Ulasan Buku — Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu: Membelai Romantisme Dekaden

SASTERA/SENI & BUDAYA Teks oleh: Alip Moose

Buku ini ditulis oleh Shaharuddin Maaruf, seorang murid kepada sosiolog Melayu yang masyhur; Syed Hussein Alatas. Buku ini asalnya diterbitkan pada 1993, beberapa tahun diterbitkan kembali pada tahun 2014.

Menurut Alatas pada kata pengantar, buku ini mengkaji tentang konsepsi wira dalam masyarakat Melayu. Bagi mereka yang membaca buku ini akan menggarap manfaat yang besar –jika tak keterlaluan untuk dikatakan begitu- untuk mengetahui cara politik dan hidup Melayu dengan lebih mendalam lagi.

Buku ini bukanlah membahas semata-mata tentang wira itu sendiri, melainkan pemuja wira itu sendiri, terlebih khusus, menurut penulis. Bukan juga mahu memberikan pilihan yang muktamad perihal siapa perlu diwirakan, tetapi, lebih khusus memberikan pencerahan akan idealisme, jati diri Melayu, nilai-nilai insaniah dan Islami. Buku ini mempunyai enam bab, dan kesemua bab itu punya kesinambungan antara satu sama lain.

Pada bab pertama, penulis memberikan pengenalan akan sebab apa buku ini ditulis juga memberikan pengenalan akan istilah-istilah dan idea-idea dan nilai-nilai insaniah juga Islami. Kenapa Islami, ini kerana buku ini membahaskan soal kehidupan politik dan cara hidup orang Melayu disebabkan majoriti bangsa Melayu di Malaysia ini ramai penganut Islam, tanpa menafikan ada beragama selain Islam oleh kerana itulah penulis juga membahaskan nilai-nilai Islami.

Dalam mengkaji kehidupan sejarah Melayu, penulis juga menggunakan bahan-bahan primer seperti; Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Misa Melayu dan karya-karya Abdullah Munshi. Jurnal-jurnal seperti Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society dan Dewan Masyarakat. Bahan-bahan semasa yang digunakan penulis juga adalah akhbar tempatan seperti Utusan Malaysia, Bintang Timur, Watan, The Malay Mail dan The New Straits Times. Juga sejarah dan isu semasa secara lisan. Menurut penulis, kajian ini meliputi karya- karya sastera golongan elit dan intelegensia Melayu.

Pada pengenalan ini juga penulis mengambil contoh-contoh tokoh yang mempunyai nilai- nilai insaniah, Islami dan idealisme. Penulis memberikan tiga contoh, seperti Umar Ibnu Al- Khattab (meninggal 644 Masihi), Jose Rizal (1861-1892) dan Jeneral Sudirman (1915- 1950).

Pada bab kedua pula, penulis membahas dua tokoh mitos Melayu yang masyhur dan terkenal dengan sikap feudal mereka iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Memulakan dengan bahan Hikayat Hang Tuah penulis juga menceritakan dan memetik kisah-kisah mitos di dalam Hikayat Hang Tuah. Di mana seketika Hang Tuah berumur sepuluh tahun, beliau bersama kawan-kawan mereka berlayar, lalu diserang oleh lanun tetapi Hang Tuah dan kawan-kawan mereka berjaya menewaskan lanun-lanun itu dan juga dikatakan sewaktu kanak-kanak bapanya itu bermimpi ‘bulan turun dari langit maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah.’ Kisah itu dan kaitannya dengan Hang Tuah tanpa sedar penulis Hikayat Hang Tuah itu membuatkan orang yang membaca tanpa kritis akan secara tidak langsung menekankan kemuliaan berkhidmat kepada golongan istana.

Seterusnya penulis memperihalkan keintelektualan Hang Tuah. Menurut Hikayat itu sendiri, beliau Hang Tuah tiada sifat keintelektualan yang dipelajari oleh beliau hanyalah ilmu pertapaan, hulubalang dan mempertahankan diri. Seketika gurunya itu sudah selesai mengajarkan kepada Hang Tuah akan ilmu-ilmu bergayong atau hulubalang, gurunya bertanya kepada beliau adakah beliau ingin mempelajari pula akan ilmu Tasawuf? Hang Tuah menolak kerana baginya ilmu hulubalang itu lebih penting. Walaupun beliau mempelajari akan ilmu bahasa yang luas tetapi sekadar itu sahaja, ia tidak manfaatkan ilmu itu untuk keintelektualan dan kesarjanaan untuk manfaat massa Melayu. Hang Tuah pernah belajar Al-Quran tetapi sekadar hafalan belaka ekoran sikapnya dan sejarah menunjukkan Hang Tuah hanya memihak kepada istana dan bukannya massa Melayu atau mempunyai insaniah atau kemanusiaan.

