Temubual Ringkas Bersama NiceStupidPlayground: Pasca Rocktoberfest Borneo 2017

MUZIK/SENI & BUDAYA Teks oleh: Karl Agan

Rocktoberfest Borneo 2017 menutup tirai pentas setelah kugiran Hujan menamatkan sesi mereka pada malam Sabtu, 7 Oktober 2017. Festival Rock yang diadakan sejak hari sebelumnya merakam kehadiran bukan sahaja pengunjung dari bandaraya Miri, malah dari serata Malaysia serta negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, dan Filipina. Ini barangkali merupakan festival rock terbesar yang pernah diadakan di bandaraya Miri yang sebelum ini saban tahun dihiburkan dengan Borneo Jazz Festival dan Country Music Festival. Peminat musik rock tiada alasan untuk tidak turun padang bila pihak penganjur festival Rocktoberfest mengeluarkan senarai kugiran-kugiran serta harga tiket yang amat memuaskan hati. Tahniah kepada pihak pengajur festival, NorthEastern Group kerana berjaya memikat pengunjung untuk datang ke festival kali ini.

Seperti Borneo Jazz Festival yang lalu, Rocktoberfest Borneo 2017 diadakan di tapak yang sama, di perkarangan Parkcity Everly Hotel yang menghadap ke laut. Berbeza dengan festival jazz, Rocktoberfest dipersembahkan dengan pentas yang lebih besar dan gerai-gerai dagangan, makanan serta minuman juga disediakan lebih banyak untuk kemudahan pengunjung.

Festival yang berlangsung selama 2 hari ini menampilkan persembahan dari 37 kugiran dengan pentas yang dibuka seawal jam 2 petang, berlangsung sehingga ke tengah malam. Antara kugiran-kugiran yang menjadi tumpuan sudah tentunya kugiran Hujan, XPDC, Koffin Kanser, OAG, Oh Chentaku, Slapshock (Filipina), Kyoto Protocol, Monoloque, dan beberapa kugiran dari bumi kenyalang seperti Polar, Larrong, Suri Mantra, Masterpiece dan Nicestupidplayground. Pengunjung benar-benar menikmati festival rock yang julung kali diadakan di bandaraya Miri ini sehinggakan ada yang mahu repeat tahun depan.

Saya berkesempatan untuk menemubual secara ringkas kugiran Nicestupidplayground untuk tulisan kali ini. Nicestupidplayground sudah mula merancakkan industri muzik tanah air seawal tahun 90-an. Antara lagu yang menjadi kegemaran ramai seperti Bedroom Windows, Stereo Girl, dan Girlfriday. Ikuti temubual berikut.

 

Bagaimana Rocktoberfest Borneo? Adakah ia menyeronokkan dan menepati jangkaan dari segi kedatangan pengunjung?

NSP: Rocktoberfest seolah-olah sebuah mimpi. Itu yang datang dapat kami katakan. Kami jarang bermain secara langsung disebabkan komitmen peribadi dan sungguh, kami rasa seronok bermain di sini. Kami gembira menjadi sebahagian daripada sejarah pesta ini memandangkan ia pertama kalinya diadakan di Sarawak. Dari segi jangkaan, ia menepati apa yang kami harapkan, penghargaan harus diberikan kepada kru dan penganjur yang terlibat. Sudah tentu setiap acara ada halangannya tapi penganjur benar-benar membuatnya terasa minima. Rasa senang untuk kembali ke pentas setelah sekian lama.

Selepas “A Beautiful Life” dilancarkan pada tahun 2006, kalian bermain di beberapa acara dan setelah itu seakan berehat seketika. Saya menduga kalian mengalihkan fokus untuk menguruskan kehidupan peribadi dan bila kembali bersama semula di waktu ini, saya percaya waktu rehat yang lalu memberikan idea-idea baru? Jika ya, apa yang berubah memandangkan Adrian dan Danny juga bersama kalian sekarang, sudah tentu ada keunikan yang mereka tawarkan?

NSP: Ya, memang kami berehat sebentar untuk tumpukan perhatian dengan pekerjaan masing-masing tapi kami tidak pernah berhenti menggubah. Kami cuba luangkan masa bersama dan usahakan material-material baru. Buat masa ini kami sedang merakam album baru. Kalian boleh mengjangkakan sesuatu yang berlainan dari kami tapi kami masih berpegang dengan asas Indie Pop atau Borneo Pop, seperti yang selalu diperkatakan. Adrian dan Danny adalah gabungan yang mantap. Mereka bawa idea-idea segar. Anda mungkin dapat dengar elemen dreampop, shoegaze dan post-punk dalam material baru kami, sesuatu yang lebih padat dan avant-garde. Kami bereksperimen dengan bunyian baru, walaupun ada yang mungkin menganggapnya sesuatu yang berciri arus-perdana. Kami tidak sabar untuk melancarkannya kepada pendengar. Kami sedang merekod waktu ini. Kami mungkin sudah melakukan 40% kerja-kerja rakaman dan kami bercadang untuk melancarkannya sekitar pertengahan tahun hadapan.

Bagaimana dengan proses kreatifnya? Siapa yang menulis lagu dan bagaimana kalian bekerja dengan idea yang berlainan sebelum ia mencapai peringkat akhir atau rapi?

NSP: Kami buat semuanya seperti mana dilakukan oleh band-band lain. Tiada cara yang pelik atau lain dari yang lain. Hanya berbekalkan enam pasang telinga dan selera muzik yang tinggi. Haha! Charles yang selalunya menyumbangkan riff gitar asas dan dari sana kami perluaskan ideanya sehingga kami memperoleh gubahan yang dipersetujui oleh kami berenam. Ia mungkin kelihatan egois, seolah-olah kami tidak mendengar pendapat atau ulasan dari luar band tapi asalkan semua orang dalam band setuju dengan gubahannya, itulah dia, itu yang paling utama. Walaupun kami tinggal di bandar-bandar yang berlainan, teknologi sangat membantu proses kreatif kami. (Danny bekerja di Miri manakala Adrian di Kuala Lumpur.)

Apa pandangan anda tentang suasana muzik tempatan terutamanya di Sarawak atau di Borneo secara umum? Sebagai sebuah band yang telah wujud sebelum internet meletus, apa yang berubah, apa elemen positif yang kalian nampak, dan apa yang kalian harap untuk waktu yang akan datang ini?

NSP: Jika dibandingkan sekarang dan dahulu, segalanya mudah hari ini disebabkan teknologi. Pemuzik mencapai pendengarnya dengan hanya semudah satu klik. Teknologi juga menggalakkan orang untuk bermain muzik dan menulis lagu sendiri dengan tersedianya web muzik seperti Soundcloud dan Youtube misalnya. Suasana muzik Sarawak semakin meriah, itu yang dapat kami katakan buat masa ini. Seni penulisan lagu dan gubahan bertambah baik oleh kerana pengaruh internet. Band tradisional atau lama seperti kami pun memilih untuk menyesuaikan diri supaya tidak menjadi ketinggalan. Haha!

Pesanan akhir untuk mengikut dan penggemar muzik kalian?

NSP: Terima kasih kepada pengikut yang setia menyokong kami dari dahulu hingga sekarang. Amat memuaskan apabila dapat kembali dari rehat yang lama. Tunggu kelainan dari kami dalam masa yang terdekat. Juga, ikuti kami di Facebook: nicestupidplayground untuk maklumat serta sebarang perkembangan.

Balik ke Atas