Karl Marx dalam Anbe Sivam

FILEM Teks oleh: Jaymani Sevanathan

Kami tidak menyangka akan menerima tulisan mengenai filem Kamal Hassan. Jaymani Sevanathan, seorang mahasiswi jurusan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia telah menulis tentang Anbe Sivam.

 

Kamal Hassan bukan calang-calang orang dalam industri perfileman India Selatan. Dengan gelaran ulaga nayagan (hero dunia), beliau mampu membuka minda dan kotak pemikiran peminat lakonannya. Lakonannya tidak sama dengan pelakon lain. Pembaharuan dalam lakonannya ditunjukkan menerusi pembawaan watak-watak yang berbeza dalam setiap filemnya. Emosi yang dilimpahkan pula mampu membuat penonton terkagum dan ada yang sampai mengalirkan air mata. Lagi-lagi kepada yang mudah tumbang dengan adegan sentimen. Kamal bukan sahaja pelakon malahan seorang pengarah, penulis skrip, penari dan ahli politik. Aku antara peminat yang memuja lakonannya.

Anbe Sivam dikeluarkan pada tahun 2003 yang diarahkan oleh Sundar. C dan ia merupakan hasil penulisan skrip oleh Kamal sendiri. Anbe Sivam membawa maksud ‘Cinta adalah Tuhan.’ Cinta yang dimaksudkan di sini bukanlah cinta terhadap pasangan tetapi cinta yang bersifat umum dan universal. Boleh juga dikatakan cinta yang membawa erti kemanusiaan. Apa yang diangkat dalam filem ini? Pertama kali aku menonton filem ini sewaktu aku berumur 9 tahun tetapi aku tidak faham dengan  pembawaannya. Jadi aku menontonnya berulang kali sehingga otak aku mampu faham akan kandungannya.

Dalam filem ini, konsep atau teori universal seperti kapitalisme, komunisme, ateisme, altruisme, kemanusiaan dan sosialisme dimasukkan sebagai elemen utama. Kamal Hassan melakonkan watak utama dalam filem ini sebagai bekas artis jalanan dan aktivis kesatuan pekerja. Beliau juga seorang ateis. Madhavan pula melakonkan watak seorang pereka iklan yang  berjaya tetapi mementingkan diri sendiri dan seorang penganut agama Hindu. Secara umumnya, dalam Anbe Sivam, nilai-nilai dan sistem kepercayaan yang berbeza dibawa. Perbezaan dan perbandingan ideologi dan kepercayaan dilihat iaitu agama Hindu dan Kristian, kroni, kapitalisme dan Marxisme.

Permukaan filem ini membawa kepada falsafah kemanusiaan bahawa ia bukan kepercayaan mahupun ketakutan kepada Tuhan tetapi membantu sesama manusia dan berjuang untuk keadilan mereka dan merasakan kesakitan mereka seperti merasai kesakitan sendiri.

Agama Hindu dilihat sebagai simbol eksploitasi dan karakter negatif digambarkan. Seorang industralis beragama Hindu dilihat melanggar hak dan undang-undang buruh. Dia boleh dianggap boujeuis dan pekerjanya pula golongan proletariat. Dia merupakan penganut mazhab Saivisme dan sering melafazkan ungkapan suci Saivisme. Namun, kapitalis hipokrit ini  memberitahu tetamunya bahawa dia tidak akan meminum air pada hari istimewa tetapi  dia dilihat meminum arak. Nampak bengong tapi itulah kebenarannya. Begitulah dia menyalahgunakan agama Hindu dengan kata-kata yang penuh dusta. Anaknya pula jatuh hati dengan Kamal Hassan. Apabila anaknya menyuruh Kamal untuk melukis sebuah potret di hadapan masuk pejabat ayahnya, Kamal menyindir industralis tersebut dengan melukis gambar Dewa Shiva berserta wajah Karl Marx , lambang tukul dan sabit sebagai simbol Komunis serta nilai bayaran upah pekerja yang kurang dibayar. Gambar Dewa Shiva tersebut pula merupakan wajah Kamal sendiri.

Apabila Kamal dan anak industralis tersebut ingin melarikan diri untuk berkahwin, Kamal bertemu dengan sebuah kemalangan ngeri yang mengubah hidupnya untuk selama-selamanya. Dia diselamatkan oleh mubaligh Kristian – biarawati Katolik Rom. Ketua biarawati yang bernama Vanessa sangat berperikemanusiaan dan berjuang untuk menyelamatkan nyawa Kamal.

