Atas semboyan ‘Kebebasan Bersuara’ dan entah apa-apa lagi

PANDANGAN/PERSPEKTIF Teks oleh: Johan Radzi

Kelmarin, saya telah menatal twitter lalu terserempak dengan sebuah video lagu rap yang dibikin oleh dua mamat hipster. Saya terus berasa jelek. Dendangan rap dengan judul I am Malay itu diisiapkan dengan footage-footage yang pernah tular dasawarsa ini. Kebanyakannya tertumpu kepada sindiran-sindiran vulgar dua Melayu kota ini kepada golongan Melayu yang menurut mereka – sentiasa curiga dengan non-bumiputeras trying to get my shit dan betapa jahilnya Melayu tentang kondom sehingga how the fuck I still have 10 kids in my family.

Selain itu, mereka juga sempat berceloteh tentang buat apa pergi uni, baik buat stall Ramly dan ironinya, celoteh tersebut diakhiri dengan, susah betul jadi Melayu ni, nasib baik aku Malay (ini belum lagi nak sembang betapa mereka sudah jurangkan diri mereka dengan pendengar sasaran – seolah menjadi melayu dalam bahasa melayulah yang dikaitkan dengan segala kebobrokan dan kepincangan). Footage-footage mat rempit, baju merah, Dato Vida, dan tanda salib di gereja disiar silih-berganti untuk menambah rencah humor mereka.  Ya, ya, ya, aku faham Melayu takut salib dan rootbeer dan entah apa- jadi mabuk abjad. Apa lagi?

Video tersebut telah menimbulkan ribut kecil di Twitter – banyak yang tidak selesa dengan cercaan self-loathing Malays ini, tetapi ada juga sebilangan yang mendukung. Rata-rata penyokong ini dari purata Melayu yang tinggal di kota, fasih berbahasa Inggeris dan meladeni budaya MTV dan komediri mat salleh dari Amerika Syarikat dan United Kingdom. Akses maklumat mereka luas dan mereka tiada masalah untuk tonton netflix atau iflix di hujung minggu sambil chill. Mereka juga selalu mendabik dada sebagai lebih pintar, maju, dan progresif berbanding saudara-mara Melayu mereka yang masih terperuk di desa. Kerana mereka tahu apa itu freedom of expression dan political correctness dan mereka iltizam di atas jalan tunggal itu.

(Asalnya aku agak malas nak mengulas tentang hal ini, memandangkan ia hanya satu video bodoh. Tetapi kemudian aku terfikir bahawa ini mungkin satu refleksi gelombang-gelombang liberal jadian twitter yang semakin menjadi-jadi lewat ini. Maka menjawabnya kita wajib.)

Lantas, mereka berhujah bahawa video tersebut wajar dipertahankan kerana ia sarkasme. Ia menyindir umat Melayu yang terkebelakang itu supaya mereka keluar daripada tempurung kecil khayalan mereka.  Ia juga hanyalah jenaka per se dan jika anda tidak suka, maka punggung anda telah dipanggang habis-habisan. Cepat koyak.  Tak boleh terima jenaka? Kau tak tercerah, bro. Tak enlightened.  Kau perlu baca buku-buku mat salleh yang aku baca. Ini Kebenaran (dengan K kapital). Takkan nak sentap lagi?

Barangkali anak-anak kota ini lupa bahawa bahasa berfungsi lebih canggih daripada yang kita biasa fahami. Sesuatu kata boleh ditafsir berbeza-beza – bergantung kepada pengalaman peribadi seseorang itu. Satu contoh yang saya boleh fikirkan sekarang adalah kata betina. Anda mungkin ada sahabat dari Kelantan yang kekadang akan merujuk pacar mereka sebagai betina. Kejap, makwe kau betina? Seperti binatang? Tetapi bagi mereka itu kata yang memuat erti ‘perempuan’, tidak seperti yang dilazimi melayu Pantai Barat yang mengkhususkan kata tersebut buat spesies haiwan. Jadi lihatlah – kata petanda (signifier) betina itu boleh ditafsir dengan pertandaan (signified) berbeza oleh dua kelompok yang mendewasa dalam lingkungan yang berbeza. Meskipun ia hanya satu kata yang sama. Itulah asas semiotika hasil bacaan-bacaan aku yang sederhana ke atas Roland Barthes. Mahassiwa-mahasiswa linguistik akan fahami maksud aku. Hal ini boleh dicerapi ke dalam pelbagai bidang yang memakai bahasa sebagai pengantara.

