Editorial: Oh Tuhan Kembalikan Bijaksana Thukul Cetak

EDITORIAL Teks oleh:

Satu hari sebelum Neon Berapi genap berusia dua bulan, aku mendapat khabar bahawa laman ini bakal disaman oleh sebuah syarikat penerbitan berpengaruh. Sebuah syarikat yang punya dana pinjaman kerajaan lebih setengah juta ringgit, dikepalai pengarang lantang yang sering berforum bersimposium di sana-sini dari Facebook sampai ke luar negeri, dibantu pula dua usahawan mahir selok belok meniaga yang tak lokek mengadakan kelas-kelas bisnes beryuran kepada yang mahu memajukan makan pakai.

Syarikat penerbitan itu juga punya pembaca dan pengikut yang besar bertebaran hingga ke Finland dan United Kingdom. Bahkan kumpulan penulis mereka bukan calang-calang cerdas, berintelek memukau dan dilihat selalu saja merajai media sosial menjinakkan ramai. Buku-buku terpilih terbitan mereka tak usah cakap berkoyan-koyan cetakannya dan sudah ada terlekat anugerah kebangsaan.

Maka sampai ke hari ini, aku masih susah untuk percaya yang Neon Berapi yang kecil amat ini, yang dikendalikan aku dan seorang pembantu bakal menghadapi tindakan saman. Tapi itulah yang tertulis di Facebook rasmi syarikat Thukul Cetak sejak pagi Hari Malaysia. Keras dan Melawan mereka telah bertukar menjadi Keras dan Menyaman!

Neon Berapi pada asasnya hanya sebuah medium yang menyiarkan esei dan karangan yang orang banyak tidak peduli. Tidak ada artikel segera dan tidak ada niat meraih viral seperti laman-laman popular lain. Aku memulakan Neon Berapi cuma ingin menghapuskan rasa cemburu aku pada majalah-majalah budaya alternatif dari England, Amerika Syarikat, malah esei-esei dari Indonesia. Aku fikir di Malaysia juga patut ada satu. Aku kurang wang, jadi aku cari jalan dan berjumpa kawan minat membaca yang sudi mengeluarkan belanja web hosting tanpa menaruh balasan dan harapan tinggi. Aku cari seorang pembantu muda bersemangat dan beri tunjuk ajar sebagai editor supaya kalau aku tiada, Neon Berapi tak ikut terpadam.

Selama dua bulan beroperasi, Neon Berapi telah menyiarkan kurang lebih 20 artikel dari beberapa orang pengarang yang sukarela menawarkan karangan. Tidak ada seorang pun yang kami bayar dengan wang ringgit dan tidak juga kami boleh beri mereka jaminan kemasyhuran. Semuanya seronok untuk bekerjasama dan kami tumpang seronok untuk menyiarkan tanpa prejudis. Tapi sebenarnya di sudut hati yang dalam kami segan juga kerana ada di antara mereka pengarang yang berkaki lebar. Sudah kukuh berdiri.

Nak dijadikan cerita, XX muncul menghantar artikel kepada Neon Berapi. Aku tidak menyangka akan menerima artikel sedemikian melalui editorku. Dan bila dibaca ada betulnya pandangan XX dalam karangannya yang cermat tentang hal semasa dunia penerbitan buku. Tapi aku kurang suka dengan nama XX. Bagi aku ini kurang beradab.

Aku bertanya kepada XX, “wahai XX kenapa kamu tidak mahu menggunakan namamu yang indah?”

“Oh Abang Neon Berapi, aku tidak mahu kerana aku sudah masak benar dengan perangai orang Thukul Cetak yang gemar memaki hamun dan menyerang peribadi orang daripada menjawab kritikan.” Jawab XX ringkas dan terang.

Tiba-tiba aku mengangguk setuju dan menguntum satu senyuman yang agak manis. Jawapannya aku terima dan aku tandakan lambang api pada artikelnya yang membawa maksud ‘lulus untuk siaran.’

Awal pagi Hari Malaysia, aku duduk menghadap komputer sebaik pulang dari minum kopi bersama seorang penyelia kilang kereta dan cikgu membaiki kereta. Dengan fikiran yang jernih dalam suasana yang dingin aku membaca semula karangan XX. Aku membacanya sebagai seorang Editor-in-Chief Neon Berapi. Aku tidak membaca karangan itu sebagai CEO Neon Terbit yang entah mengapa selalu dicemburui Mutalib walaupun Neon Terbit baru menerbitkan 1 judul buku selepas dua tahun berehat. Semasa dia menerbitkan 50 judul buku, aku tidak langsung mengutuknya malah memberi satu ibu jari bergegar tanda support.

Selepas habis baca, aku baca lagi dan lagi. Aku bertukar dari membacanya sebagai Editor-in-Chief Neon Berapi, aku cuba pula baca sebagai M Kassim, kemudian aku tukar lagi. Aku cuba membaca sebagai Bangsa Membaca Bangsa Melawan sebelum akhir sekali aku membacanya sebagai ZF Zamir dengan berlatarkan Take The Power Back dendangan Rage Against The Machine bagi menambah perasaan (keras dan melawan).

Hasilnya aku membuat kesimpulan bahawa karangan XX ini biasa-biasa saja. Hanya mengimbas kontroversi-kontroversi lalu dan menambah satu dua soal prinsip dan idealogi yang berterabur. Kalau mengusik pun sekadar angin sepoi bergulung di kaki lima mamak. Tidaklah mampu ia menggerakkan puntung rokok yang lenyek di atas lantai pun inikan pula menggegarkan Thukul Cetak yang dibarisi cendekiawan berjiwa besar.

Maka aku tekan publish dan aku masuk tidur.

***

Aku bangun tidur sekitar jam 2.45 petang. Perkara pertama yang aku buat adalah mencapai handphone untuk aku lihat apakah yang telah dimaki hamun oleh Thukul Cetak dalam satu karangan yang penuh nama-nama ahli falsafah dan ahli mutiara kata ketika aku tidur nyenyak. Aku masuk ke dalam FB rasmi syarikat Thukul Cetak.

Aku rasa nak pengsan.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa hancurnya hati aku bila melihat Thukul Cetak membuang diri mereka sendiri ke dalam longkang dengan bertindak untuk menyaman Neon Berapi. Satu langkah yang aku fikir membuat semua orang ketawa sampai menangis dan membuat pembaca dan pendukung Thukul Cetak sendiri turut kecewa dan hampa. Mereka telah sepakat bersama berjuang melaungkan Bangsa Membaca Bangsa Melawan dan bersatu mencipta sejarah bersama Thukul Cetak untuk dikenang 1000 tahun lagi. Tapi Thukul Cetak…. Aduhhh.

 

NotaBerapi: Neon Berapi tidak akan menarik atau memadam artikel tulisan XX walaupun berdepan tindakan saman tetapi bersedia menyiarkan artikel dari pihak Thukul Cetak untuk membalas kritikan XX.

Editor-in Chief Neon Berapi,
Firdaus Abdillah Hamzah 

Balik ke Atas