Tombiruo (2017): Filem Komik yang Bukan Kepalang

FILEM Teks oleh: Nazim Masnawi

Masalah utama filem Tombiruo adalah ia merupakan adaptasi novel Tombiruo. Meskipun dicop sebagai penulis nombor satu thriller Malaysia, Ramlee Awang Murshid sebenarnya paling lemah bab menyelit unsur tersebut ke dalam novel-novelnya – plot dan konspirasinya kau boleh layan dari mana-mana telefilem Hallmark pada malam minggu. Yang menarik tentang kebanyakan novel Ramlee ialah lokalisasinya yang betul-betul menjadi dengan propaganda Melayu sebagai Bani Tamim or whatever menyeluruhi suasana. Kadang-kadang melampau juga, tapi itu yang mencirikannya. Malangnya dalam adaptasi ni, hal itulah yang paling banyak disagat dari sumber material.

Masih, Tombiruo ialah filem yang ngam. Ini kerana ia tak pernah cuba nak jadi sebuah filem thriller. Sebaliknya dengan mengambil semangat Marvel Cinematic Universe, bak kata orang putih, it’s a full blown comic book movie.

Hal ini kita tak dapat rasa dari awal sebab hero kita, Ejim (Zul Ariffin) bukanlah hero bermantel yang ideal. Terlahir sebagai anak zadah di kawasan pedalaman Sabah, dia dibuang (atau terpaksa dibuang) lalu dibesarkan oleh seorang pertapa iaitu Pondolou (Faizal Hussein). Ejim berwajah hodoh, tapi dia ada kuasa yang tak berapa clear untuk kawal semangat hutan. Oleh itu, mereka tinggal dalam keadaan terasing sampai Ejim meningkat dewasa lalu menjadi sebuah entiti gabungan Tarzan, King Kong, Swamp Thing dan Jason Voorhees. Senang cerita, penunggu rimbalah.

Dalam pada itu, kawasan pedalaman mereka semakin dah tak berapa nak pedalaman apabila geng korporat dari Semenanjung datang untuk mengaut untung sumber asli yang ada. Sabur limbur berlaku dan Pondolou pun terbunuh; begitu juga dengan isteri kepada Amiruddin (Farid Kamil). Masing-masing bertekad untuk membalas dendam tatkala wartawan Wan Suraya (Nabila Huda) cuba membongkar hal-hal keparat korporat dan rahsia identiti Ejim.

Sebenarnya plot filem ni lagi berselirat dari rumusan aku bagi, namun ia tak pernah celaru. Dalam cubaan mengadaptasi novel selama ni, filem moden Malaysia selalu buat silap dengan tidak menstruktur balik plot dan buang isi tak perlu. Hasilnya, kita terpaksa menghadap penceritaan yang tergesa-gesa dan seimbas bak entri Wikipedia macam Lagenda Budak Setan. Di sini, hampir setiap watak diberi masa dan ruang untuk diperkenalkan tanpa memikirkan pembaca novel yang dah sajak. Penulis skrip Yasmin Yaacob dan Choong Chi Ren faham benar yang filem genre begini tidak mendambakan penggalian eksistensial tentang erti hidup or whatever. Yang penting, kita peduli pasal hero-hero kita, dugaan yang mereka tempuh dan kejayaan mereka pada akhirnya. Dan ketika Ejim tumbuk bumi sampai terbelah ketika klimaks filem, aku memang dah into habis 100%.

Ya, filem ni ada adegan hero kita tumbuk bumi sampai terbelah. Dan itu bukan aspek paling merepek pun! Yang gempaknya, aspek begini dipersembahkan dengan muka selamba tanpa ada watak komedi beri komentar tentang kemerepekannya (meskipun ada ahli Raja Lawak di sini). Jelas, pengarah Seth Larney (dan Nasir Jani yang arah-tak-arah filem ni seperti Tobe Hooper dengan The Poltergeist dulu) tahu apa yang dia buat. Filem Malaysia tak pernah disumbat dengan kemerepekan aksi pada skala ini. Kalau ada pun ia akan mengenyit pada kita ala Abang Long Fadil 2. Ada unsur jenaka dan ringan dalam babak-babak ini, tapi gravitinya dibawa macam filem Bourne.

