Kaum muda, menderhakalah!

PANDANGAN/PERSPEKTIF/SASTERA Teks oleh: Rien SD

Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka [1]

 

Jika di Iran- pada tahun 1933- lahir seorang pemikir yang kontroversial, menggugat hegemoni Shah Pahlevi, meniupkan stamina intelektual dalam jiwa rakyat Iran, bahkan ada yang menggelarnya arkitek revolusi Iran- seorang Ali Syaria’ti- di Malaysia- pada tahun yang sama- lahir seorang seorang Kassim Ahmad yang menentang wacana autoritarian, mengusik faham Islam konservatif, memikir ulang dogma yang diterima telan oleh masyarakat Islam Malaysia dan memasuki ranah sastera dan politik pemikiran dengan sungguh-sungguh; membawa budaya sanggah dan kritik dengan prinsip dan pendirian.

Kassim Ahmad (selepas ini dirujuk sebagai Pak Kassim), sosok inilah yang pernah membuat ramai masyarakat Islam Malaysia- kalangan ulama’ dan agamawan yang tradisionalis atau daripada kem salafiyyah yang rigid- menggelabah tak tentu hala. Ribut dan kacau-bilau. Kekecohan ini berlangsung terlalu lama bahkan di sepanjang hidup Pak Kassim, sehinggalah beliau meninggal dunia.

Kematian seorang pemikir ala Pak Kassim terlalu menggugat. Idea-ideanya lebih tajam dan suaranya lebih keras di bawah tanah. Sehingga seorang Sahibus Samahah yang paling sahih manhajnya- yang menurut Sufyan As-Saury; ashabul hadith (penjaga bumi)- memerli dan bersinis dengan gaya paling beragama dengan sokongan nas dan sabda yang agung.

Siapakah Pak Kassim sehingga boleh menyebabkan pemuka-pemuka agama yang pop di negara ini menggelupur kepanasan? Mengapa seorang tua yang pernah digelar “Jebat Sebenar” ini menganggu tidur malam para asatizah yang feudalistik? Mengapa faham yang ditawarkannya diselar oleh institusi agama yang mengamalkan fikrah kolot di negara ini?

 

Gugatan Atas Wacana Islam di Malaysia

Malangnya, sebilangan pengkritik Pak Kassim di negara ini masih merangkak-rangkak untuk membuat penaakulan kritikal atas keseluruhan karya Pak Kassim. Mereka cuma menerima khabar daripada agamawan pop yang memutuskan kebatilan akidah dan faham yang ditawarkan oleh Pak Kassim. Mereka menyangka dengan menguar-uarkan kepincangan iman Pak Kassim, maka mereka mampu meruntuhkan keseluruhan idea yang dibawa oleh Pak Kassim.

Faham Islam Malaysia terlalu beku dan meloyakan. Islam di sini menjadi komoditi kerana itu lahirnya ulama sampul, asatizah-asatizah yang oportunis dan beribu lagi Bal’am yang khianat duduk bersimpuh mengipas ketiak penguasa dan menjadi jentolak taat yang membina batu konkrit membela status quo. Mereka pandai bertajwid dan melagukan taranum dengan tertib akan tetapi menjadi bungkam apabila berlaku kejelekan dalam ruang sosial dan sistem masyarakat. Mereka bercakap tentang Muhajirin dan Ansar yang bahu membahu, tetapi mereka jauh daripada persoalan masyarakat. Fatwa mereka hanya terjual kepada sekumpulan elit agama. Kemudian, hal ini yang disebut Ali Syariati sebagai “pasar agama” atau “perbudakan baru”.[2]

Wacana inilah yang membawa kepada tafsir autoritarian. Hanya sebilangan atau sekelompok manusia yang memiliki autoriti untuk memutuskan itu dan ini perihal agama. Islam yang autoritatif inilah yang mengheret menghumban Islam di Malaysia ke zaman kegelapan yang mengerikan. Penolakan kepada faham pluralistik (jama’) dalam tafsiran agama ini sangat sempit jika dibandingkan dengan Islam Mekah dan Islam Madinah- yang lebih menumpu perihal negara (governing) dengan menggunakan bahasa ragam untuk berdialog dengan masyarakat yang punyai faham yang pelbagai- yang lebih praksis oleh Nabi Muhammad.

Islam JAKIM tidak seperti Islam Muhammad. Jauh panggang dari api. Mereka ini menggunakan perkakas ilmu agama sebagai cambuk untuk menyebat punggung penganut faham yang berbeza dengan mereka. Buku diharamkan, dialog disekat, penceramah ditangkap. Islam apa ini, tuan-tuan? Masyarakat Islam yang tidak berani membuat rekonstruksi atas pemikiran mereka inilah yang akan mati sebelum mereka mati. Mereka hanya menerima kuasa “authority of knowledge” untuk bersidang memfatwakan segala-galanya.