Sekarang timbul soalan seterusnya: bagaimanakah kedua-dua kelompok yang berbeza latar, pendidikan, kelas sosial, dll memahami komedi? Di sebelah pihak kita ada lingkungan melayu yang melazimi Disney dan Hollywood, mengenali Bill Maher dan Sam Harris serta angkatan-angkatan sarjana mereka. Mereka ini orang-orang yang biasa dengan gelanggang cercaan dan beranggapan bahawa rasionalisme mengatasi segala hal. Di sebelah pula barangkali agak kurang terdedah kepada semua itu; hiburan mereka banyak tertumpu kepada media arus perdana, berkelas menengah bawah atau bawahan, dikukuhkan pula oleh lingkungan yang tidak banyak bergaul dengan masyarakat majmuk. Oleh itu cara tanggapan mereka terhadap banyak hal sudah pasti berbeza – termasuk juga komedi.

Lantas kita tanyakan: adakah video dengan menjadikan satu lingkungan melayu sebagai bahan jenaka, lawak bodoh, dan sasaran untuk dipermain-mainkan satu langkah yang mustajab bagi merawat kebejatan mereka? Adakah kita benar-benar jujur menganggap bahawa dengan mempermain-mainkan mereka dalam irama lagu boleh menyedarkan umat melayu yang mundur itu – lalu mereka pun insaf secara berjemaah? Jangan berbohong. Mereka akan memandang lagu yang sama itu sebagai satu serangan ke atas keperibadian mereka; satu tindakan yang biadap lagi kurang ajar untuk merendah-rendahkan kumpulan mereka. Ingat, pengalaman individu membentuk persepsi dan inilah akhirnya cara mereka menafsir tanda-tanda yang dilemparkan kepada mereka. Dalam senario terburuk, mereka barangkali akan jadi lebih defensif terhadap kritikan lalu menutup sebarang ruang untuk kita menegur mereka dengan nasihat-nasihat membina. Apa-apa tindakan yang mencipta perseteruan sangat hodoh untuk dijadikan alasan bagi menyedarkan suatu-suatu kumpulan – biarpun atas semboyan kebebasan bersuara atau entah apa-apa lagi.

Kita akui kebejatan-kebejatan yang menghambat umat melayu pada hari ini. Tulisanku ini bukan pengabsahan kepada masalah-masalah yang kita sebutkan. Bagi aku masalah ini struktural – hasil daripada sistem politik pecah-perintah dan pengabaian institusi-institusi yang bertanggungjawab. Juga kehilangan budi dan adab yang saban hari diserang arus modernisasi yang sifar moral. Masalah ini sudah terperosok lama dalam kolektif pemikiran umat melayu dan memerlukan wacana-wacana yang kritikal untuk membasmi kulat-kulat yang mengunyah batang tubuh mereka ini. Pemugaran harus bermula dengan hati yang jujur dan kerja-kerja yang membudayakan. Bukan sindiran dan cercaan, bukannya dengan menjadikan sasaran engkau berasa jahil serta bodoh.

Sudah banyak seniman dan sasterawan Malaysia yang mengkritik masyarakat dengan nada yang tidak merendah-rendahkan sasaran mereka. Mereka menegur dengan kebijaksanaan, kearifan, berhikmah, kadang-kala humor, serta jujur untuk memperbaiki dan mengajak penerima mereka berfikir dan merenung. Anda cuma perlu bertandang ke toko buku berhampiran rumah anda dan belek buku-buku mereka. Kita boleh bercakap tentang Shahnon Ahmad, Usman Awang, Pak Samad, Faisal Tehrani, dan lain-lain. Begitu juga ilmuwan SH Hussein Al Attas dan juga adiknya SN AL Attas. Dalam industry hiburan pula kita boleh bercakap tentang dendangan ‘kaki judi’ oleh M. Daud Kilau yang lucu dan menangkap itu. Tetapi satu favorit aku – kebetulan juga seorang pelantun hip hop – disenandungkan oleh Malique Too Phat:

“Ku lihat layu dalam Melayu,
Takkan Melayu hilang di dunia,
Ya, tapi apa guna tak hilang di dunia,
Kalau kewujudan tidak dirasa?”

Nah, bukankah ada seribu satu cara lagi untuk mengkritik – dengan bahasa yang berbudi tanpa memperkotak-katikkan kumpulan lain? Tepuk dada tanya selera, saudara. Anda tidak ada orang lain untuk ditipu melainkan diri sendiri.

Balik ke Atas