Terima kasih Foo Fighters

MUZIK/SENI & BUDAYA Teks oleh: Ismail Othman

Foto oleh: Ismail Othman

Ismail Othman, 33 tahun, seorang pekerja am di sebuah kem tentera di Kuala Lipis, menceritakan pengalamannya ke Singapura sebagai belia pertama daerah Lipis yang telah menonton persembahan kumpulan rock Foo Fighters secara langsung di Stadium Nasional Singapura.

Penghujung May 2017 adalah tarikh keramat bagi aku bila tiket Foo Fighters – Live in Singapore secara rasminya dijual dalam talian. Aku mula menadah tangan berdoa mengira gaji dan menilai ringgit Malaysia. Jauh… jauh dari kadar mampu. Aku dah fikir macam-macam termasuk nak minta seringgit seorang dari kawan-kawan Facebook aku yang mencecah 1984 orang. Tapi itu lah… malas pula nak buat kertas kerja.

Kerisauan aku semakin hari semakin bertambah. Tanya kawan-kawan di group WhatsApp, ramai macam nak pergi tapi mengeluh harga tiket mahal. Jadi perbualan kami terhenti begitu saja. Aku cuba bersabar dan bawa bertenang untuk beberapa hari. Kekecewaan konsert Foo Fighters 2012 yang batal sebab Dave Grohl sakit tekak masih menghantui. Adakah aku terus bersabar? Tidak. Aku pinjam duit kawan dan meminta dia belikan tiket. Setelah beberapa jam cuba mengakses laman web rasmi penjualan tiket Foo Fighters, kami berjaya membeli satu tiket berkasta Standing B yang berharga RM550. Dan lagi sekali aku melafazkan janji akan membayarnya pada cukup bulan nanti. Sebaik habis ayat, aku menerima e-mel dengan lampiran tiket untuk dicetak dan sedikit teks berbunyi, “Khas untuk Mail Fury.”

Dengan itu aku ada masa lagi 3 bulan sebelum konsert berlangsung pada 26 Ogos. Bukan untuk kumpul duit, tapi untuk bina stamina. Setelah membuat pemantauan di laman YouTube, aku mendapati konsert Foo Fighters sekarang berlangsung selama dua hingga ke dua setengah jam. Takkan aku nak pancit di pertengahan konsert? Malu kalau Mak aku tahu nanti. Jadi bila petang tiba, aku menyarung kasut berlari. Kadang-kadang joging ditemani makwe ABC yang suka makan karipap pagi hari. Tidak pun rakan sekampung yang ingin membina stamina untuk panjat gunung.

Mak macam biasa tegur sambil pandang tempat lain, “hah kalau pergi berlari tu, ada la nak ke mana tu nanti.” Aku buat senyap. Mak dan kawan-kawan memang tak tahu aku dah beli tiket. Kalau aku bagi tahu, bimbang tergores.

Gua Bama, Gunung Bunga Buah dan Gunung Irau. Dalam masa tiga bulan aku sempat mendaki tiga puncak itu diselangi joging pada setiap petang hari. Keyakinan aku bertambah bila sebelum tidur aku memicit-micit betis. “Keras, keras…” kata aku dalam hati sambil sebelah tangan memegang telefon merenung tiket konsert.

Tapi aku masih belum jumpa geng untuk pergi sekali ke konsert. Ada juga aku bertanya kepada kawan-kawan di Facebook dan Instagram tapi pelan mereka agak banyak pakai modal. Jadi aku teruskan mencari untuk beberapa minggu sehingga akhirnya aku jumpa Syahir Shuhaimi, seorang guru muzik yang mengaku dirinya sebagai Dave Grohl Jerantut. Aku hanya melakukan deal melalui WhatsApp.

“Ko naik dengan aku ajelah. Tapi aku gerak dengan family aku ni. Are you okay with that?” Tanya Dave Grohl Jerantut.

“Haa okey je.” Aku jawab dengan ringkas dan padat. Gila lama aku tak jumpa dia. First time jumpa semasa Sure Pekat Jamming Festival 2003, festival muzik pertama di Kuala Lipis dan selepas itu ada lah jumpa sekali dua di studionya di Jerantut. Itu pun tak berborak sangat.