Maka, gugatan Pak Kassim atas wacana beku lesu Islam Malaysia inilah yang membawa Pak Kassim kepada pertempuran yang lama. Pertempuran yang tak berdarah. Pak Kassim berhadapan dengan faham Islam ala Bal’am yang dipadukan dengan kediktatoran kuasa/institusi yang digembleng oleh Firaun moden. Mereka ini bertungkus lumus memadamkan penghujahan Pak Kassim dan mendiamkan seorang tua yang sampai usia tuanya ini masih menulis mengemaskini blognya- kassimahmad.blogspot.my- dengan kemaskini yang terkini pada 11 September 2017 iaitu hampir sebulan sebelum beliau meninggal dunia. Pengkritik beliau sudah menulis berapa buku sanggahan atas pemikirannya? Stamina intelektual Pak Kassim ini yang mengetuk menganggu pintu kamar para pengkritik beliau. Sanggahan teks dan nafas idea Pak Kassim bertiup kencang, meribut dan menaufan di seluruh ceruk minda pengamal pemikiran “take for granted”.

 

Kritik Atas Islam Baka

Walaupun ada yang mengatakan Pak Kassim antara penyebar dan pengembang pemikiran[3] Dr. Rasyad Khalifa (1935-1990)- seorang Quranis yang lahir di Mesir terkenal dengan gagasannya berkaitan Qur’an iaitu Kod 19- namun dalam Jalan Yang Lurus[4], Pak Kassim menulis bahawa dia tidak mengikut faham anti-hadis ala Rasyad Khalifa; menolak hadis secara total. Bahkan ramai pengikut Rasyad Khalifa di Malaysia yang tidak bersetuju dengan esei tulisannya itu.

Kebingitan isu ini berlanjutan bahkan mengapi membarah setelah Pak Kassim menyiapkan salah satu korpus ideanya yang mengejutkan dunia Islam (Islam Malaysia khususnya) daripada tidur lena yang panjang; Hadis: Satu Penilaian Semula yang diterbitkan pada tahun 1986 yang kemudiannya diterjemahkan kedalam Bahasa Inggeris oleh Syed Ali Akbar dengan kata pengantar oleh Pro. Hassan Hanafi- seorang professor di Jabatan Falsafah Universiti Kaherah, Mesir yang terkenal dengan gagasan teologi kepada antropologinya dalam membumikan sifat-sifat Tuhan dan meleraikan wacana yang bersifat teknikal apabila bersangkutan isu teologi (iaitu dengan gaya teologi tradisional yang tidak mengetengahkan mesej sosial dalam wahyu agama)- dan kemudiannya pula karya kontroversial ini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh salah seorang murid Prof. Hassan Hanafi.

Malangnya, masyarakat Islam Malaysia masih gagal membezakan di antara perkataan “anti” dan “penilaian semula”. Mereka terlalu keanak-anakan kerana menyamakan “menyemak” dengan “menolak”. Dalam masyarakat Islam yang kaki taqlid begini, kita tidak dibenarkan memikir ulang, menyemak, menyiasat kerana semua perbuatan itu menyamai “anti” bahkan menolak gagasan utama yang ditawarkan dalam Islam.

Masyarakat Islam begini selalunya penganut Islam Baka yang setia. Bersyukur dengan iman sekangkang tanah yang disumbat ke dalam hati mereka. Bahkan, Pak Kassim dalam Mencari Jalan Pulang,[5] sangat kecewa dengan Islam Baka yang diwarisinya. Ayahnya- lulusan sekolah pondok Tuan Haji Majid di Alor Jangus, Seberang Perai- yang guru agama itu serta guru agamanya di Kolej Sultan Abdul Hamid- Sheikh Abdul Halim- sendiri tidak pernah meminta beliau untuk membeli terjemahan Al-Qur’an sehinggalah beliau sendiri membeli tafsir Al-Qur’an yang pertama- dimiliki dan dibaca- karangan Muhammad Ali.

Islam terima dan telan inilah yang membantutkan evolusi pemikiran masyarakat Islam bahkan dunia Islam keseluruhannya. Tiada budaya menyemak, menyiasat apalagi menyanggah dan menggugah. Tiada minda komparatif apabila berhadapan dengan karya-karya yang bernuansa agama. Mereka akan mudah tertarik dan membeli tawaran idea oleh satu aliran dan menolak aliran-aliran lain yang sebenarnya valid dan terpakai dalam agama.

Qur’an hanya dilagukan dan diwaspadai makhrajnya. Budaya menghafal dan menghafaz sudah menjadi pop. Kita hanya diminta menjadi hafiz agar dapat membawa sepuluh orang ahli keluarga ke syurga, tapi tidak membebaskan mereka ketika dibantai dan dipukul siku lutut oleh sistem yang hegemonik di Malaysia. Islam gaya ini, Islam yang terpisah daripada masyarakat, tidak realistik dan tidak akan bertahan lama.

Di Malaysia hanya yang bertahan menentang akan hidup pemikirannya. Ketika Islam Malaysia sudah jauh melencong daripada Islam pembawakan Muhammad yang manusiawi dan realistik itu, maka hanya satu kata: menderhakalah!

 

 

[1] Puisi Dialog (Kepada Ibu), Kassim Ahmad

[2] Lihat Ali Syari’ati, Membangun Masa Depan Islam, Penerbit Mizan, 1989, hlm 61

[3] Lihat Pemikiran Kassim Ahmad Terhadap Hadis, Hadis: Satu Penilaian Semula, Bab 2, Muhammad Rizky AlFatih Lubis, E-Book

[4] Lihat Kassim Ahmad, Jalan Yang Lurus, Pekan Ilmu, 2014, hlm 457

[5] Lihat Kassim Ahmad, Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam, ZI Publications, 2008, hlm 181

Balik ke Atas