Alatas, Intelektual, dan Zaman

PANDANGAN/PERSPEKTIF Teks oleh: Alip Moose

Setiap zaman dan tempat pasti ada Sang Intelektual yang memimpin massa. Di hadapan, di belakang, atau dihilangkan dari sejarah konvesional atau arus perdana. Hakikatnya, tetaplah ada sang intelektual. Bacalah sejarah. Di sini kita menggunakan istilah intelektual, kemungkinan setiap bangsa, orang dan bahasa ada panggilannya masing-masing, seperti ulama, rausyanfikir, cendekiawan dan sebagainya. Aku menggunakan istilah intelektual kerana ianya lebih senang dan istilah ini masih lagi profan, tidak seperti Ulama yang kadang-kadang istilah ini disalahertikan dan disalahgunakan sehingga menjadi sesuatu yang sakral, padahal tidak. Intelektual itu secara umumnya adalah kecerdikan, kepandaian dan kebijaksanaan (Alinor,2016).

Di sini aku beri contoh beberapa intelektual yang mewarnai dunia sejarah antaranya  Bakunin, Kropotkin, Proudhon, Malatesta, Rocker, Marx, Engels, Lenin, Trotsky, Al-Afghani, Syariati, Jose Rizal, Misbach, Tan Malaka dan ramai lagi. Malah sebelum mereka, kita ada para ahli falsafah juga agamis seperti Ibnu Khaldun, Al-Khawarizmi, Al-Jahiz, Ibnu Sina, Al-Ghazzali, Ibnu Rushd, Mulla Sadra dan ramai lagi dari pelbagai agama dan bangsa.

Sedikit selingan, di sini lemahnya aku, berderet-deret nama para intelektual yang bergender laki-laki aku boleh sebutkan tetapi dalam kalangan gender perempuan, langsung tiada aku sebutkan. Di sini mulanya masalah dalam struktur sosial kita. Bukanlah tiada intelektual dari kalangan perempuan, sebenarnya ada. Tetapi struktur sosial patriarki yang menjadi adat yang lama mencengkam dalam bumi ini, peranan intelektual kalangan perempuan telah diketepikan. Ini memerlukan kajian sejarah, ilmu-ilmu sosial dan agamis dengan tuntas dan serba-boleh dengan ertikata lain, serba luas dan kolektif.

Berbalik kepada perbahasan kita, intelektual. Di Malaysia khususnya, tidak ketinggalan dalam perihal intelektual. Tetapi ianya seperti tumbuh tiada berbuah, tumbuh tetapi sekali seumur hidup. Di Malaysia, salah seorang intelektual yang organik – meminjam istilah Mansour Fakih –  adalah Syed Hussein Alatas. Beliau bukan sahaja dikenali di Malaysia, malah seluruh pelusuk Nusantara, bahkan menebusi global.

Kita akan selitkan sedikit biografi beliau, Almarhum Syed Hussein bin Ali bin Abdullah bin Muhsin Alatas, pelopor Teori Rasuah, pencipta faham watak tertawan atau dalam Bahasa Inggeris disebut captive mind, dan penulis karya klasik, Mitos Peribumi Malas, lahir di Bogor, Indonesia pada tahun 1928, dan dibesarkan di Sukabumi dan Johor Bahru. Beliau telah belajar selama lebih sepuluh tahun di Universiti Amsterdam, Belanda, dan memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Ilmu Politik dan Masyarakat. Dari tahun 1958 hingga tahun 1960, beliau bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Kanan dan Ketua Bahagian Penyelidikan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Selepas itu, beliau menjadi pensyarah dan Ketua Bahagian Kebudayaan, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Dari tahun 1967 selama 21 tahun, beliau berkerja sebagai Mahaguru dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga pernah menjadi Anggota Majlis Perundangan Negara dan Ahli Dewan Negara semasa beliau bergiat dalam politik. Pada tahun 1988 hingga tahun 1991, beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya. Jawatan beliau yang terakhir adalah sebagai Felo Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia hingga beliau bersara pada tahun 2005. Syed Hussein Alatas kembali ke rahmatullah pada 23 Januari 2007 bersamaan dengan 5 Muharram 1428 (Alatas,2009,xi).

Alatas seorang penulis yang prolifik dan aktif semasa hayatnya. Menulis dalam pelbagai hal dan bidang, sebut sahaja sosiologi, antropologi, sejarah, pemikiran keislaman, seni, budaya, dan psikologi. Karya klasik beliau, Mitos Pribumi Malas atau Bahasa Inggeris disebut The Myth Of The Lazy Native itu menjadi rujukan kepada Edward Said, salah seorang intelektual global. Edward Said telah merujuk karya ini sebagai satu contoh “revisionary history”, iaitu penulisan sejarah yang mengkritik wacana berkuasa dan yang berusaha menjelmakan wacana-wacana pengganti. Buku Mitos Pribumi Malas boleh dikatakan merupakan pelopor tradisi tafsiran semula sejarah dalam kalangan sarjana Asia (Alatas,2009,xii).