Foo Fighters ini aku tidaklah kenal dari album pertama. Aku mula dengan album The Colour and The Shape (album kedua). Kalau album pertama aku cuma tahu lagu Big Me. Itu pun aku tahu dari kaset dubbing King of Altenative Lipis, Mr Sarip. Mr Sarip ini masa mudanya kerja menjual kaset dubbing. Tajuk kaset dia Modern Rock. Beratus-ratus keluaran siri kaset ini, kebanyakannya kompilasi lagu berbau alternatif tahun 90-an. Sebelum aku didedahkan dengan kaset Modern Rock Sarip ini pada tahun 1998, aku sibuk mendengar muzik Metal dari kaset abang aku. Dengan kaset-kaset Modern Rock ini juga aku mula bermain gitar dengan lebih serius. Kebanyakan lagu Alternative Rock mudah dimainkan berbanding lagu-lagu Metal. Solo pun kadang-kadang tak ada. Senyum saja aku main lagu Big Me.

Pada masa itu, Monkey Wrench adalah lagu yang bertanggungjawab membuatkan aku ingin sangat tengok Foo Fighters secara live. Walaupun beberapa tahun selepas itu dah ada internet laju dan MTV di Kuala Lipis, dan aku boleh tengok sendiri part Dave Grohl menyanyi senafas, aku masih rasa Foo Fighters adalah band yang harus aku tengok live satu hari nanti. Gaya muzik Alternative Rock yang dibawa Dave Grohl dalam Album The Colour And The Shape betul-betul meyakinkan aku bahawa dia bakal menjadi bapa rockers sekalian alam pada masa akan datang.

***

Tinggal beberapa minggu saja lagi konsert bakal berlangsung. Aku bertanya semula kawan-kawan sekampung dan masing-masing masih tak boleh memberi kata putus. Jauh di sudut hati ini, sedih juga…. Aku reda, mungkin ada hikmahnya nanti.

Ada satu perkara yang aku ketagih tentang menghadiri konsert. Melompat bersama dengan lautan manusia sambil tangan paut bahu orang sebelah. Kita tak akan rasa letih bila lompatannya selari. Tapi kena beringat juga, jangan terpijak ibu jari kaki orang belakang.

Rock trip ke Singapura ini aku dapat rasakan ia akan membuatkan aku jatuh miskin. Sebab kontrak kerja aku sebagai Cleaner Handalan di kem tentera akan tamat pada bulan Ogos dan tidak tahu bila pula akan disambung. Namun dengan keimanan yang aku ada, aku tenang, walaupun tidak setenang Din Kering. Sekarang aku perlu merancang perjalanan ke Jerantut. Kata Syahir, aku perlu sampai ke sana sebelum solat Jumaat atau selepas dia habis sekolah dalam jam 12 lebih. Aku okey saja. Kuala Lipis ke Jerantut hanya mengambil masa sejam kecuali aku berjalan kaki.

Jumaat, 25 Ogos. Aku ambil cuti demi menghormati rock trip Foo Fighters live in Singapore. Perjalanan yang bermula jam 10.30 pagi setelah sarapan dipermudahkan Din Kering bila dia menawarkan diri untuk hantar aku ke Jerantut menaiki skuter milik adiknya. Tapi, syaratnya isi minyak penuh, rokok seludup sekotak dan sedikit upah. Aku setuju. Kalau Din Kering tak minta pun, memang aku akan bagi. Persahabatan kami yang hampir mencecah 23 tahun bukanlah satu perkara yang boleh dinilai dengan upah dan wang ringgit. Damn son, I hate to say this.

“Ko chill la, Din. Hantar aku sampai Kampung Kerambit aje. Nanti aku naik dengan kawan lain ke Jerantut.”

“Lahhh aku ingat sampai Jerantut. Aku dah ready ni.”

“Nope. Just Kerambit, Din. Alang-alang kau dah bangun pagi ni, manfaatkanlah hari kau bila balik karang.”

“Kalau macam tu aku okey aje. Okey Rock, let’s go!” Rock adalah nama timang-timangan yang diberi Din kepada aku tanpa persetujuan. Aku… aku okey aje lah.

