Ketika Emosi dan Kontroversi Sudah Tidak Berharga

BOLA SEPAK/SUKAN Teks oleh: H. Muhammad

Sebuah karangan tentang Video Assistant Referee atau VAR yang bakal dilaksanakan dalam perlawanan-perlawanan bola sepak

74 tahun lepas, Johan Huizinga, seorang sejarawan Belanda bingit dan ligat membincangkan kerisauan akan perkembangan sukan dunia. Pada awalnya, tidak ada seorang pun yang mengambil peduli akan perkara ini sehinggalah Allen Guttmann kembali membicarakannya dengan penuh teliti lagi rinci. Kerisauan 74 tahun itu diungkapkan oleh Huizinga ini datang dalam pelbagai versi sama ada berkenaan campurtangan kapitalisme dan komersialisme yang dipandu pertumbuhan ekonomi, pemisahan peranan negara dan agama, terbukanya ruang awam (rujuk; Jurgen Habermas), perkembangan media (media cetak khususnya), serta perkembangan teknologi yang memandu zaman. Kesemua kerisauan Huizinga ini berkesinambungan antara satu sama lain. Dan akhirnya, ia terangkum dalam satu terma yang acap kali (barangkali) kita gunakan tanpa sedar, iaitu modern sport.

Hari ini, semua kerisauan yang diungkapkan 74 tahun lepas dapat dilihat dan dirasai. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun dan tidak mengira jenis sukan. Malah, kita sedia menerimanya tanpa sebarang pertanyaan, tanpa sebarang persoalan. Barangkali kita menganggapnya sebagai satu bentuk pembaharuan yang diwariskan kepada kita untuk dinikmati. Tapi, apakah kita benar-benar menikmati? Apakah ia benar-benar memberikan kita kepuasan emosional? Atau kita kian keliru dengan apa yang sepatutnya diraikan dan dirayakan?

2-3 tahun belakangan ini, ramai ahli dan sidang pemikir sukan membicarakan tentang perihal teknologi. Beberapa topik utama diangkat sebagai subjek utama perbincangan. Antara topik yang hangat diperbincangkan adalah berkenaan kesesuaian atau ketidaksesuaian e-sports dalam sukan dan juga penggunaan Video Assistant Referee (VAR). Kedua-dua topik ini mengundang pelbagai tanda tanya dan persoalan yang seterusnya menarik kita untuk kembali menjungkir konsep asas sukan itu yang telah diulas lanjut oleh ahli-ahli sebelumnya.

Walau bagaimanapun, tulisan ini tidak akan membincangkan mengenai e-sports kerana penulis dengan tegas beranggapan bahawa e-sports bukanlah sebahagian dalam sukan. Penulis sedar, barangkali ada yang tidak bersetuju, ragu-ragu, atau bersetuju sepenuhnya. Dan pastinya setiap tanggapan (peribadi mahupun dibuktikan secara empirikal) tersebut mempunyai rasionalnya yang tersendiri. Tapi apa yang ingin diangkat dalam tulisan ini adalah berkenaan VAR. Maka untuk membincangkan berkenaan e-sports, kita tunda terlebih dahulu.

Beberapa hari lepas, pengurus Tottenham Hotspurs mengeluh dalam satu temubual dengan wartawan usai perlawanan tamat. Pochettino kelihatan agak kesal dengan keputusan VAR yang menggagalkan dua gol pasukannya. Katanya, VAR telah menguasai segala-galanya. Baik dari aspek keputusan yang dibuat, permainan, moral, bahkan emosional. Kesemua ini ditentukan oleh VAR. Jika sebelum ini Azyumardi Azra (yang menggunakan kerangka teori Robert N. Bellah) beranggapan bahawa referee merupakan ‘Tuhan’ dalam bola sepak, tetapi kali ini, ‘Tuhan’ itu perlu menurut perintah ‘Tuhan’ baru, yang diwujudkan oleh teknologi.

VAR sebenarnya bukanlah perkara baru. Ia telahpun digunakan dalam beberapa jenis sukan, antaranya sukan tenis, sepak takraw dan badminton. Fungsi VAR dalam kedua-dua jenis sukan ini adalah untuk membantu pengadil mengenalpasti apakah shuttlecock atau bola itu keluar dari gelanggang atau tepat menjejak garisan gelanggang. Dalam situasi ini, keputusan objektif sememangnya diperlukan, meskipun dalam sukan sepak takraw masih kelihatan penjaga garisan yang tugasnya menentukan masuk atau tidak. Namun sebagai manusia, pancaindera tidak semestinya memberikan jawapan yang tuntas. Maka pada titik inilah VAR berfungsi untuk mengisi kelemahan yang ada pada diri manusia (baca; penjaga garisan). Dalam ketiga-tiga sukan ini, penonton memerlukan jawapan objektif yang tidak dapat disangsikan.

