Selepas seminggu, Malaysia Muda

LAPORAN/PERSPEKTIF Teks oleh:

Foto oleh: FB Malaysia Muda

Usai sudah Rapat Umum Malaysia Muda: 71 Tahun Angkatan Pemuda Insaf (API) pada minggu lepas. Barangkali, apa yang ingin dicapai melalui Rapat Umum ini, sedikit telahpun dicapai. Perarakan tanpa gangguan, pekik laung nyanyian, tempik gendang, serta teriak gempita, menghiasi suasana pada hari kejadian. Lebih dari 100 peserta hadir berkumpul ‘memeriahkan’ suasana. Tidak termasuk 30-35 orang anggota polis (sama ada berseragam mahupun tidak) yang turut sama ‘berarak’ menuju Pusat Beli Belah Sogo, tidak termasuk warga sivil yang (barangkali) menunggu di tempat yang kejadian, dan tidak termasuk juga wartawan yang ligat membuat liputan.

Pukul 1:40 petang, jurucakap Malaysia Muda, saudara Amir memberi sedikit pengisian berkenaan Rapat Umum yang diadakan beserta tujuannya. Rapat Umum ini diadakan sempena memperingati Ulang Tahun ke-71, Angkatan Pemuda Insaf (API) yang satu masa dahulu pernah berjuang menuntut kemerdekaan daripada kolonial dan kemudiannya, API telah diharamkan daripada bergiat aktif dalam politik tanah air. Saudara Amir juga turut menyentuh sedikit mengenai etika yang perlu dijaga oleh setiap peserta. Takut kalau-kalau berlakunya provokasi daripada luar, peserta memberi respon, dan berlaku kekecohan semasa berarak.  Peringatan ini memang perlu. Kerana lazimnya, setiap kali diadakan siri himpunan, pasti berlaku provokasi daripada luar yang entah dari mana datangnya. Saya tidak ingin menuduh, tetapi biasanya jika sesuatu perhimpunan itu mengganggu-gugat autoriti, pastinya ‘negara’ akan masuk campur.

Mengikut catatan saya, peserta mula berarak pada pukul 1:55 petang menuju ke Sogo. Sepanjang perarakan tersebut, para peserta ‘dilindungi’ oleh pihak berkuasa yang menjalankan tugas. Sepanjang perarakan, para peserta tidak henti-henti bernyanyi dan melaungkan slogan. Ini juga perkara yang lazim dilakukan setiap kali satu siri perhimpunan diadakan. Para peserta tiba di Pusat Beli Belah Sogo tepat pukul 14:35 petang, dengan iringan pihak berkuasa, dan warga sivil yang seakan-akan teruja dan mengambil foto sebagai kenang-kenangan hari itu.

Setiba di Sogo, beberapa orang peserta dijemput menyampaikan amanat mereka sama ada berbentuk puisi atau apa sekalipun. Peserta yang dijemput ini datangnya daripada gabungan-gabungan mahasiswa daripada universiti tempatan, OKU, organisasi luar negara, orang perseorangan, dan wakil Malaysia Muda itu sendiri. Dalam ramai-ramai yang diberikan mikrofon, saya hanya berminat dengan dua orang sahaja. Pertama, Jason (menurut kawan saya, Jason merupakan ahli dalam satu organisasi dari Australia. Jika tersalah, saya mohon ampun maaf) dan kedua, Cikgu Isyak Surin. Tidak bermaksud saya tidak meminati yang lain, cumanya, terdapat beberapa isi penting yang disampaikan oleh kedua-dua orang ini.

Jason menyampaikan pesannya dalam Bahasa Inggeris. Saya hanya dapat mendengar serba sedikit ucapan Jason yang cuba mengangkat kembali Perlembagaan Rakyat yang pernah diperjuangkan dahulu. Selebihnya, saya kurang dengar kerana suara Jason sedang ‘berlawan’ merebut atmosfera dengan nyanyian lagu What’s Going On oleh ‘busker’ di kawasan tersebut. Latarnya sangat unik sebenarnya dan saya tidak menyalahkan para busker kerana mereka berada dalam satu ‘sistem’ yang berbeza pada hari tersebut. Pada saya, apa yang disampaikan oleh Jason ini adalah sangat penting untuk ditekankan. Perlembagaan Rakyat. Namun malangnya, hanya Jason sahaja yang mengungkapkan akan perkara tersebut. Selebihnya, lebih kepada puisi-puisi perjuangan.