Perjalanan aku ke Kampung Kerambit mengambil masa 30 minit. Tepat pukul 11 pagi aku sampai di pondok bas depan Masjid Kerambit. Macam biasa Din tunggu aku lepas dulu baru dia akan balik. Tak sampai 7 minit, kawan yang ingin aku tumpang itu pun tiba. Makwe. Juga seorang guru. Guru Bahasa Inggeris. Masih berbaju kurung merah manggis berbunga lengkap bertanda nama tapi lari dari sekolah mahu menghantar kawannya ke bandar Jerantut untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur dengan tujuan hadir ke kenduri kahwin saudaranya. Dengan sebab itu juga aku dipelawa naik sekali ke Jerantut. Kami jarang bertemu, hanya sekali-sekala bersua di kedai makan bersama rakan gurunya yang lain. Kenal pun atas gunung. Apa bendalah aku nak borak dalam kereta karang. Mujurlah kerjayanya seorang guru, pandai interview.

***

Aku tiba di Jerantut pada jam 11.43 pagi. Syahir masih belum habis sesi sekolahnya. Aku lepak menghayati terminal bas baru Jerantut. Rekabentuknya saling tak tumpah macam terminal bas Raub dan Bentong. Aku berhenti menghayati. Sebab kejuruteraan bangunan itu bukanlah bidang aku.

Tak lama, Syahir tiba dengan bergayanya. Berbaju Melayu hitam, juga lengkap bertanda nama. Aku menuju ke keretanya dengan tenang sambil melontar senyuman.

“How’s your day, Dave? Did you slap some kid today?”

“Aaaa I’m so evil to do that. I just told them to run and blowing the flute.”

Begitulah pembukaan perbualan berat kami sehingga sampai ke rumah tanpa disedari. Syahir suruh aku berehat sementara dia kemas barang dan bersiap untuk solat Jumaat. Berdebar bila aku terdengar ‘solat Jumaat.’ Dah lama juga tak pergi. Tapi nasib baik aku dah bersedia bawa kopiah kasi nampak steady sikit. Dan waktu pun tiba. Aku dan Syahir bergegas menuju kejayaan. Selesai khutbah Jumaat, aku bersedia mendirikan solat. Aku mengangkat takbir dengan penuh perasaan. Tapi selepas itu fikiran dan perasaan aku melayang jauh entah ke mana.

***

Cilake aku baru perasan ada Gop dalam gambar ni. – Editor

Sabtu, 26 Ogos 2017.

Tarikh yang aku tunggu-tunggu selama 3 bulan akhirnya tiba jua. Setelah bangun tidur lambat dan terlupa makan tengah hari, kami pun bergerak maju ke Singapura dalam pukul 4 petang dan sampai ke Stadium Nasional Singapura jam 6 petang. Siap parking, kami terus masuk ke stadium untuk membuat pemantauan jalan masuk supaya tak sesat dan jimat masa. Selesai menghafal jalan, kami semua sepakat untuk cari makan. Macam biasalah kami cari mamak berhampiran. Masing-masing lapar, tapi sempat lagi fikir macam mana Dave Grohl nak makan chewing gum di Singapura.

Aku seperti kebiasaan, akan makan Kari Kambing dan Nasi Briyani. Menu wajib bila bertandang ke konsert rock. Kari Kambing ini kalau aku makan, kena banyak bergerak atau melompat, baru menjadi power dia. Pernah juga makan dan  lepas itu pergi ke konsert Post Rock, duduk. Mampus berdenyut kepala.

Setelah perut kenyang, hati tak berapa senang sebab risau sakit perut pula nak ke tandas bila konsert berlangsung. Tapi tak mengapa, sepanjang pengalaman aku, kalau badan letih, jarang rasa nak berak. Kecuali duduk diam dalam bas.

Jam menunjukkan pukul 6.50 petang, maka kami pun bergegas ke stadium dengan penuh debaran dan siulan di bibir. Sebelum kami berbaris untuk pemeriksaan tiket, sempat lagi kami paut bahu dan buat satu bulatan seakan group ragbi.

“Ingat, kita ni wakil kampung masing-masing, jadi… berikan yang terbaik!” Jerit Dave Grohl Jerantut. Walaupun rasanya tak perlu buat begitu, tapi semangat punya pasal, aku relakan jua. Selesai pemeriksaan tiket dan ke tandas sekejap, aku ambil kesempatan untuk pakai knee guard sebelum kami berjalan tenang sambil membawa semangat wakil daerah membelah angin Stadium Nasional Singapura. Aku hampir tidak percaya yang aku akan saksikan Foo Fighters secara langsung di depan mata. Aku juga tahan menangis sebab ego. Dan sampai hari ini aku tak percaya yang aku dah tengok Foo Fighters. Maaf sebab sangat teruja. Betullah kata guru-guru, penyaksian itu sangat penting.

