunkface untuk “mengeraskan” lagi susunan Anugerah Syawal telah terkeluar dari landasan asal. Ini kerana kugiran tersebut telah menokok tambah liriknya dengan kata-kata nista terhadap golongan LGBT tanpa menyedari perbuatan tersebut.


Farid Azwan, penerbit dan pengurus utama Bunkface, terkeliru dengan nafas baru tersebut ketika mendengar prebiunya.

“Tak, serius, saya bukan nak main-main,” jelas Farid yang amat kaget sehingga terbuka puasa dengan sebatang rokok. “Memang mereka mencerca teruk golongan LGBT dalam tu. Daripada hal AIDS sebagai ‘penyakit homo’ sampailah ke perkahwinan sejenis dan persoalan ‘bagaimana mereka nak lahirkan zuriat.’ Yang peliknya, mereka masih lagi nak sampaikan lagu tentang Hari Raya. Maaf cakap, saya tak nak campur hal ekspresi mereka mengenangkan masing-masing ada pendirian sendiri, tapi apa keperluan untuk memasukkan lirik yang menyebut, ‘Miskin dan kaya semua sama sahaja, alhamdulillah tidak pada golongan LGBT yang hina?’”

Ketika memberi maklum balas terhadap rakaman awal lagu berkenaan, Farid gagal menyakini kugiran tersebut tentang sentimen tertentu yang terkandung di dalam lirik.

“Mula-mula saya ingat dia melalut apa,” ujar pemain gitar utama Paan. “Tapi bila mendengarnya semula, kami macam… ah, iyalah, patutlah cepat sahaja kami tulis balik liriknya. Datang terus dari isi hati rupanya.”

Akibat tidak mahu mengulangi kontroversi lagu Akhir Zaman yang dituduh menghina golongan LGBT pada awal tahun lalu, Bunkface dilaporkan telah membatalkan hasrat untuk mengeluarkan versi baru Anugerah Syawal tersebut.

Ketika berita ini disiarkan, kugiran itu telah pun kembali ke studio untuk merakam semula lagu-lagu popular mereka menjadi Prom Drag Queen, Gay Panik? dan Warnai Dunia Dengan Kaler Pelangi. Apabila ditanya adakah lagu-lagu tersebut akan turut terselit dengan semangat anti-LGBT, ini jawapan pemain bass Youk:

“Tak semestinya, tapi kami memberi jaminan kalau ada sebarang unsur penghinaan terhadap golongan LGBT pun, ia akan disampaikan dengan cara yang lebih halus dan berlapik. Insya-Allah.”