Jika dikaji kehidupan falsafah Hang Tuah, ia semata-mata taat membuta tuli kepada raja- raja, dan perkara paling tidak perikemanusiaan adalah beliau menculik Tun Teja Menggala lalu dipersembahkan kepada raja. Orang Melayu selama ini silap memilih wira, bukan salah hikayat Hang Tuah melainkan silap orang belakangan yang tidak kritis membaca dan mentelaah hikayat Hang Tuah itu. Hang Tuah hanyalah wira feudal yang tidak patut dijadikan falsafah wira Melayu.

Lalu penulis membahaskan perihal Hang Jebat pula. Menurut kajian penulis terhadap Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat juga adalah wira feudal sama seperti Hang Tuah. Yang memberontak kerana kehendak nafsunya sendiri walau melawan raja itu tidak lagi menunjukkan ia berbeda dengan Hang Tuah kerana sikapnya yang melawan itu bukan memihak kepada massa Melayu melainkan kerana egonya sendiri. Hang Tuah dan Hang Jebat adalah wira-wira feudal yang tidak patut dijadikan sebagai contoh wira Melayu, mereka wira feudal yang tidak berperikemanusiaan dan tiada nilai-nilai islami.

Menurut Abdullah Munshi, pemerintah dan pemimpin dan pembesar melayu waktu itu, zalim, tidak pandai memerintah rakyat, menghabiskan waktu dengan perkara sia-sia seperti yang termaktub sendiri dalam Kisah Pelayaran Abdullah Munshi. Pucuk kepimpinan yang korup dan tiada nilai insaniah dan Islami. Sikap raja atau sultan atau pemerintah waktu itu menunjukkan betapa jahatnya mereka. Dalam Sejarah Melayu; seperti kesah Inderapura dilanggar todak Hang Nadim memberikan solusi dan berjaya. Kejayaan Hang Nadim itu membawa maut. Hang Nadim dibunuh raja oleh kerana kecerdikan dan kepintaran Hang Nadim itu menggugat raja dan status-quonya.

Pada bab ketiga, penulis memberi contoh tokoh-tokoh elit dan intelegensia Melayu yang hidup sezaman dengan penulis yang terpengaruh atau meromantisme akan Tuah dan Jebat, seperti Ibrahim Mahmood – seorang anggota parti UMNO, seorang wartawan dan penulis sejarah, Raja Mohd Affandi – pegawai kerajaan, Kassim Ahmad – bekas ketua Parti Sosialis Rakyat Malaya dan Muhammad Haji Salleh – seorang ahli akademik dan sasterawan terkenal. Keempat-empat tokoh itu, penulis (Shaharuddin Maaruf) mengkritik mereka dengan hujah yang sangat baik.

Bab keempat pula penulis membahas dengan jauh dan mendalam akan kesan-kesan akibat terhadap salah puja akan tokoh-tokoh feudal ini terhadap masyarakat melayu di Malaysia. Sehingga mencapai sesuatu yang mistik dan bahkan membawa syirik, khurafat dan malah bidaah. Juga membuatkan politik Melayu-Islam tidak mementingkan massa Melayu, melainkan mementingkan elit bangsawan dan politikus. Ketiadaan sifat berfikir kritis dan kreatif itulah membuatkan pelbagai kesilapan dan kekorupan di sana-sini dan massa Melayu yang terjejas.

Pada bab kelima pula diberikan dengan judul KONSEPSI WIRA KEBENDAAN. Penulis juga mengingatkan perbahasan sebelum itu dan sejarah bagaimana elit Melayu yang tersilap memilih wira itu juga yang memegang tampuk kekuasaan selepas kemerdekaan. Di dalam bab ini penulis mengkaji bagaimana elit Melayu mengamalkan sikap kapitalisme yang berdasarkan politik atau kewangan dan bukannya kapitalisme borjuis atau perusahaan moden. Ekoran daripada itu pemimpin UMNO dan mereka yang sama dengan mereka memberikan tokoh-tokoh atau wira-wira yang lebih bersifat kebendaan bukan idealisme. Ekoran itulah boleh dilihat di dalam buku-buku seperti Revolusi Mental dan Dilema Melayu, mempunyai falsafah kebendaan semata-mata dan terpengaruh dengan orientalis penjajah yang sebahagian mereka yang memburukkan bangsa Melayu.

Akhirnya pada bab keenam dan penutup, penulis mengambil kesimpulan bahawa masalah pokok adalah masalah elit mundur yang tiada sifat idealisme, sifat insaniah dan nilai-nilai Islami. Penulis memberikan contoh ciri-ciri elit mundur dan ciri-ciri yang maju dari segi idealisme, sifat insaniah dan nilai-nilai Islami.

Buku ini wajar dimiliki dan ditelaah bagi semua bangsa Malaysia masa kini. Bagi mereka yang ingin mendalami dan memahami akan kehidupan politik dan cara Melayu, buku ini tidak dapat diabaikan, sebagaimana kata Alatas pada bahagian pengantar.

Balik ke Atas