Ada juga aku berjanji dengan sorang makwe, katanya nak jumpa masa konsert.

“Nanti nampak tegur la ya!” Pesan dia di WhatsApp. Aku baca dalam hati dengan nada jerit. Tak lama lepas itu nampak dia lalu depan aku. Ini betul betul tak perasan orang ni, padanlah kalau nampak dia suruh tegur. Aku panggil namanya dua tiga kali ,tapi tak dengar. Aku panggil lagi. Tapi kali ni dengan suara yang agak Lemmy. Ya, terhiling-hiling dia mencari gerangan suara yang memanggil. Aku pun boraklah sepam dua. Kalau dengan perempuan memang banyak diam saja. Berdebar.

***

Jam 8 malam. Lampu stadium ditutup. Penonton bersorak bila nampak kesemua ahli Foo Fighters muncul di atas pentas. Taylor Hawkins mengambil tempatnya dan memulakan drum roll seperti kebiasaan konsert Foo Fighters yang lain. Dan Dave Grohl pun menjerit, “yeah!!!” sebanyak 3 kali lalu berkata,

“21 tahun weh… 21 tahun! Dalam 21 tahun ni komeh dah ada banyak lagu, tau? Kalau 21 tahun dulu komeh datang ke sini ada 12 je lagu, sekarang komeh dah ada berateh-rateh lagu!!!”

Crowd semua menjerit dan bertepuk tangan. Dave Grohl menyambung lagi, “awok semua dah sediaaa??? Dah sediaa??? Ayohhh!!!”

Taylor Hawkins masuk intro dram lagu I’ll Stick Around. Mata aku berkaca.

Tapi dari segi sistem bunyi, pada aku tak berapa memuaskan. Melantun. Mungkin sebab dia tutup atap stadium. Semua alatan muzik bunyi bercampur. Hanya kuat dan bising jadinya. Oleh kerana aku dah hafal dan biasa dengar semua lagu Foo Fighters, jadi tak ada masalah sangat nak tangkap susunan dalam satu satu lagu yang dimainkan. Gaya Dave Grohl dengan baju koyak ketiak ini mengingatkan aku kepada Zack de la Rocha dan Ustaz Mahayuddin.

Aku tak larat nak ulas satu-satu lagu yang dimainkan. Semua sedap dan boleh bawa kepada tangisan. Mana lagu yang berjaya terpahat di hati, aku akan cuba cerita.

Lagu diteruskan dengan…

All My Life — Learn To Fly — The Pretender — Big Me

Okey, semasa lagu Big Me keadaan agak relaks sikit. Dave Grohl menyanyikan separuh lagu sendiri tanpa iringan. Semua orang buka lampu telefon berbanding lighter ataupun Zippo pada 15 tahun lepas bila lagu berentak perlahan dimainkan. Berdebar aku bila satu stadium nyanyi bersama-sama. Sampai Dave terhenti nyanyiannya pada rangkap ketiga.

“Ya Tuhan, mantak mek demeh ni…” kata Dave sebelum menyambung nyanyiannya pada bahagian korus.

Run — Something From Nothing — My Hero

My Hero inilah lagu yang aku rakam sedikit dan terus muat naik ke Facebook dan tujukan ke Mak walaupun dia tak ada Facebook. Tamat lagu My Hero, keadaan menjadi reda seketika sebelum Dave mula menjerit semula “yeahhhhh!!!” sebanyak 2 kali lalu berkata, “keh tau, keh tau banyak dari demeh semua nih yang tak pernah tengok lagi show Foo Fighters, kan? Biar keh tanya awok semua sikit, jangan risau, jangan risau tak ada apa-apa. Tanya aje nih. Ikhlas la dengan keh, ikhlas…. Berapa ramai yang kat sini yang pernah tengok show komeh?”

Ramai juga yang angkat tangan di bahagian depan. Cemburu juga dengan orang berada ini kadang-kadang. Tapi itulah, dah usaha dan rezeki dia orang.

