Nyalakan API Dalam Malap Zaman

PANDANGAN/PERSPEKTIF/SEMASA Teks oleh: Muhammad Hafez Darwis

“Jangan hanya merungut dalam gelap. Nyalakanlah lilin.”

 

Mungkin itu yang bermain dalam benak pelopor-pelopor gerakan pemuda anti-penjajah di sekitar tahun-tahun 1940an. Mungkin itu juga yang menjadi dorongan kepada Darwis seorang tukang jahit dari kelas marhaen bersama isterinya untuk bersengkang mata hingga dinihari kira-kira 71 tahun yang lampau untuk memastikan API muncul di khalayak kesedaran awam.

Darwis dan isterinya (yang tidak dinamakan) hanya muncul di lembaran memoir seorang tokoh API tanpa seorang pun dari kita mengingatinya walaupun hakikatnya, tanpa mereka berdua tak mungkin API lahir pada tarikh yang bersejarah tersebut.

Sejarah ternyata punya kecenderungannya yang tersendiri. Kecenderungan kepada tokoh. Tokoh diangkat sedangkan pelaku-pelaku yang turut menyumbang masa, tenaga dan jiwa raga mereka kepada pergerakan anti-penjajah tak terungkap di dalam naratif sejarah, baik yang dari arus perdana mahu pun dari arus pinggiran. Terpinggir hanya kerana mereka bukan tokoh seperti halnya yang terjadi pada Darwis dan isterinya.

Di mana mereka sekarang? Apa motivasi mereka? Apa impian mereka? Tanah Air yang bagaimana mereka idamkan? Bagaimana kesudahan hidup mereka selanjutnya tiada siapa yang tahu. Tapi tanpa sumbangan dan penglibatan aktif mereka, API mungkin tidak akan dilahirkan pada tarikh tersebut.

Darwis dan isterinya berkongsi nasib yang hampir sama dengan API yang mereka bidani. API adalah sebuah organisasi politik pemuda anti-penjajah yang turut hanya menerima sebaris dua kata dalam lembaran naratif rasmi sejarah nasional. Selebihnya API hampir dipinggirkan. Dilupakan dari memori kolektif sejarah kemerdekaan Tanah Air kita.

Kemungkinan besar ramai orang muda sekarang yang langsung tidak ada sebarang memori tentang API. Mereka mungkin punya memori kolektif tentang zaman kegemilangan Melaka. Memori kolektif tentang Tuah dan Jebat. Memori kolektif tentang UMNO yang melakukan perundingan di London untuk mendapatkan kemerdekaan.

Tapi mungkin ramai juga dari kita yang sedang membaca tulisan ini tiada langsung sebarang memori kolektif tentang API. Mungkin hanya namanya sahaja yang pernah kita dengar tapi tidak sejarahnya. Dari hayatnya yang pendek tapi penuh bergelora API merupakan gerakan pemuda Tanah Air yang paling digeruni oleh penjajah British.

Gerunnya penjajah British kepada API sehinggakan API menjadi organisasi politik yang pertama di Tanah Air kita yang diharamkan oleh British. Penjajah lebih takutkan API dari Parti Komunis Malaya (PKM). API mendahului PKM sebagai “the most wanted” bagi penjajah British sehingga ia perlu dihapuskan segera. Ironinya walaupun API dianggap oleh penjajah sebagai “the badass” zamannya tapi API tidak pernah diangkat sebagai pelaku penting yang menyumbang ke arah kemerdekaan Tanah Air kita.

Ternyata sejarah bukan hanya ditulis oleh mereka yang menang tapi mereka mahu kita, pemuda zaman kini melupakan tradisi radikal bangsa kita sendiri.

Tradisi radikal bangsa kita biarlah dipendamkan dan tak usah dirincikan kepada khalayak awam. Cukup sekadar sebaris dua kata dalam buku teks sejarah sekolah. Tak perlu khalayak awam khususnya orang muda tahu yang bangsa kita juga punya tradisi radikal dan gagasan-gagasan besar. Mungkin itu yang difikirkan oleh mereka yang ditugaskan untuk mencipta naratif sejarah nasional buat mengisi buku-buku teks sejarah untuk sekolah-sekolah.  Begitulah nasib API dalam naratif sejarah nasional bangsa kita.

