Kitaro – Kojiki & The Universe 2017: Pencarian zen yang tidak ditemui di puncak Genting

MUZIK/SENI & BUDAYA Teks oleh: Zan Zaini

Kisah tiga sekawan diketuai Zan Zaini yang mendaki puncak Genting mahu bertemu dengan Kitaro.

Aku klik butang ‘pay now’ di laman sesawang Ticket Charge dalam kepala otak masih bermain-main petikan klip video lagu Matsuri yang kerap diputarkan di siaran Stesen Television Malaysia Berhad (STMB) suatu ketika dahulu sebelum bertukar nama menjadi TV3. Masih tertera di tiket fizikal aku tarikh 10 September 2017, tarikh pembelian tiket dibuat – kira-kira 4 bulan yang lepas.

Ini kali ketiga dalam hidup aku menjejakkan kaki ke puncak gunung Ulu Kali ini. Kali pertama dahulu seingat aku dalam tahun 1992. Itupun ditipu mak aku kononnya kami hendak ke Bukit Badong, Kuala Selangor. Kali kedua pula pada tahun 2006 atas urusan pejabat (menghadiri persidangan sebenarnya). Jadi aku tak boleh nak ingat apa-apa tanda mahupun jalan untuk naik ke atas. Tidak salah rasanya untuk aku berasa sedikit teruja dan berdebar ketika tarikh 24 Disember makin menghampiri harinya. Macam nak pergi mengadap bakal keluarga mertua pun ada. Eh!

Bersama Sinaganaga dan Aloy Paradoks, kami memulakan pendakian kami (ceh!) tepat pukul 3 petang. Dengan keadaan jalan yang tidak berapa sibuk, kami cuma mengambil sedikit masa ketika mendaki dari Genting Sempah menuju ke puncak. Itupun tidaklah lama mana. Lebih kurang pukul 5 petang kami selamat meletakkan kereta di parking hotel First World.

Suasana di puncak agak berkabus, bersesuaian dengan cuaca tengkujuh yang sedang melanda negeri-negeri Pantai Timur. Namun suhu di dalam mall tidaklah sesejuk yang disangka. Beberapa kali juga aku terpaksa membuka kot dek kepanasan walaupun sesekali angin sejuk terasa menghembus diri ini. Lebih aku tercabar melihatkan amoi-amoi dengan tenang mengenakan skirt pendek separas paha di sini. Fuh! Gila kebal korang kan? Orang berbudi kita merasa (lihat), betul?

Konsert Kitaro kali ini membawa tema Kojiki & The Universe. Pada yang tidak tahu, Kojiki adalah tajuk album beliau yang turut mengandungi lagu Matsuri yang kita semua tahu itu. Jadi bayangan awal aku, konsert kali ini tentu agak slow-tempo dan kalau tak kena gaya, boleh tertidur aku dalam Arena Of Stars nanti dek lagu-lagu yang slow ditambah dengan cuaca sejuk Genting Highlands.

Setelah puas mengukur panjang mall, kami terus ke Arena Of Stars yang terletak bersebelahan dengan mall. Pukul 9.45 malam kami sudah tercantuk di atas kerusi. “Macam kerusi stadium je tempat ni,” rungut Aloy. Dia sudah membuat kajian yang agak terperinci tentang latar belakang tempat persembahan ini. Warna bumbung Arena Of Stars pun dia tahu warna apa. Dahsyat betul orang teater buat homework!

Walaupun di atas tiket tertera 10.00pm untuk waktu bermulanya persembahan, ternyata Kitaro tidaklah setepat itu. Mungkin kerana beliau hanya dilahirkan di Jepun namun membesar dan bermastautin di Amerika yang membuatkan menepati masa bukan sebahagian daripada budaya beliau. Entah. Konsert dimulakan tepat jam 10.16 malam (aku sempat melirik jam di telefon pintarku ketika ini). Lagu Silk Road diikuti dengan Caravansary menjadi lagu pembuka panggung. Dalam balam lampu sorot berwarna biru, kelihatan Kitaro dengan barisan keyboard-nya ditemani seorang lagi pemain keyboard dan seorang pemain violin sebelum penari ‘Butoh’ keluar pada lagu keempat sambil menatang lilin di atas pentas; mempersembahkan disiplin tarian ‘Butoh’  dan diakhiri dengan dua orang pemain gendang.

Persembahan Kitaro pada malam itu dibahagikan kepada dua segmen. Segmen pertama adalah ‘Silk Road Journey’ di mana lagu-lagu yang dimainkan adalah lebih bersifat pengembaraan dan kebangkitan manakala segmen kedua, Kojiki & The Universe adalah berdasarkan legenda purba Jepun berkenaan asal kewujudan angkasa, sistem solar dan planet-planet yang bertaburan di angkasa.

Sebenarnya hati aku sudah mulai luruh saat kali pertama memandang ke arah pentas. Hanya kelihatan 2 buah keyboad yang diletakkan secara berhadapan dan dua biji gendang yang diletakkan di penjuru kiri dan kanan pentas. Takkan ini saja? Tiga keping layar yang diletakkan di tengah, kiri dan kanan pentas pula aku rasa macam tengok wayang pacak pula. Entah tahun bila punya teknologi aku pun tak tahu.

Ketakutan aku menjadi kenyataan bila Kitaro mincul di pentas. Muzik yang dimainkan menggunakan ‘playback’ bergema di seluruh dewan dan Kitaro serta barisan pemuzik undangan beliau cuma bermain ‘on top of playback music’. Tiada kelihatan pemain bass walaupun bunyi bass kedengaran, pemain ‘Koto’ juga tak kelihatan walaupun ada satu lagu tu didominasi oleh bunyian ‘Koto’. Senang cakap, paling ramai cuma 6 orang saja yang kelihatan di atas pentas termasuklah Kitaro. Dan paling palatnya, ketika lagu Matsuri dimainkan, cuma Kitaro saja yang kelihatan di atas pentas tanpa kelihatan kelibat pemain gendang mahupun pemuzik-pemuzik lain. Layar di kiri kanan juga tak banyak membantu. Terasa macam tengok tv dengan skrin CRT saja sedangkan di zaman ini, sudah banyak skrin LED dengan resolusi tinggi boleh disewa dengan mudah. Pergerakan kamera juga agak menggeramkan di mana kamera lebih banyak tertumpu kepada penari ‘Butoh’ berbanding ‘pengantin’ kita pada malam itu. Bak kata Sinaganaga, kalau penganjur letak Lim Swee Tin menggantikan Kitaro di atas pentas pun, orang bukan perasan, kan?

Secara keseluruhan, konsert Kitaro ini hanya boleh diletakkan sebagai ‘biasa-biasa’ saja. Walapun hampir 5000 kerusi di dalam Arena Of Stars ini dipenuhi penonton, namun secara peribadi, aku rasa agak kecewa dengan persembahan beliau. Mungkin aku terlalu mengharapkan persembahan seakan klip video Matsuri yang suatu ketika dahulu kerap diulang tayang di kaca tivi. Untuk aku terbuai dalam pengembaraan baik dalam segmen Silk Road Journey mahupun Kojiki & The Universe pun aku gagal. Mungkin kerana faktor layar yang kusam dan tak membantu langsung penceritaan melalui video yang ditayangkan. Juga mungkin faktor video yang banyak diambil dari sumber lain seperti Nasa yang membuatkan ‘pengembaraan’ menjadi lebih kepada menonton filem dokumentari bisu mengenai angkasa lepas sambil dilatari muzik oleh Kitaro. Nasib baik takde kutu baca sajak!

Balik ke Atas