Dave sambung sembang sebelum kenalkan ahli kumpulan, “okeh, okeh… yang tak pernah langsung tengok show komeh?!”

Semasa itu aku rasa nak baring dan angkat kaki tangan ke atas. Punyalah semangat nak bagi tahu yang aku tak pernah pergi.

“Tapi tak apa, demeh ada alasan. Selama 20 tahun komeh tak pernah datang, kan? Sabor aje keh dengan demeh nih,” sambung Dave lagi.

Di bahagian depan riuh orang main riff Seven Nation Army dengan mulut. Dave gaya macam tak nak turutkan tapi dia mainkan juga. Dengan tak sembang banyak, Dave terus main intro lagu Seven Nation Army. Satu stadium ikut riff itu dengan mulut dan aku pun terlibat sama.

Baru nak masuk nyanyi, Dave kabor, “sabor, sabor! Salah band ni, salah band! Keh suka lagu ni… tapi bukan nak main. Pernoh la main dulu, tapi bukan hari ni.”

Dave sambung lagi dan kini memperkenalkan ahli kumpulannya. Macam biasa setiap nama yang dipetik akan memainkan sedikit lagu. Bermula Chris Shiflett dengan lagunya — Stayin’ Alive diikuti dengan goreng gulung. Nate Mendel — Another One Bites The Dust dengan mantapnya dinyanyikan sikit oleh Taylor Hawkins. Rami Jaffee — Fly Like an Eagle. Dave cuba-cuba nyanyi tapi tak ingat lirik.

Bila tiba giliran Pat Smear. “Tuan tuan dan puan puan, demeh semua tahu orang baik akan sentiasa pakai kaler putih… tu dia! Pat Smear di posisi gitar!!!” Jerit Dave. Pat dengan semangat Punk Rock yang telah sebati dalam dirinya terus memainkan lagu Blitzkrieg Bop. Kami berteriak sama.

“Aaa! Ooo! Let’s go!!!” Puas walaupun sekejap.

Akhir sekali giliran Taylor Hawkins. “Dan tak kurang handalnya!” Jerit Dave lagi. Kelihatan Dave Grohl menepuk-nepuk dadanya sambil tunduk. Agak sayu. Tangan Dave Grohl menghala ke dram.

“Tuan tuan dan puan puan, dengan segala hormatnya… teman yang keh sayangi…” Dave diam sekejap sebelum menjerit, “Taylor Hawkins di posisi dram!!!” Orang semua bersorak riang.

Aku dapat rasakan, sebenarnya Dave kata “teman yang keh sayangi” tadi bukan saja untuk Taylor, tapi untuk Chris Cornell sekali. Masa Dave halakan tangannya ke dram, ia tepat ke arah kick drum yang mana ada potret Chris Cornell terpapar di situ. Bila nak menyebut nama Taylor, baru Dave angkatkan sedikit tangan ke arah Taylor. Sebak juga aku dibuatnya. Terima kasih, Dave Grohl.

Show diteruskan, Taylor memainkan lagunya, Cold Day In The Sun. Diikuti,

Congregation — Walk

Sebaik habis lagu Walk, makwe tadi tegur, “awak ambil dadah ya? Lain macam aje melompat tak berhenti ni.”

“Takkk… saya berlatih. Tiga bulan joging panjat bukit apa semua. Saya memang dah sedia untuk lompat selama 3 jam tanpa henti.”

“Oh okey… nak air bagitau ya.” Balas dia ringkas.

Hiyah! Iyah! Iyah! Aku sambung lompat. Dan tak pasti dia dengar ke tidak apa yang aku cakap sebab keadaan bising sangat semasa tu. Pada masa yang sama juga ada sorang akak tegur aku dari belakang.

“Youuu… you jumping slow. My beer is on the floor. Jangan langgar tau.” Aku tak jawab banyak dan mengalah sambil bergerak ke port lain yang jauh sikit dari dia. Apa bendalah, nak selesa ambil tiket duduklah, boleh bawa ikan bilis sekali buat siang tulang, kata aku dalam hati dengan tenang.