Keselarian Tombiruo dengan komik juga tidak berakhir di situ. Antara elemen penting komik ialah orang jahat jadi baik dan orang baik jadi jahat. Benda ni selalu terjadi dalam komik pada skala besar – line-up kedua The Avengers terdiri daripada Steve Rogers dan orang jahat. Nah, Venom pun dah jadi baik sekarang. Apabila ini berlaku dalam komik, para pengkarya kena tolak tepi sikit realiti situasi. Memanglah mereka nakkan rasa tak tenang dan pergeseran di antara hero kita dan watak-watak yang bakal bertaubat, tapi panel komik terhad, bai. Yang penting, keterujaan itu dulu. Ramai orang mungkin tak suka dengan benda-benda kebetulan dan perkembangan plot pakai belasah dalam Tombiruo, tapi aku okey saja dengan kebangangan ini sebab ia sesuai dengan ton.

Bagaimanapun, sementara Seth terel dari segi menggarap ton, dia lemah dari segi mengemudi pelakon. Terdapat kualiti canggung dan lontaran dialog yang kaku hampir dalam setiap lakonan; bahkan daripada orang lama macam Marlia Musa. Aku kira masalah pemahaman bahasa (Seth orang Australia anyway) banyak menjadi faktor, tapi aku tak tahu apa alasan Nasir Jani. Aku difahamkan dia tak contribute sangat sebab tak tahu hal-hal pyrotechnic, tapi tak boleh ke dia suruh M. Nasir jaga sikit eyeline tu supaya tak melayang waktu close up?

Ironinya, ketiga-tiga bintang utama kita tak terkesan dengan kekurangan ini. Farid Kamil merupakan pembawa pathos dalam cerita dan dia berjaya mempamerkan mutu lakonan terbaiknya setakat ini. Pun begitu, sebagai seteru Ejim kita tak pernah percaya dengan jasmaninya yang konon standing dengan penunggu rimba kita. Sikit pun tak, malah boleh menambah gelak melihatnya lemparkan tumbukan. Nabila Huda cemerlang seperti biasa. Dia menyuntik likability dan tekad Wan Suraya tanpa perlu usaha lebih-lebih. Namun sekali lagi, wataknya sebagai wartawan yang unstoppable tak pernah terasa benar. Bak kata Amir Muhammad, wartawan kita mungkin lebih risau tentang mutu karipap yang dihidangkan dari bertanya soalan tanpa kompromi di sidang media.

Bagaimanapun, kebenaran ini kita sentiasa rasa dengan Zul Ariffin sebagai Ejim. Setiap inci pergerakan dan tindak-tanduknya mengimbau persembahan Robert Patrick dalam Terminator 2. Pada awalan cerita, Ejim tidak berpihak pada sesiapa – hanya mesin pemusnah yang berjalan dengan dua kaki – dan saat itulah dia paling menarik di skrin. Kita support dia, tapi kita takut dengan dia dalam masa yang sama. Hanya setelah dia semakin intim dengan Wan Suraya baharulah terbibit humaniti dalam diri Ejim. Sebagai watak yang hampir bisu dan wajah sentiasa tersorok di balik topeng, lakonan Zul langsung tiada sense of self-preservation. Dengan kasi senget kepala sana sini sikit, kita percaya dia lelaki hutan yang bahaya tetapi rapuh. Sayang lakonan begini tidak akan diiktiraf oleh anugerah filem, hanya kerana ia dalam filem aksi dan dibawa oleh seorang bintang sado.

Tapi lantaklah, Tombiruo bukan dibikin untuk menang anugerah pun dan pembikinnya tak pernah ada delusi tentang hal itu. Mereka lebih berharap ia akan menjadi permulaan francais RAM Cinematic Universe (siap ada adegan pertengahan kredit!). Gentle cakap, ia merupakan langkah awal yang baik dan kau boleh lihat kiblat dia nak pergi. Walaupun susunan bidak masih belum habis diatur, aku nak turut serta dalam pertualangan selanjutnya. Dan aku bersedia.

Balik ke Atas