Filem ini menjelaskan kontra emosi yang dibawa antara dua konsep agama. Industralis kejam yang penuh dengan simbol Hindu. Dia mengejek Kamal. Industrialis tersebut menganggap bahawa pengabdiannya kepada Dewa Shiva yang telah menghukum Kamal sehingga membawanya kepada keadaan yang dahsyat dan menyedihkan itu. Dia berkata dengan penuh gembira bahawa Dewa Shiva akan membunuh Kamal. Perkara tersebut dibezakan dengan cinta yang tidak mementingkan diri sendiri dan berperikemanusiaan yang dibawa oleh dorongan agama lain – Kristian. Biarawati dilihat berjuang demi menyelamatkan nyawa Kamal. Kamal terselamat namun daripada seorang lelaki yang tampan, muka Kamal berubah apabila penuh dengan parut luka.

Dalam satu adegan filem ini, dilihat sebuah kereta api yang dalam perjalanan di Andhra Pradesh bertemu kemalangan. Biarawati Vanessa dilihat melibatkan diri dalam misi penyelamatan mangsa kemalangan. Kamal dan Madhavan berada di tempat kemalangan juga. Seorang kanak-kanak lelaki dilihat sedang bertarung nyawa dan memerlukan kumpulan darah AB-. Kamal memperkenalkan Madhavan kepada Vanessa dan memberitahunya bahawa Madhavan mempunyai darah AB- yang jarang ditemui. Vanessa berjaya mengubah minda Madhavan untuk menderma darah bagi kanak-kanak lelaki tersebut. Daripada seorang yang mementingkan diri sendiri, Madhavan dilihat bersifat kemanusiaan dan mula berbelas kasihan. Dia juga dilihat menangis apabila kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan.

Kamal pula dilihat memberitahu orang secara rawak bahawa mereka adalah Tuhan – sama ada pernyataan itu relevan atau tidak – mungkin untuk memberikan mereka  sedikit pencairan emosi dan rohani.

Seseorang yang menonton filem itu mungkin pada mulanya menganggap bahawa gambaran yang ditunjukkan dalam Anbe Sivam oleh Kamal Hassan adalah akibat pandangan negatif peribadi terhadap Hinduisme, yang telah dinyatakan secara terbuka oleh Kamal sendiri. Walaubagaimanpun, terdapat faktor lain juga. Di India, dilihat pengamal ideologi Marxisme membenci agama Hindu. Dalam pandangan ahli Marxisme, tahap kesedaran sosial Hindu adalah lebih rendah daripada agama Kristian. Bagi mereka, nilai-nilai humanistik dilihat dalam agama Kristian berbanding agama Hindu.

Filem ini menunjukkan bahawa Hinduisme terus kekal secara langsung oleh kuasa penindasan masyarakat yang mundur, anti-progresif, dan mengeksploitasi hak masyarakat. Klimaks menunjukkan seorang pembantu industrialis kejam itu meminta maaf kepada Kamal yang mengatakan bahawa Tuhan menghukumnya dengan mengambil nyawa anaknya kerana cuba membunuh Kamal. Kamal menyangkal pendapat dan kata-kata tersebut dan memberikan pandangan dunia yang lebih humanistik sebagai moral dan pengajaran hidup.

Filem ini memberikan mesej bahawa Saivisme tidak merealisasikan maksud sebenar humanisme yang dikebumikan di dalamnya. Ia boleh ditemui melalui agama Kristian yang bersifat humanistik dan melihat penglihatannya hanya dipenuhi dalam Marxisme yang progresif. Ada sesetengah individu juga sedar menerusi filem ini termasuk aku sendiri bahawa kasih sayang terhadap orang lain juga satu sifat ketuhanan. Apa gunanya kau sembahyang dan sujud kepada Tuhan sekiranya tidak mengamalkan ajaran agama kau? Tidak kira agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Taoisme atau apa sahaja agama yang dipraktikkan di dunia ini, semua agama ini mengajar ke arah kebaikan dan kesejahteraan bukannya kemudaratan. Bagi golongan ateis, mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan tetapi ada antara kalangan mereka yang percaya kepada nilai kemanusiaan. Betul juga ungkapan memberi itu lebih baik daripada menerima jika dilihat dalam satu perspektif yang berbeza.

Bagi aku, filem seperti ini wajib ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Satu pembaharuan dalam sinema Kollywood. Siapa yang menonton filem ini tidak akan berasa hendak masuk agama Hindu atau Kristian secara tiba-tiba atau mula mengamalkan ateisme. Jadi tidak perlu risau. Ini hanya sebuah filem yang sesuai untuk santapan minda bukan santapan lutut. Tak kenal maka tak cinta! Teringat pula dialog sebuah filem lakonan Kamal,

‘Yang kata Tuhan tidak wujud boleh dipercayai, yang kata Tuhan wujud boleh dipercayai juga, yang kata dialah Tuhan itu tidak boleh dipercayai langsung.’

Balik ke Atas