Sebetulnya, saya tidak mempunyai masalah dengan puisi-puisi perjuangan. Cumanya, saya berfikir, apakah kesemuanya yang hadir, atau yang menonton, atau yang secara tiba-tiba berada di kawasan tersebut faham akan intipati puisi yang disampaikan? Atau sekadar memberi tepukan memeriahkan acara? Saya tidak menolak bahawasanya ada segelintir yang memahami intipati puisi yang disampaikan, khususnya dalam kalangan peserta itu sendiri. Namun adalah lebih baik jika mesej tersebut bukanlah ditujukan kepada peserta, tetapi kalangan yang bukan peserta agar mereka tahu, bahawa apa yang berlaku pada hari itu, bukanlah perihal yang kecil-kecil anak, tetapi melibatkan satu perjuangan yang besar matlamatnya. Ini kerana saya fikir, tidak semua warga tahu akan apa yang cuba diangkat pada hari tersebut. Maka dengan memberi penjelasan dengan tuntas akan tujuan dan matlamat, barangkali, ia akan memberikan semacam pencerahan kepada warga. Bukankah itu lebih baik?

Saya bersurah berkenaan perkara ini kerana ada seorang pakcik yang bukan dalam kalangan peserta merungut kerana beliau tidak jelas dengan apa cuba yang diangkat melalui pehimpunan ini. Benar, saya faham. Pelbagai sepanduk, kain rentang, dan juga poster turut di bawa bersama dalam perarakan. Tetapi, harus diakui juga bahawa tidak semua warga memahami apa yang cuba disampaikan oleh imej-imej tersebut. Tambahan, imej-imej tersebut tidak memaparkan langsung tujuan dan matlamat perhimpunan. Maka disebabkan itu, barangkali akan berlaku kekeliruan dalam kalangan warga. Bahkan, berdasarkan perbualan saya dengan seorang anggota polis, dia sendiri tidak mengetahui apa tujuan perarakan yang diadakan kerana dia hanya menurut perintah daripada atasannya untuk mengawal-selia perarakan. Nah, alangkah baiknya jika kita memberi kefahaman kepada semua warga?

Ketika pentas utama beralih kepada Cikgu Isyak Surin, keterujaan saya semakin membuak. Saya yakin, beliau pastinya memiliki pengalaman peribadi dengan API itu sendiri dan ternyata, dugaan saya benar. Cikgu Isyak Surin bercerita tentang pengalaman peribadinya, memberi pesanan, dan mengajarkan sebuah lagu yang mungkin, didendangkan semasa beliau berjuang bersama-sama API satu ketika dahulu. Antara pesan Cikgu Isyak Surin yang sempat saya catat adalah berbunyi begini. “sejarah bukan sahaja untuk diingati, tetapi perlu diteruskan agar negara lebih adil dan makmur’’. Saya tanpa segan silu menepuk tangan menandakan menyokong kenyataan tersebut. Benar, anak muda di Malaysia perlu teruskan perjuangan. Tetapi, perjuangan apa? Perjuangan API atau perjuangan untuk memperluaskan lagi makna ‘politik’? Nah, saya fikir ini yang tercicir.

Mungkin perjuangan yang patut diangkat oleh Malaysia Muda adalah perjuangan memperluaskan makna politik, dan bukannya tentang perjuangan API. API telah lama meninggalkan kita dan mungkin sahaja, tidak relevan untuk masa sekarang. Tetapi, tidak bermakna semangat API itu tidak boleh diambil sebagai pedoman. Saya fikir, penegasan terhadap perluasan makna politik itu baik dijadikan inti untuk Malaysia Muda. Ini kerana politik di negara kita terlalu disempitkan dengan dikotomi undi-tidak undi. Sedangkan, politik itu mempunyai makna yang sangat luas. Bahkan, tubuh kita sendiri adalah politik. Justeru, saya menyarankan agar Malaysia Muda memperjelaskan terlebih dahulu matlamat mereka agar setiap lapisan masyarakat tahu apa intipati gerakan ini. Malah, jika ada dalam kalangan kawan-kawan yang berada di dalam Malaysia Muda kritikal terhadap Malaysia Muda itu sendiri, pada saya itu merupakan satu perkembangan yang baik. Apapun sekalung tahniah saya ucapkan.

 

Balik ke Atas