Punk Asshole melawan Punk Ivy League

PANDANGAN/PERSPEKTIF/SASTERA/SEMASA Teks oleh: Stam Stapa

Pada era John Wick ini di mana garisan yang memisahkan antara anti-hero dan hero acuan moralis sudah semakin pudar, adalah amat menyedihkan apabila dunia aktivis kita semakin melupakan nilai-nilai terpinggir seorang pejuang kebebasan. Nilai terpinggir seorang bad boy pembela golongan tertindas, penyangak penegak keadilan dan asshole ilmuan berhaluan kiri, seorang PUNK. Ia mula perlahan-lahan dihakis dan digantikan dengan lunak seorang pejuang berpesona elit ivy league. Jika seorang aktivis itu bersifat poindexter pun, masih boleh diterima kerana mereka masih watak terpinggir, pemalu dan mangsa bulian. Seorang asshole membuli seorang poindexter atas nama keseronokkan, pada akhirnya nanti bulian itu semakin berkurangan kerana bosan dan hujungnya nanti mereka berkawan juga. Berbeza dengan seorang elit ivy league yang membuli seorang poindexter atas dasar kekuasaan dan naluri untuk memerintah dan memimpin semata-mata.

Memandaikan masyarakat adalah tanggungjawab besar. Setiap insan yang dahagakan ilmu dan berusaha ke arah membijaksanakan diri, secara nalurinya akan rasa terpanggil untuk memikul tugas itu dan melakukan sesuatu. Benar ia pekerjaan yang mulia, benar apa yang terpenting sekali ialah mencapai matlamat itu, dan benar juga antara ramai para bijaksana itu mereka berhak memilih cara mereka tersendiri. Tetapi ia menjadi kurang enak bila caranya kelihatan janggal, tampak terdesak dan tidaklah bergaya sangat.

Di sinilah fungsi prinsip mengambil-alih. Prinsip sifatnya bukanlah seperti lalang, mengikut arah angin atas keperluan. Bukan seperti anak nakal yang cuba menghisap rokok, tapi takut makwe tidak terima. Bukan seperti bawa kereta laju-laju macam nak kejar lampu kuning, tapi kemudian brek sampai berasap tayar. Itulah bezanya seorang idealist dan seorang opportunist, biar susah dan menderita asalkan prinsip tidak tergadai. Jadilah licik seperti seekor musang, bukan licik seorang usahawan.

“Tapi mana ada asshole yang ada prinsip dan idealist, tak asshole lah namanya tu.”

Tiba tiba ada brader rasta memintas kata-kata saya. Terasa gampang juga di hati memikirkan cebisan-cebisan kebenaran hujahnya itu. Maka dengan sabar saya membidas.

Asshole itu hanyalah sekadar analogi layman. Ia gambaran mudah karektor seorang PUNK yang tidak pedulikan keteraturan atau tertib pelaksanaan, yang mual dengan penunggang intelek. Pejuang bawah tanah, yang dasarnya menentang establishment, tidak pernah pun berminat menjadi ketua dan pemimpin gerakan kebebasan. Jauh sekali menjadi pejuang terhebat nombor satu. Lead for I shall not follow, follow for I shall not lead, laungan anarkis yang jika diterjemahkan kepada sastera akan berbunyi, “mampos ko la nak ikut sudah tak nak ikut sudah.” Yang secara konotasinya pula, mengukuhkan hujah tentang sifarnya keperluan untuk berasa hasad dengki atas kelebihan pihak lain atau keinginan untuk meraih perhatian. Tetapi benar, bukan semua punk bersifat asshole (punk yang boring), ada juga yang berhemah menyebarkan ilmu, ramai juga yang tahu menghormati golongan yang menentang dan skeptikal terhadap mereka.

Untuk tampak tidak peduli walaupun sebenarnya peduli (akan masalah dunia, akan perasaan orang) adalah suatu seni yang hanya mampu dihayati oleh orang yang membesar dengan muzik keras dan sering berselisih faham dengan guru disiplin. Ungkapan ini ditulis tanpa sokongan hujah yang konkrit kerana ia lahir dari rasa kerek dan privilege (atas pengalaman itu) semata-mata.