Tapi dalam sukan bola sepak, VAR berfungsi dalam menentukan kesemua perkara, termasuk emosi. Malah, terkadang keputusan sesebuah perlawanan itu sendiri ditentukan oleh fungsi VAR. Keputusan penalti, sepakan percuma, kekasaran, lakonan, dan gol, semuanya tersimpan dengan baik dalam poket VAR. Para pemain tidak boleh lagi menipu. Penolong pengadil akan selamat daripada menerima caci-maki akibat salah membuat keputusan. Pengadil juga tidak lagi dicemuh dan dituduh berat sebelah, atau rasuah, atau apa pun. Tanggungjawab ‘pengadil’ sebagai seorang yang adil dapat diselesaikan dengan sempurna. Tapi bagaimana dengan penonton? Bukankah selama ini kita semua percaya bahawa bola sepak adalah sukan yang sangat emosional?

Sejak berdekad lamanya, sukan bola sepak kaya dengan cerita, sentimen, sejarah antara kelab, serta kontroversi-kontroversi keputusan pengadilan yang mewarnai latar emosi penonton. Menonton bola sepak sememangnya menuntut pancingan emosi. Emosi disuarakan melalui teriak pekik kita di stadium, di luar stadium, mahupun dalam hati. Maka untuk memancing emosi, lembaran kontroversi perlu dibuka semula untuk memanaskan suasana. Keputusan-keputusan kontroversi lampau perlu diungkit. Ketidakpuasan hati terhadap keputusan tersebut perlu untuk dijadikan sandaran ampuh mewujudkan sentimen. Sentimen pula perlu dibawa ketika menyaksikan perlawanan. Setidak-tidaknya, ada lah sedikit ‘modal’ untuk memanaskan telinga kawan-kawan mahupun penyokong pasukan lawan. Untung nasib, keputusan kontroversi baru pula wujud dan hal tersebut akan dituntun dari tahun ke tahun untuk memancing emosi ketika menyaksikan perlawanan yang sama.

Namun kala ini, perasaan tersebut seolah-olah bakal menemui ‘kematian’. Emosi penonton telah dibatasi oleh fungsi VAR. Semuanya kini serba objektif, termasuk emosi ketika menonton. Kegembiraan dan kekecewaan kita ditentukan oleh fungsi yang dimainkan oleh VAR. Kita tidak lagi boleh merayakan sesuatu serentak dengan situasi, tetapi perlu menunggu satu keputusan yang objektif. Perayaan perlu ditunda seketika sehingga ‘wahyu’ diturunkan. Gelojak emosi perlu ditahan walaupun ia sedang meronta. Keputusan dikotomi. Takut-takut bertentangan dengan apa yang diraikan, penonton pasti akan mengejek dan ketawa. Kegembiraan akan bertukar kekecewaan. Maka emosi perlu ditahan. Setelah ‘wahyu’ turun, barulah kita boleh menentukan apakah ia satu perayaan ataupun kekecewaan. Jika ia satu perayaan, apakah sama perasaannya? Saya fikir, pasti berbeza.

Bayangkan, sedang kita bergembira merayakan gol pasukan kesayangan kita, secara tiba-tiba pengadil memberi isyarat ‘segi empat tepat’ untuk mendapatkan pengabsahan yang lebih objektif. Kita pasti tersentak. Perayaan perlu ditunda sehingga keputusan diberikan. Kalau keputusan memihak, perayaan diteruskan. Jika tidak, maki hamun berlangsung tetapi ia hanya sementara kerana kita beranggapan VAR lebih ‘adil’ dalam membuat keputusan. Penentuan sepenuhnya diserahkan kepada teknologi. Di sini, keputusan menjadi objektif dan tidak boleh dipersoalkan lagi kesahihannya. Segala bukti sudah dirakamkan. Walaupun keputusan tersebut tidak boleh disangkal ketepatannya, adakah tingkat emosinya penontonnya masih sama tatkala gol dijaringkan? Apakah kegembiraan dengan jeda sama tingkat perasaannya dengan kegembiraan tanpa jeda?

Perkara ini tidak hanya menghapus emosi situasi (situational emotion), tetapi turut menghapuskan sentimen kontroversi. Kontroversi wujud hasil daripada keputusan pengadil. Tetapi dengan adanya VAR, keputusan-keputusan kontroversi yang kontemporari seperti lakonan, offside, kekasaran yang disengajakan, menjaringkan gol menggunakan tangan dan sebagainya, tidak akan berlaku lagi. Semua ‘kelemahan’ ini telahpun ditopangi oleh VAR. Semuanya serba objektif. Tidak ada penipuan. Kontroversi tidak lagi diperlukan. Apa yang diperlukan hanyalah satu gagasan yang serba-serbi yang objektif. Bola sepak menjadi objektif. Yang menjadi bekalan emosi, hanyalah sejarah yang saban tahun diulang-ulang, meskipun ia sebenarnya tidak lagi relevan buat masa ini.

Lalu, marilah kita bertanya pada diri sendiri, apalah maknanya bola sepak tanpa kontroversi? Dan apakah yang dirai tanpa keselarian emosi? Serta, apa sebenarnya yang sedang kita saksikan setiap hujung minggu di kaca televisyen? Bola sepak atau…?

 

Balik ke Atas