Jelaslah karya klasik itu merupakan karya yang begitu luar biasa, kerana apa yang dikatakan Alatas sebagai faham watak tertawan itu telah beliau lawan dengan sungguh-sungguh. Watak tertawan itu adalah sejenis dan sifat yang tidak kritis terhadap faham, gagasan dan teori Barat sehingga menjadi anak jajahan minda terhadap mereka. Dalam karya klasik itu,Mitos Peribumi Malas, jelas menunjukkan suatu faham, gagasan dan teori Alatas yang asli dan tidak dicengkami hegemoni Barat.

Marilah kita melihat secara sekilas lalu akan faham watak tertawan ini. Menurut Alatas, beliau berikan 5 ciri watak tertawan itu:

  1.  Sikap atau sifat peniruan. Meniru tanpa rasional, dan tiada kritis.
  2.  Tidak dapat menimbulkan soalan baru terhadap lingkungan hidupnya.
  3. Menerima dan mendapat pendidikan dari institusi Barat dan menggunakan semua bahan bacaan dari Barat
  4.  Watak tertawan ini tidak pernah membantah apa-apa yang disajikan kepada mereka daripada sumber luar tadi.
  5.  Watak tertawan tidak tahu dan tidak menyedari bahawa keadaan mereka tertawan, dan ini masalah besar menurut beliau (Alatas, makalah Watak Tertawan Di Negara Membangun, penyelenggara, Mohamad dan Yahya, 2005, DBP).

Daripada faham watak tertawan itu, maka banyak juga kesan-kesan yang terjadi seperti masalah korupsi, rasuah, minda imperialis dan minda terrorisma. Menurut Ibnu Khaldun, ia memandang bahawa sebab utama korupsi adalah nafsu untuk hidup mewah dalam kelompok yang memerintah. Untuk memenuhi belanja kemewahan itulah kelompok yang memerintah terpikat dengan urusan-urusan korupsi. Sebab-sebab lain merupakan efek lanjutan yang disebabkan oleh korupsi selanjutnya, merupakan reaksi berantai yang disebabkan oleh korupsi. Korupsi kelompok penguasa menyebabkan kesulitan-kesulitan ekonomi, dan kesulitan ini pada gilirannya menjangkitkan korupsi lebih lanjut (Alatas, 1982, ms 9).

Untuk melawan korupsi ini, menurut pembaharu cina Wang An Shih, dua prasyarat mutlak adalah para pemegang kekuasaan yang bermoral tinggi dan hukum yang berkesan serta rasional. Masing-masing tidak berfungsi tanpa yang lainnya. Yang satu memberikan kondisi kepada yang lainnya. Keduanya harus ada agar setiap usaha boleh terjadi (Alatas, 1982, ms 8).

Inilah yang Alatas jelaskan dalam satu risalah kecilnya berjudul Cita Sempurna Warisan Sejarah, yang disampaikan lewat Syarahan Perdana beliau di UKM. Menurut Alatas, Cita Sempurna itu adalah seperti empat sahabat nabi Muhammad saw, Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Mereka tidak mengumpul harta, menyalahgunakan kekuasaan, menindas yang lemah, bertindak sewenang-wenang atau melindungi petugas yang menyeleweng. Tindakan mereka kuat dipandu Cita Sempurna dan bentuk pemerintahannya adalah republik berdasarkan hukum Al-Quran (Alatas, 2001, ms 30). Lawan Cita Sempurna adalah Cita Bencana, iaitu kebalikan daripada konsep Cita Sempurna yang membawa makna kehidupan yang tidak memuaskan, tidak adil dan tidak memuliakan bagi masyarakat.

Alatas, seorang intelektual dan secara peribadi mempunyai Cita Sempurna. Beliau adalah seorang intelektual tanpa bendera. Karya-karyanya jika dahulu hanya dibaca oleh para akademik sahaja. Tetapi sekarang masa berlalu dan berubah, karyanya dibaca dan ditelaah bahas oleh pelbagai lapisan orang dan latar belakang. Sememangnya karya-karyanya adalah karya klasik, karya yang menjadi rujukan bijak pandai dan isi yang asli dan mandiri.

Itulah pentingnya peranan intelektual dan pemimpin yang mempunyai kerasionalan menuju kemoralan. Apakah di Malaysia sekarang ini ada intelektual yang berfungsi? Pemimpin yang mempunyai Cita Sempurna untuk melawan Cita Bencana? Itulah yang diharapkan oleh Alatas dan kita semua. Untuk suatu kehidupan yang baik, mulia dan adil.

Balik ke Atas