API atau Angkatan Pemuda Insaf lahir pada 17 Febuari 1946 di Ipoh Perak dengan bantuan Darwis, Si Tukang Jahit dan isterinya yang tiada siapa tahu namanya. Tarikh kelahiran API itu juga adalah tarikh sambutan 6 bulan kemerdekaan sebuah negara baru Indonesia.

Indonesia negara tetangga bangsa serumpun baru sahaja membebaskan diri mereka dari penjajahan Belanda. Nah! Tanah Air kita bila lagi? Mungkin itu yang difikirkan oleh pelopor-pelopor API tatkala menghadapi zaman gelap sebagai anak jajahan. Pemuda harus bergerak. Pemuda harus berarak sebagai simbol kesediaan dan keberanian untuk merebut kemerdekaan dari penjajah. Berdiam diri dan merungut dalam gelap bukan pilihan.

Mungkin itulah yang menjadi dorongan untuk melahirkan API. Keinginan untuk bergerak aktif dan melawan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Air. Merungut dalam gelap tidak akan membawa apa-apa perubahan. Nyalakanlah API!

Sepuluh bulan selepas kelahiran API, dan sepuluh bulan selepas gigih menyusun massa pemuda dari seluruh pelusuk Tanah Melayu, API akhirnya berjaya melangsungkan kongres pertama mereka di Melaka pada 22-24 Disember 1946. Di Kongres Pertama API itulah Testamen Politik API yang mengandungi idea inti API di dalam perjuangan merebut kemerdekaan Tanah Air dilancarkan.

Tapi kemerdekaan yang mereka inginkan bukan hanya kemerdekaan untuk Tanah Melayu ketika itu. Tapi kemerdekaan buat bangsa-bangsa yang masih terjajah merentasi sempadan ciptaan penjajah Eropah dan Siam. Kemerdekaan yang mereka citakan adalah kemerdekaan buat seluruh “Bangsa Melayu” di Alam Melayu atau Nusantara ini. Dari seluruh Kepulauan Indonesia, Wilayah Patani, Tanah Melayu, Kepulauan Borneo, sehinggalah ke Filipina.

Mereka mahukan kemerdekaan untuk seluruh bangsa “Melayu”. Idea “Melayu” mereka bukan hanya sekadar terbatas pada Melayu di Semenanjung semata-mata. Tapi “Melayu-Luas”. Melayu yang inklusif merangkumi seluruh anak-anak bangsa yang mendiami Alam Melayu ini. Melayu yang punya ciri-ciri keterangkuman merentasi sempadan geografi, batas budaya dan agama, tanah dan air yang membentuk Kepulauan Melayu. Inilah cita dan impian mereka.

Yang lebih menarik lagi idea “Melayu-Luas” ini tumbuh dan diperjuangkan oleh anak-anak Melayu dari Tanah Melayu yang datang dari kelas petani. Idea dan kesedaran “Melayu-Luas” mereka datang dari ranah akar-umbi yang berpusat di kampung, sekolah-sekolah pondok, sawah dan padi, serta kebun dan desa yang ketinggalan dan terpinggir dari arus modenisasi yang dibawa oleh penjajah British.

Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam adalah antara tokoh yang terlibat baik secara langsung atau tidak langsung dengan API yang mengangkat idea “Melayu-Raya” yang berdasarkan kepada konsep “Melayu-Luas”. Mereka bukanlah datang dari kelas elit bangsawan. Mereka hanyalah anak-anak tanah jajahan dari kelas petani dan desa. Tetapi mereka membawa satu gagasan yang besar yang mengimpikan kemerdekaan sebuah bangsa Melayu dalam erti kata yang luas.

