Just Fontaine, Platini, Papin, Cantona, dan Henry tidak pernah membawa Piala Dunia ke bumi Perancis

BOLA SEPAK/SUKAN Teks oleh: Pipiyapong

Saya sudah cakap banyak kali sebelum ini bahawa Perancis akan ke final. Selagi Giroud berada dalam kesebelasan utama. Dan itulah yang berlaku.

20 tahun lalu, saya masih seorang remaja. Remaja yang cergas, cerdik bermain bola hingga mendapat jolokan Bergkamp di sekolah, pandai mendengar muzik, menonton filem, membaca buku dan majalah, juga begitu faham dan terang tentang hal-hal yang berlaku di sekeling malah seisi dunia sampai tidak peduli tentang peperiksaan. Remaja sedemikian jarang kita lihat pada masa ini.

Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke asrama, seorang peminat jenama Manchester United telah bertanya kepada saya, “Siapa akan menang final nanti?”

Sambil melonggarkan ikatan tali leher, saya menjawab tenang, “Perancis. Perancis akan menang 3-0.”

Semua orang yang sedang berduyun-duyun berjalan pulang memandang ke arah saya dengan pandangan yang negatif (perkataan negatif sedang meningkat naik ketika itu). Mereka jelas tidak setuju. Saat itu saya sedar bahawa 80% penduduk dunia adalah penyokong Brazil. Namun fakta itu tidak sedikit pun menggoyahkan perasaan hati saya yang sudah sedia terang. Sebab apa? Sebab Guivarc’h bermain dalam semua perlawanan peringkat kalah mati Perancis.

Pada malam final, itulah yang berlaku. Perancis menang 3-0. Guivarc’h bermain sebagai penyerang tunggal dengan 800 peluang di depan gol dan menjaringkan sebanyak 0 gol (juga 0 gol sepanjang kempen Piala Dunia 98). Saya membuat balik kuang di dalam bilik tv asrama sebaik Petit dari Arsenal menjaringkan gol terakhir untuk Perancis dan menambah luka kepada 80% penduduk dunia.

Hari ini pada tahun 2018, Perancis dikendalikan oleh Deschamps. Deschamps adalah anak emas kepada Aime Jacquet, jurulatih skuad Perancis 1998. Semua orang sepatutnya faham apa dalam kepala Deschamps jikalau arif tentang bola sepak lagi-lagi tentang tindakannya memilih Giroud.

Namun orang ramai masih hijau tentang bola sepak. Mereka sering berkata buruk tentang Giroud kerana mereka mahu Benzema. Setiap hari sehingga ke pagi ini mereka menulis ke akaun Twitter saya berkata kesat menghina Giroud. Saya hanya tersenyum. Saya menelefon Deschamps memberitahu kepadanya dan dia juga ketawa lalu terus menyenaraikan Giroud pada setiap perlawanan. Orang yang betul betul faham tentang bola sepak akan menyokong Giroud, contohnya imam besar bola sepak Skandinavia, Henrik Larsson dan juga salah seorang pemain simpanan kepada Guivarc’h iaitu Thierry Henry. Dugarry yang selalu sepak tidak kena juga telah menghina Giroud sebelum Piala Dunia bermula tapi akhirnya menyesal lalu membuat pusingan U.

Keadaan ini sama seperti 20 tahun yang lalu. Semua orang menghina Guivarc’h. Tapi Aime Jacquet terus-terusan tetap mempertahankan Guivarc’h dan menyingkirkan Cantona yang kuat keinginannya bermain untuk Perancis di tanah air sendiri. Cantona akhirnya membawa diri dan membodohkan diri menjadi penyokong England. Saya pasti tiada apa yang lebih menusuk hatinya bila melihat Guivarc’h mengangkat Piala Dunia.

“Perancis hari ini tidak sama seperti 20 tahun dahulu. Mereka tidak lagi memiliki Zidane!” Jerit seorang peminat Liverpool yang tidak lupa membayar yuran keahlian Kelab Penyokong Liverpool Rasmi setiap tahun.

Sekali lagi saya tersenyum. Betul, saya akui Perancis kali ini tidak ada barisan pemain tengah yang matang, yang boleh menghantar bola dengan baik seperti Zidane, Petit, Djorkaeff atau Deschamps sendiri. Mereka cuma ada seorang mangkuk dari Manchester United, Pogba. Mbappe dan Griezmann pula selalu lupa menggunakan otak.

Sebenarnya itulah istimewanya Perancis pada tahun ini dengan adanya Giroud. Dialah satu-satunya pemain yang mampu mengimbangi masalah itu. Itu jugalah yang Deschamps cuba sampaikan dan berasa begitu beruntung. Sebab apa?

Sebab Giroud pada hakikatnya adalah pemain bola sepak yang 200 kali lebih baik daripada Guivarc’h. Dia adalah penyerang terbaik dunia. Kalau dia mahu menjaringkan gol, dia akan menjaringkan gol. Dan kalau dia menjaringkan gol, gol itu pasti gol yang beautiful. Olivier Giroud seorang penyerang lampai gagah, berotak dengan sentuhan pertama bak sutera adalah Zidane dan Guivarc’h dalam satu tubuh!

Kawan-kawan sekalian, ingatlah bahawa semua penyerang terbaik Perancis tidak kira Just Fontaine, Platini, Papin, Cantona, dan Henry tidak pernah membawa Piala Dunia ke bumi Perancis. Yang melakukannya cuma Guivarc’h dan kelak Giroud pada malam final bertemu Croatia nanti.

 

 

NotaBerapi: Saya tersenyum bila terlihat Ketua Pengarang Bola Sepak di Independent akhirnya menulis perkara yang sama semalam sedang saya sendiri sudah tahu hal ini lama dahulu.

Balik ke Atas