Harimau, Selatan, dan Malaya

BOLA SEPAK/SUKAN Teks oleh: Supian Hamid

Teringat saya sebelum sebuah kelab swasta di selatan tanah air ditubuhkan. Paras suhu global biasa-biasa, Badak Sumbu Sumatera masih belum pupus, Pulau Pinang dan Kedah perlahan-lahan naik liga dan P. Maniam masih belum musnahkan Selangor. Matawang Ringgit ketika itu ditutup lebih tingi berbanding US Dollar, warganegara cuma terbahagi pada tiga bangsa iaitu Melayu Bumiputera, Cina dan India tanpa mengikut negeri. Sebelum tertubuh kelab swasta tersebut, ikan di laut lebih banyak, Itali muncul juara Piala Dunia dan bola sepak adalah wadah menyatukan orang Malaysia, walaupun kalah tapi tidak terbawa-bawa hingga ke luar stadium. Setiap seorang masih menerima diri mereka sebagai salah satu bangsa dari Melayu, Cina ataupun India dan tidak mengguna pakai konsep bangsa negeri.

Foto: Rojak Daily

Walaupun Selangor menang menentang Kedah di pentas final, orang-orang Kedah masih tenang ke pejabat dan menuai padi, tidak pula mereka meminta keluar dari Malaysia dan memusuhi orang-orang Selangor bagai tiada hari esok. Mereka bijak dan matang. Mereka faham andai ditakdirkan pasukan mereka kalah atau menang sedikit pun tidak menjejaskan bilangan beras mahupun harga ikan kembung di pasar. Mereka sedar gaji RM10 ribu mahupun Ferrari adalah habuan pemain, mereka penyokong cuma tumpang bangga dan gembira.

Apabila perlawanan antarabangsa diadakan, persatuan dengan tenang melepaskan pemain mereka untuk sertai kem kebangsaan. Andai kata pasukan kebangsaan mengalami kekalahan mereka tidak panggil semula pemain-pemain untuk pulang ke pusat latihan pasukan masing-masing mahupun membiarkan pemain mereka yang dipanggil pulang untuk ke laut berselam-selaman. Jurulatih juga tidak perlu dijadikan kambing hitam mahupun terpaksa lakonkan skrip yang dikarang Tuan Presiden dengan alasan pemain dilepaskan kerana mahu memberi peluang pada pemain lain. Bukankah dengan menggunakan alasan tersebut Mat Duan di Kodiang patut dipanggil bermain kerana dia juga handal bermain bola sepak dan pernah mewakili pasukan daerah ketika zaman persekolahannya? Bukankah itu lebih adil? Semua warganegara dapat bermain untuk negara dan seandainya pasukan negara kalah, jurulatih boleh memberi alasan yang sama? Maka dengan itu tidak perlulah pemain-pemain professional bergaji RM20 ribu ulang-alik ke Wisma FAM untuk sesi latihan kerana mereka cuma bermain untuk kelab dan tuannya. Tambahan pula ini dapat menggalakkan bakat-bakat baru dalam kalangan rakyat marhaen untuk digilap dan diterokai oleh jurulatih profesional.

FAM ketika itu masih belum pandai menggunakan media sosial seperti Facebook. Apa-apa berita disalurkan melalui berita di kaca televisyen dan juga akhbar. Halaman FAM juga tidak nampak seperti diari seorang anak raja yang selalu menangis ketika diketawa dan dicemuh masyarakat dek kerana hatinya yang halus. Halaman Facebook FAM tidak juga seperti dikawal sekumpulan macai atau penjilat tegar yang sentiasa membuat status-status bela diri apabila satu-satu isu berkaitan jadi tular. Sikap cepat melatah adalah salah satu sifat mustahil bagi FAM ketika FAM dahulu sentiasa tenang seperti tidak ada langsung buaya di Sungai Pahang. Tidak kira dimaki, dicemuh, dinaikkan tifo bergambar anjing ataupun didesak letak jawatan, presiden dan ahli-ahli masih santai dan tidak mengarahkan bahagian media mereka untuk mengeluarkan kenyataan balas.

Foto: FAMalaysia Official

Sebelum kelab swasta itu ditubuhkan itu juga, pemain-pemain bermain dengan penuh semangat demi negara. Apabila mereka umumkan persaraan, mereka betul-betul bersara dengan penuh maruah dan jasa mereka dikenang hingga ke hari ini. Nama-sama seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam masih kita kenal dan kenang hingga ke hari ini dek kerana keikhlasan mereka bermain demi negara sehingga sebuah filem didedikasikan demi mengabadikan sumbangan mereka pada negara. Waktu itu tidak ada pemain yang dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat untuk menolak panggilan skuad kebangsaan dan kemudian tiba-tiba berminat sertai kem negara apabila FAM ditadbir tampuk pemerintahan baru.

Teringat juga saya sewaktu FAM baru diambil alih, kerap betul media FAM berkongsi di media sosial bagaimana seorang individu terpenting di Malaysia memotivasikan pemain secara langsung dan juga melalui Skype. Katanya beliau tidak kisah jika pasukan mengalami kekalahan kerana para pemain sudah beri yang terbaik (walaupun kita tahu bagaimana sebenarnya).

Pemain yang dulu elok akhlak dan moralnya juga sudah berubah 180 darjah apabila berhijrah ke kelab elit gagah perkasa dan paling handal di Asia itu. Kalau dulu dia tidak pandai berkata-kata kesat di hadapan media dan peminat tapi selepas ke sana dengan penuh semangat dan teruja dia menjerit memberitahu dunia (atau mungkin juga tuhan) bahawa dia seorang juara dan menyumpah-nyumpah para pengkritik yang terdiri daripada penyokong pasukan kebangsaan sendiri. Mengucap panjang para peminat melihat telatah pemain tersebut yang mungkin barangkali sudah lupa akan Penciptanya sejak memiliki kereta mewah dan bermain untuk tuan yang kaya-raya.

Tapi sebagai penyokong pasukan kebangsaan kita juga perlu sedar akan hakikat dan realiti waktu sekarang. Dicuih sedikit melatah, dicubit lagi dikatakan tidak setia, ditegur keluar status merajuk, dalam diam panggil pemain pulang. Entah apa lagi bala yang bakal melanda pasukan kebangsaan tercinta kita. Dulu kita dijanjikan bulan bintang, sembang tak pernah tak kencang, sampai giliran tiba-tiba bulan hilang, bintang pun entah ke mana. Kalau dulu kita mendengar sebuah cadangan begitu bernas dari seorang kerabat, katanya antara syarat untuk menjadi presiden FAM adalah bukan datang dari keturunan raja tapi nampaknya ramai sudah lupa akan idea bernas tersebut. Apa-apapun sama-samalah kita doakan pada Tuhan yang Maha Kuasa agar bola sepak Malaysia kembali pulih dan subur serta layak Piala Dunia sebelum sangkakala ketujuh ditiup.

Balik ke Atas