Yang Berani Hidup

SASTERA Teks oleh: Johan Radzi

Johan Radzi, seorang peninju melaporkan tentang Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara 2017.

 

“Aku sukakan mereka yang berani hidup. Aku sukakan mereka yang masuk menemu malam.” — Chairil Anwar

 

Sejak tujuh ke 10 Disember lalu, PUSAKA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor telah menganjurkan Festival Bahasa & Persuratan Melayu Nusantara 2017 beberapa tempat di Shah Alam dan Petaling Jaya. Dengan mengangkat baris sajak Chairil Anwar – Yang Berani Hidup – festival turut menampilkan beberapa karyawan / budayawan terkemuka rantau ini seperti Goenawan Mohamad, Muhammad Haji Salleh, Gutierrez Teng Mangansakan II, Sapardi Djoko Damono, Nukila Amal, Latiff Mohidin serta lain-lain. Nama diplomat melayu thai Surin Pitsuwan juga turut disertakan, namun ajalnya yang tidak terduga beberapa minggu lalu menghindari kehadirannya untuk festival yang julung-julung diadakan kali ini.

Festival mula dilancarkan di Dewan Jubli Perak di Shah Alam pada tanggal 7 Disember, dirasmikan oleh YB Tuan Amirudin Bin Shari selaku Pengerusi Jawatankuasa. Kemudian, Eddin Khoo pula sebagai kurator utama mengambil pentas dan menceritakan serba-sedikit mengenai usaha-usaha penganjuran: dalam masa yang begitu terbatas mereka mengirimkan jemputan kepada karyawan / budayawan serantau Asia untuk menjayakan festival raya ini. Di meja makan saya sempat berkenalan dengan Fahmi Mustafa dan Regina Ibrahim yang selama ini hanya diketahui melalui nama-nama mereka di judul buku. Kemudian saya juga ditunjuk kepada Izzuddin Ramli yang bertugas di Penang Institute. Sebuah buku berjudul ‘Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule’ oleh Anthony Milner telah diterjemahkan olehnya ke dalam bahasa melayu.

Hari seterusnya, acara pertama adalah acara yang ditandakan bintang di buku acara – sebagai tanda Acara Utama – “Dr Surin Pitsuwan dalam Kenangan: Semangat Samudera – Budaya dan Bahasa Melayu merentas sempadan” yang dikelolakan oleh Eddin Khoo. Saya tidak sempat menghadiri acara ini kerana jam loceng saya yang dikunci pada jam yang salah. Tetapi saya sempat menghadiri ‘Wanita dan Kata di Nusantara’ di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah yang dibarisi pengarang-pengarang wanita seperti Ayu Utami, Dorothea Rosa Herliany, Rain Chudori, serta Regina Ibrahim. Forum dimudahcarakan oleh Izzuddin Ramli. Saya tertarik dengan kenyataan Ayu tentang agama – “samada kita melihat ia sebagai tantangan atau sumber inspirasi” melalui gagasan Spiritual Kritikalnya. Selain itu, Regina juga turut menghiburkan kita apabila dia menyebut bahawa feminisme bukanlah lagi tentang ‘membakar pakaian dalam’ atau ‘berhuhahuha’, sebaliknya menyandang peranan yang lebih mustahak daripada itu.

Menjelang malam, saya, Wan Nor Azriq, serta Aan Mansyur mengambil kereta untuk ke SACC Mall pula untuk Hadiah Sastera Selangor 2017. Acara ini bertujuan untuk menghadiahi pengarang-pengarang yang melibatkan diri dalam akhbar Selangor Kini yang dijalankan secara mingguan. Pemenang utama kategori cerpen didaulatkan kepada Azrin Fauzi demi ‘Ceritanah’. Buat sajak pula, ia didaulatkan kepada Fahd Razy dengan judul – baca dengan setarik nafas – ‘Catatan Yang Dilipat Menjadi Kapal Terbang Kertas lalu Diluncur dari Tingkat Lapan Sebuah Pangsapuri (dan ia tidak mahu dijumpai lagi). Kategori esei tidak ada pemenang utama kerana esei-esei yang disiar kelihatan kurang tajam dan kritikal. Hanyalah saguhati.

Pada hari berikutnya juga saya tidak sempat menghadiri acara-acara yang dijalankan belah pagi. Tetapi masuk petang, saya sempat untuk mampir ke Muzium bagi mendengar ‘Gelombang Yang Memukul, Sawah yang Tenteram’ yang juga dibarisi oleh panelis-panelis utama seperti Syed Farid Alatas, Goenawan Mohamad, Khalid Jaafar, serta Nukia Akmal. Syed Farid berkata tentang masalah arabisasi serta memperkenalkan istilah ‘jadong’iaitu penggabungan jahat, bodoh, dan sombong. Khallid Jaafar pula menekankan kesatuan linguis yang dikongsi warga nusantara dan haruslah ada usaha-usaha untuk menjambatani antara negara-negara ini. Mas Goen sebaiknya kurang bersetuju dengan ancaman ‘arabisasi’, serta memalitkan kesalahan pada anti-akronim. Di Indonesia pernah ada perbalahan tentang penggunaan solat atau sembahyang – kenapa tidak memakai kedua-duanya? Nukila Akmal pula panjang lebar bercerita tentang pertembungan bahasa pribuminya serta bahasa kebangsaan Indonesia yang lahir dari tanah Sumatera. Ia satu perbincangan yang hebat dan menarik untuk direnungkan tentang masalah satu ketamadunan yang dicerai-ceraikan atas garisan nasionalisme penjajah kolonial berabad lalu. Siti Zainon juga tampil berkongsi pengalaman: bahawa kerja menyebarkan budaya tergalas pada bahu karyawan, budayawan, serta penulis kerana merekalah yang akan memanfaatkan bahasa dalam ekspressi kreatif. Ahli bahasa kekadang terlalu rigid dalam pendekatannya.