Kalau ikut susunan lagu konsert di Bangkok, Foo Fighters main lagu Everlong mula mula dan last sekali Best of You. Aku kalau dapat dengar Everlong dan Monkey Wrench ini live memang kira mantap dah. Boleh pakai sampai umur 85 dia punya mantap. Tapi lagu yang paling aku tunggu, Everlong. Dave lepas dia jatuh dulu aku tengok berambi sikit dia berlari. Tak ada kalut sangat.

Hampir sejam setengah konsert berlangsung Alhamdulillah aku masih bertenaga macam Taylor Hawkins. Lagu diteruskan dengan,

These Days — Rope — Time Like These — Breakout — Best of You

Aku dah sedikit kecewa. Sebab sebelum main lagu Breakout, Dave cakap Foo Fighters takkan buat encore, memang main sekali harung saja sampai habis semua setlist.

“Dan pada malam nih komeh akan mainkan beberapa lagu lama… untuk peminat lama Foo Fighters. Dan lagu nih untuk demeh. Kerana keh juga peminat Foo Fighters yang dulu.”

Masa Dave sembang sambil strum gitar tu, aku dah tahu mesti lagu Breakout. Fucking classic. Tenaga aku seakan tak luak. Masih mantap. Menjadi nampaknya latihan aku selama 3 bulan itu. Hiyah! Iyah! Iyah! Aku sambung lompat.

Selesai lagu Breakout, Dave ajak nyanyi sama-sama lagu Best of You. Dah kecewa sikit aku. Kalau ikut di Bangkok, lagu last dah ini.

Aku reda… dan tarik knee guard atas kepala lutut semula, aku kasi all out. Pedih juga peluh masuk mata. Lama penonton menyanyi ramai-ramai ala choir riff lagu Best of You. Aku macam nak mengalir dah air mata. Nak habis betul dah gayanya. Aku ambil keputusan duduk mencangkung sambil merenung akak beer tadi. Dalam fikiran aku akak itu dah terpijak beer-nya sendiri. Kaki basah dan salahkan orang lain atas perbuatannya sendiri akibat tak menghormati rockers sedang rocking.

Aku bangun semula. Ternyata ia masih belum berakhir. Dave nampaknya menukar gitar birunya kepada gitar emas dan berkata, “lagu ini untuk awok! Kita akan rocking sepanjang malam! Lagu ni untuk awok! Jom main Monkey Wrench!” Kata Dave sambil pandang ke Chris. Aku pandang ke makwe tadi sambil tunjuk isyarat rock. Kelihatan peluh di dahinya yang tertutup rambut makin jantan.

Mengikut setlist, lagu Monkey Wrench sepatutnya tak main. Dave on the spot buat keputusan untuk main. Ada beberapa lagu yang tak dimainkan. Selepas Time Like These sepatutnya ada lagu Sky is a Neighborhood dan selepas Breakout, ada This is The Call. Tapi aku okey. Aku percaya dengan keputusan Dave.

Lagu Monkey Wrench berjaya ditamatkan dengan semua penonton habis suara part nyanyi straight itu. Part itu Dave tak nyanyikan dari mula. Dia cuma sambung dari “word you said…” sampai habis. Tapi sangkut juga. Aku faham keperitan dia melalui pengalaman aku karaoke dan melihat Nash menyanyikan semula lagu Lefthanded yang tinggi-tinggi.

Dave sambung sembang semula.

“Dengar sini demeh semua. Masa komeh mulakan band nih dulu… komeh tak tau pun apa akan jadi di masa hadapan. Komeh hanya main dengan penuh semangat sebagai rockers. Dan kali pertama komeh datang sini, keh berkata, apa gilanya kita dah dekat Singapore nih, geng? Bila kembali ke sini semula, melihat semua nih, melihat awok semua, baru keh tau, inilah gilanya. Jadi… terima kasih bebanyak keh ucapkan. Terima kasih datang ke show komeh. Terima kasih semua. Demeh yang kat belakang tu, kecik je keh tengok. Terima kasih… terima kasih kerana datang tengok an old rock & roll band….”

Dan akhirnya masa yang aku tunggu telah pun hampir apabila Dave mula berkata, “macam keh kabor tadi, komeh tak buat encore. Komeh bukan stail macam tu. Dan komeh juga tak kabor selamat tinggal. Komeh kabor nih….”

Ya. Dave Grohl memetik intro Everlong.

Perasaan ketika itu tiada tandingannya…. Dan aku melihat Engkau tiada.

Balik ke Atas