Kerana itulah mereka mengajukan idea kerakyatan yang berpaksikan kepada konsep “Melayu-Luas” dalam Perlembagaan Rakyat 1947. Dalam perlembagaan mereka itu, hatta orang Cina dan India sekali pun boleh diterima sebagai “Melayu.” Suatu idea yang besar dan jauh ke hadapan yang datang bukan dari kelas Melayu bangsawan, tapi kelas anak-anak Melayu petani dan desa.

Idea besar “Melayu-Luas” mereka ini yang turut merangkumi Cina dan India dan seluruh bangsa pribumi di Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago ini sangatlah berbeza daripada idea “Melayu-Terbatas” yang diajukan oleh kelas elit bangsawan Melayu yang diwakili oleh UMNO ketika itu.

Kelas elit bangsawan Melayu menolak idea “Melayu-Luas”. Mereka lebih senang dengan idea “Melayu-Terbatas” ciptaan penjajah. Melayu yang ditakrifkan oleh Undang-Undang Tanah ciptaan British. Melayu yang dibatasi mengikut acuan sempadan penjajah British-Belanda 1824 dan juga British-Siam 1909. Kerana itu usulan untuk turut sama menyertakan Wilayah Melayu Patani di Selatan Siam ke dalam Persekutuan Tanah Melayu di kemudian harinya ditolak oleh kepimpinan elit bangsawan Melayu di Semenanjung.

Tapi API tidak melihat konsep “Melayu” sesempit itu. Melayu API adalah “Melayu-Luas”. Kerana itu tidaklah menghairankan bila salah seorang daripada tokoh utama API, Ahmad Boestamam dan pasukannya sanggup untuk melakukan perjalanan meredah hutan belantara hingga ke sempadan Siam untuk menyertai gerakan anti-penjajah Siam di Patani.

Tapi malangnya hasrat pasukan tersebut tidak kesampaian kerana pasukan penyambut dari Patani tidak datang ke tempat yang dijanjikan untuk membawa mereka masuk ke wilayah Melayu Patani.

Salah seorang daripada pelopor API, Abdul Rahman Rahim pula misalnya pernah bersama-sama bergerilya dengan gerakan kemerdekaan Indonesia melawan penjajah Belanda sebelum kembali ke Tanah Melayu. Idea “Melayu-Luas” mereka itu ternyata bukan hanya meniti di bibir semata-mata tapi turut mengalir dalam darah dan jiwa serta dibuktikan dengan perbuatan.

Dengan berbuatlah maka API dalam sejarah singkatnya itu berjaya menyusun dan mengumpulkan belasan ribu anggota pemuda dari seluruh Tanah Air kita dalam tempoh masa kurang dari setahun.

Menurut laporan risikan British, pada ketika itu anggota API bertambah dengan pesatnya daripada 2560 orang pada tahun penubuhannya 1946 hingga ke 10,000-15,000 tenaga pemuda pada pertengahan tahun 1947. Dalam tempoh kurang setahun ribuan pemuda-pemuda Melayu telah menyertai API dan terlibat di dalam latihan separa ketenteraan.

Latihan-latihan separa ketenteraan dan berkawad ini banyak dijalankan di sekolah-sekolah pondok di Semenanjung Tanah Melayu. Sokongan daripada tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Ustaz Abu Bakar Bakir dari Madrasah Ehya As-Syarif dan Shaykh Junid Al-Tala yang memimpin Madrasah Al-Dinniah menyemarakkan lagi API dan meramaikan keanggotaan API di tingkat akar umbi. Ini menjadikan API sebuah tenaga pemuda yang cukup menggerunkan penjajah British.

Kondisi memanas di tahun-tahun 1946-1948 dan semangat berapi kelas pemuda yang mula menyatu untuk merebut kemerdekaan dari penjajah inilah yang menggusarkan kerajaan British. Akhirnya pada 30 Jun 1947, penjajah British mengharamkan API.

API tidak sempat membakar tapi semangat yang ditiup API ke dalam jasad dan jiwa anak-anak bangsa tidak terpadam sepenuhnya. Apabila Darurat diisytiharkan pada 18 Jun 1948, terdapat sebahagian daripada anggota-anggota yang pernah menyertai API (dan juga PKMM) sebelum API dan PKMM diharamkan telah turut melancarkan perang gerilya ke atas penjajah British.