Pada sebelah malamnya pula kami ke DPAC untuk menonton pementasan ‘Amangkurat, Amangkurat’ yang ditulis oleh Mas Goen sendiri. Ini adalah pementasan pertama yang dilakukan di luar Indonesia dan dewan kami penuh dengan hadirin berbagai-bagai jenis orang. Saya tidak akan mengulas teater ini lanjut kerana pengarang-pengarang seperti Zahid M Nasser dan Hafiz Hamzah telah pun mengungkapnya di Jalan Telawi. Walaubagaimanapun, pementasan tersebut ternyata keren dan memuaskan. Berulang-ulang kali wajah si Raja Mataram terbit di ingatan meskipun kami sudah pulang ke kamar hotel.

Hari akhir, saya hadiri Syarahan Utama ‘Yang Berani Hidup’, sekali lagi oleh Mas Goen. Beliau menjelaskan tentang apa yang membuatkan puisi Chairil Anwar itu begitu memikat: sajak-sajaknya meruntuhkan hieararki. Kita bisa meihat ini dalam ‘Persetujuan Dengan Bung Karno’. Mas Goen juga ada menyebut sajak Chairil yang berjudul ‘Di Masjid’ (antara kesukaan peribadi saya).

Kemudian jam 4, terdapat acara ‘Petang Lidah, Tajam Pena’ yang dimudahcarakan oleh saya sendiri. Fahmi Mustafa menyamakan bahasa sebagai sesuatu tubuh yang hidup. Lawrence Ross pula bercerita tentang tradisi kelisanan di Alam Melayu. Dina Zaman selaku pengasas IMAN Research mengaitkan penggunaan bahasa melayu dengan aktiviti keganasan agama di rantau kita. Sementara, Mustaqeem M. Radhi pula berceloteh panjang lebar mengenai selok-belok yang terpaksa dihadapi penerjemah dalam memindahkan karya-karya bahasa asing ke dalam bahasa melayu.

Saya tidak sempat menghadiri majis penutup pada belah malamnya kerana beberapa hal yang tak dapat dielakkan. Namun, saya kira festival ini berjaya dalam menghimpunkan budayawan / karyawan rantau kita untuk sama-sama duduk semeja dan berbincang mengenai isu-isu bahasa dan persuratan. Hal ini jarang dapat dianjurkan dan seharusnya dimanfaatkan seboleh-bolehnya. Hati saya berasa agak kesal sedikit dengan jumlah penyertaan yang sedikit daripada mahasiswa-mahasiswa jurusan kesusasteraan, lebih-lebih lagi kerana lokasi festival yang tidak jauh dengan universiti-universiti tempatan. Seharusnya inilah yang banyak disertai mereka selaku pengaji-pengaji bahasa dan kebudayaan.

Saya mempunyai beberapa cadangan untuk penganjuran festival seperti ini dalam masa-masa yang mendatang. Pertama, festival kesusasteraan Georgetown dan Singapura masing-masing mengangkat tema yang berbeza dari setahun ke setahun. Misalnya, di Pulau Pinang mereka berwacana mengenai ‘monsters’ akibat kebangkitan global politik berhaluan kanan. Bagaimanakah pula dengan festival yang dikelolai akan datang? Meletakkan tema yang berbeza-beza setiap tahun akan memandu perbincangan kita menjadi lebih tertumpu dan spesifik. Kedua, Eddin memaklumkan kepada kami bahawa tempoh penyiapan festival tidak lebih daripada tiga minggu sahaja. Barangkali sebab ini juga pengiklanan sangat terbatas dan segala-galanya datang dalam notis singkat. Ini juga mungkin dapat menjelaskann ketidakhadiran mahasiswa-mahasiswa kesusasteraan ke dalam acara raya ini. Ketiga, festival ini telah mengangkat banyak pengarang mapan yang telah mencipta nama di persada nusantara seperti Mas Goen, Ayu Utami, Haji Salleh, Latiff Mohidin, etc. Barangkali untuk festival mendatang kita boleh juga menyediakan lebih banyak gelanggang bagi pengarang-pengarang muda yang sedang bertatih di dunia kesusasteraan. Festival boleh mengetengahkan judul-judul mereka ke pusat sasterawala rantau kita. Misalnya, kita boleh bermula dengan berbincang mengenai himpunan cerpen, puisi, atau novel mereka kerana merekalah suara kontemporari sastera yang tak harus kita elakkan. Alangkah baik jika kita dapat mengenal dan membina jaringan antara pengarang-pengarang muda di serata rantau. Dunia kesusasteraan kita memerlukan lebih banyak nafas muda serta buah gagasan mereka yang bertenaga dalam mendobrak kebekuan-kebekuan alam sastera kita pada hari ini.

Semoga festival bahasa & persuratan melayu nusantara akan terus meriah untuk tahun-tahun mendatang. Hanya Yang Berani Hidup akan terus bertahan dan hidup dalam kenangan-kenangan yang hebat dan berjiwa besar.

Balik ke Atas