Jika diukur atas semangat memberontak dan melawan yang sejati, sebuah syarikat penerbitan berpengaruh yang ditimpa musibah kewangan baru-baru ini yang meminta simpati orang ramai, telah gagal. Untuk dibandingkan dengan sebuah syarikat penerbitan kecil berpusat di daerah terpencil itu, yang dikelilingi hutang sekian lama, tidak pernah walau sekalipun menggelabah dan gusar akan masa depan mereka yang kabur sejak mula.

Seorang bijaksana punk pernah berkata (Cobain atau MacKaye tiadalah pula pengesahan untuk di-google); “Kejayaan adalah musuh perjuangan. Apabila sesuatu yang kita usahakan sudah terlalu berjaya, berhenti dan mulakan yang baru.” (Prinsip ini bolehlah diaplikasi dalam penubuhan kugiran atau perniagaan idealistic.) MacKaye pula pernah menyebut, (jika tidak silap di dalam majalah HeartAttack atau Profane Existence.) “Kekalkan perniagaan anda dalam skala kecil. Semakin berkembang sesuatu perniagaan semakin sukar untuk dikawal.”

Logik pendapat ini selari dengan segala potensi kesulitan akibat pengurusan perniagaan yang semakin maju dan kompleks. Pertama sekali, punk tidak berminat pun untuk menjadi kaya, cukup sekadar kelangsungan hidup dan kelangsungan organisasi perjuangan. Keduanya, ia selari dengan semangat anti-establishment, anti-komersialisasi, anti-konsumerisme dan political correctness. Ada syarikat indie luar negara pernah pergi sejauh mengharamkan barcode pada produk mereka dan tidak mahu membalut CD atau kaset dengan plastik atas alasan mengurangkan kos tidak perlu dan mencabar budaya konsumer. Dan benar juga, walaupun asshole, ada banyak syarikat punk bertoleransi untuk tidak menghasilkan produk D.I.Y yang buruk dan murah kerana kasihan kepada konsumer yang berhak mendapat produk yang berkualiti.

Tidak perlulah saya menerangkan panjang lebar implikasi, dan kesan daripada kaedah perniagaan ala kapitalis di sini. Mengejar keuntungan, tamak, pengeluaran besar-besaran (kadang-kadang berlebihan), menjual populariti (komersialisasi), tawaran dan pakej menarik, membuka banyak cawangan dan chainstore dan sebagainya. Tidak salah bercita-cita tinggi, mahu berpandangan jauh (pandangan punk terlalu pendek barangkali), tidak mahu berada di takuk lama atau mencapai lebih ramai pembaca (pelanggan) agar ilmu dan mesej tersebar ke serata alam, bermesra dengan aliran arus perdana. Biarlah kedai kecil berasaskan model perniagaan mom’n’pop terlupus dimamah gentrifikasi dan penindasan dari orang tengah. Siapa suruh tak mahu maju.

Kembali kepada topik mengenai menjadi seorang asshole berhaluan kiri, bagi mengekalkan romantis asal seorang pemberontak sejati, yang tumbuh dari penindasan orang-orang yang tidak diberikan peluang setimpal, buruh bawahan yang hidup untuk hari ini esoknya belum tentu, yang semborono melakukan sesuatu secara spontan dan tanpa rancangan, yang tidak berdisplin, tidak tersusun, yang kasar, beatnik untuk setiap generasi mereka, artis yang sentiasa kelaparan, yang belajar dari buku yang dicuri, dari guru percuma, terpinggir dan rimas dengan manusia, liar dan sukar dikawal, mereka inilah yang mencipta ‘pemberontakkan.’ Selebihnya para ilmuan dan bijak pandai tertarik dengan pemberontakkan mereka, memimpin mereka, menyusun mereka, menjinakkan mereka, hingga hilang segala romantis dan keseronokan, hingga hilang kejutan, hilang taring, menjadikan perjuangan mereka bosan dan tidak lagi berjiwa. Kerana pada dasarnya mereka dalam kelas yang berbeza atau ‘orang luar’ yang tidak secukupnya memahami perjuangan orang gasar. Dan apabila revolusi akhirnya tercapai, hari pertama selepas revolusi, mereka semua menjadi konservatif.

Dan pemberontakan yang baharu bermula.

Balik ke Atas