Rogue State — Semboyan Hip Hop Malaysia

MUZIK/SENI & BUDAYA Teks oleh: M. Faiz Syahmi

Sebelum mendengar Rogue State, saya terfikir; apa bolehkah pada tahun 2017 ini, pemuzik-penyanyi Malaysia membikin sebuah album yang dapat mengimbau kenangan romantis kita pada era di mana Hip Hop menjajah segenap sudut tanah air? (Jangan mengaku jika ada yang pernah keluar rumah memakai kalung cakera padat di leher mereka.) Selepas mendengar Rogue State, persoalan saya terjawab. Namun, setelah mendengar, menghadam, saya tak nampak album ini dibikin atas niat semurni itu. Saya syak, MicWrecka, produser album ini sikit pun tak peduli dengan apa yang saya fikirkan. Saya syak, dia dan beberapa rakan ahli Rogue Squadron lain hanya buat apa yang mereka cekap—jamah kreativiti—apa yang telah jadi darah daging, semangat dan jiwa mereka; cukup masak, dipersembah kepada khalayak umum.

Saya bukanlah graduan Universiti Hip Hop Dunia (jika ada), bahkan lebih layak jika apa saya mahu katakan ini keluar dari mulut KRS One a.k.a Teacha atau Altimet (mungkin ia jadi 100% berbeza daripada apa saya katakan). Tapi saya peduli apa? Saya turut ada hak pendengar dan hak memberi pendapat tentang album ini.

Secara keseluruhan, Rogue State ibarat semboyan perang dan (atau) gerbang gemilang generasi baru Hip Hop Malaysia. Gerbang ke mana? Ke Neo-Dimensi Dunia Hip Hop Malaysia. Perang apa? Terhadap siapa? Perang seni lagu dan puisi terhadap sistem, monarki, otokrasi, birokrasi, demokrasi, anarki, stereotaip, dogma, sosialisme, kapitalisme, patriarki, feminisme, saintologi, iluminati, kultus pop dan paling utama, memerangi penggerak kultus Hip Hop sendiri. Salah satu contoh, ini dapat dilihat di tulisan Nawi dalam lagu Qorban, “Ramai yang rapuh akar dan terus tumbang/ Tak ramai yang teguh akar dan terus juang”. Nawi menyela mereka yang bergerak dalam industri dengan tapak yang tidak kukuh; menjatuhkan perjuangan seni itu sendiri.

Album ini taklah sepenuhnya serius bak senireka sampulnya. Ia turut memuatkan komedi satira dalam beberapa buah lagu. Salah satunya ialah lagu berjudul Pisau Cukur (Tak Tahu). Saya tak pasti jika NtahSape2Ntah sengaja atau tidak menyanyikan lagu ini dengan lenggok KRU namun lagu ini buat memori saya terimbau ke lagu Fanatik. Ketiga-tiga suara MC (Vokal bass Al-Z, vokal padu Frequensi dan vokal lembut Rydza Radzy) diharmonikan dengan baik termasuk cubaan tidak menyebut “Ho” dengan tambahan suku kata oleh Rydza Radzy. Saya turut terhibur dengan komen akhir DMent Si Lain di lagu Dunia Batu, dan dengan perbualan akhir lagu Boardin’ Pass. Like, seriously, Eylsoul? Nasi Goreng Kampung? Hit me up with one too, bruh. That’s a good idea after work.

Sample paling menarik perhatian saya dalam album ini ada di lagu Qorban. Saya tak pasti ia dipetik daripada intro lagu yang mana satu, mungkin Sudirman, tetapi saya suka perasaan Timur Tengah dalam sample ini. Jika mahu konspirasi-teorikan hasil kreatif ini, saya syak mungkin sebab itu judulnya diletak Q berbanding K kerana Korban dengan Kaf tidak pernah wujud; yang wujud hanyalah Qorban dengan Qof kerana Qorban asal wujudnya dari Timur Tengah. Penggunaan Qof boleh jadi ada kena mengena dengan hukum tajwid Qof Tafkhim sebagai penegasan, tapi itu kita cerita waktu lain. Saya juga suka penggunaan petikan kata Tony Montana dalam filem Scarface di lagu The Cowboy From Shaolin. Oh, bercakap mengenai lagu ini, mohon titipkan salam saya ke pemilik suara seksi Lady D. (Moga suaminya tak marah.) Lama betul Hip Hop Malaysia kemarau suara seksi seperti ini. Sudah tiba masanya kita selit semula kelunakan bunga-bungaan di samping nyanyian kawanan lebah jantan bersengat.

Pertama kali pejam mata dengar album ini, saya dapat bayangan halusinasi berdiri di depan pintu gerbang saiz gargantua yang terbuka luas bercahaya dan belakang saya kegelapan yang nyata. Di balik gerbang itu, terdapat jutaan dara berlainan peringkat umur, pelbagai warna, berkulit mulus, berbogel melambai menanti menggoda kedatangan saya. Pada masa sama saya digelumangi 15 dara sedang memuas kehendak nafsu binatang saya dan mereka, serentak memeluk, menggenggam, mencubit, mencuit, menjilat, mencium, mencumbu, menghisap, menyedut, menggigit, mengikat, merotan, melentik, menjentik dan menelan. Ya, tidak. Saya tidak ambil apa-apa dadah ketika mendengar album ini.

Rogue State dibuka dengan letupan bunga api Kalau bukan Kami Siapa Lagi; pembukaan yang baik buat generasi kini yang cuba mengenali Hip Hop. Disaji kemudiannya dengan HQA VS MICWRECK, salah satu pesta taluan-rima (multisyllables rhyming) dan silat kata (wordplay) HQA diiringi keganasan analogi MicWrecka. Keraian diteruskan dengan laungan amaran You Ain’t Ready, kecintaan diri Untuk Apa?, muhasabah Sebelum Berakhir, perjalanan ke syurga Boardin’ Pass, sorak-sorai wakil penghuni Rogue State, keagungan ketenangan Night In KL, beromantisan di Those Were The Days, tersepit di celahan Edge of Pandemonium, terperangkap dalam Dunia Batu, pengakuan The Cowboy From Shaolin dan ditutup dengan pembongkaran rahsia dalam Secret Wars. Lirik sedap, topik masyuk, beat geliga, mixing rangup. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan (lagi)?

Dengan keluarnya album Rogue State, sesungguhnya penganut dan pemuja agama Malique Ibrahim yang beranggapan seakan beliau seorang sahaja permata yang tinggal paling agung melagu seni puisi ini dalam industri Hip Hop tanah air, boleh mula gali permukaan masuk ke bawah tanah cari harta karun mahakarya. Merujuk Presiden Flizzow, “Hip Hop tidak mati dia cuma kurang sihat” (Satu Kali, album Havoc, 2013), percayalah kalian, pada tahun 2017 ini, Hip Hop mutakhir bukan sahaja semakin sihat malahan lebih sihat berbanding kemunculan pertamanya di Malaysia dahulu. Garisan piawai arus bawah tanah semakin meninggi. Memaksa arus semasa resap yang bawah seiring bersemayam di corong radio. Kini, Hip Hop Malaysia berkilau penuh gemilang di tangan-tangan mereka yang masih percaya dan menyayanginya. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam proses pembikinan album ini.

 

Album Rogue State boleh dibeli daripada pengendali akaun media sosial @roguesquadronmy. Turut didapati dan boleh didengari di Spotify, Apple Music, Tidal dan Deezer.

Balik ke Atas