Dua kampung yang menjadi markas utama API (dan PKMM) iaitu di Jenderam Hulu Langat dan Lubuk Kawah di Temerloh telah melancarkan perang gerilya yang sengit terhadap penjajah British dengan semboyan nasionalis radikal – merdeka dengan darah!

Dalam konteks hari ini tentulah agak kurang munasabah untuk melancarkan gerakan kemerdekaan kerana Tanah Air kita sudah pun merdeka. Begitu juga slogan ‘merdeka dengan darah’ yang dilaungkan oleh API tentulah juga kelihatan tidak relevan lagi bila yang menjadi pemerintah kita sekarang ini adalah anak bangsa sendiri.

Akan tetapi semangat API masih tetap relevan kepada kita semua khususnya kelas pemuda. API dalam Testamen Politiknya turut mengajukan kepada penyatuan seluruh tenaga pemuda tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan keturunan demi suatu masyarakat yang lebih adil dan saksama diikat oleh rasa kebersamaan sebagai Bangsa Pemuda.

Bangsa Pemuda yang diajukan oleh API boleh kita sesuaikan pada masa kini sebagai suatu idea dan konsep di mana kemudaan sikap, idealisme, pemikiran dan keberanian serta gerak kerja yang gigih dan bersemangat tak mengenal erti kalah itulah yang mengikat kita dalam suatu kesatuan yang berpotensi menjadi tenaga perubahan yang cukup ampuh dan berkesan.

Ahmad Boestamam misalnya hanya berumur 26 tahun ketika beliau terlibat memimpin API. Dan anggota-anggota API di tingkat akar umbi kemungkinan besar ramai yang dari peringkat umur belasan tahun dan awal dua puluhan memandangkan latihan-latihan API banyak dilakukan di sekolah-sekolah pondok dan madrasah.

Cita-cita API untuk membangunkan sebuah negara-bangsa yang mengangkat nilai-nilai demokrasi kerakyatan, keberpihakan kepada kaum marhaen dan gerak kerja mereka yang aktif menyusun, bergerak dan melawan dengan penuh berani serta gigih terhadap regim penjajah, boleh dijadikan sumber rujukan dan inspirasi kepada kita pada masa kini untuk turut aktif dalam gerakan demokrasi dan perjuangan menuntut keadilan untuk semua anak Bangsa Malaysia.

Dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini akibat GST, kekurangan rumah mampu milik, sewa rumah yang mahal, hutang pendidikan yang membebankan, pengangguran pemuda dan mahasiswa yang semakin meningkat, hutang negara yang berbillion-billion ringgit, soal kedaulatan negara akibat hutang kepada negara luar yang memprihatinkan, serta korupsi dalam kalangan penjawat awam dan politikus baik dari pihak pemerintah mahu pun pembangkang menjadikan zaman kita sekarang ini, walaupun tidak gelap seperti zaman penjajah, tetapi malap khususnya bagi pemuda dan rakyat marhaen. Di zaman yang malap sebeginilah penyatuan tenaga pemuda untuk menyalakan api perubahan menjadi sangat penting.

API boleh menjadi sumber rujukan kita. Beberapa nilai yang progresif dan inklusif yang dibawa oleh API pada 71 tahun dahulu masih boleh kita rujuk, mengangkat semula, dan nyalakan kembali bersesuaian dengan konteks masa kini.

Justeru itu dengan tujuan untuk menolak lupa dan menyuntik kembali sejarah API ke dalam kesedaran kolektif Bangsa Malaysia, pada 23hb Disember 2017 nanti suatu rapat umum dan pementasan semula perarakan API dalam konteks perjuangan pemuda masa kini akan diadakan di Kuala Lumpur.

Rapat umum memperingati 71 Tahun Kongres Pertama API ini dianjurkan oleh Malaysia Muda. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.facebook/MalaysiaMuda.

Jangan hanya merungut dalam gelap. Ayuh kita nyalakan lilin bersama-sama!

 

Balik ke Atas